Nadi Bangi
5 Ciri Sistem Pendidikan di Jepun yang Wajar Dicontohi
Oleh: Farhan Nasir
Penyunting: Ercy Gracella A

Umum mengetahui bahawa rakyat negara matahari terbit cukup sinonim dengan budaya taat, hormat peraturan, tepati waktu serta berdisiplin dan teratur tapi pernahkah anda terfikir tentang bagaimana sistem pendidikan di negara ini membentuk rakyatnya dan apakah keistimewaan sistem pendidikan di Jepun berbanding sistem pendidikan di Malaysia?
Pada awal tahun 1982, Perdana Menteri Malaysia pada ketika iaitu Yang Amat Berhormat Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pelaksanaan satu dasar baru iaitu Dasar Pandang ke Timur sewaktu Persidangan "5th Joint Annual Conference of Malaysia- Japan Economic Association”. Dengan pengenalan dan pelaksanaan dasar ini di Malaysia, bermakna pihak kerajaan Malaysia akan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dengan mengubahsuai serta mengadaptasikannya dengan keadaan di Malaysia.
Negara Jepun ialah merupakan sebuah negara yang begitu pesat membangun. Di beberapa bidang, mereka juga lebih maju daripada beberapa buah negara Barat. Kejayaan negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dipraktikkan bagi mencapai matlamat pembangunan negara dengan meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan sektor awam dan swasta. Kita bukan sahaja dapat mencontohi bidang pengurusan dan pembangunan mereka, malah kita juga boleh mencontohi sistem pendidikan mereka.
Menurut Laporan Indeks Kemajuan Sosial yang dijalankan oleh The Social Progress Imperative pada tahun 2020, negara Jepun berada di tangga 20 teratas antara negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Jadi, apa hebatnya sistem pendidikan mereka sehingga mampu meletakkan negara ini sebagai salah sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia?
Adab Sebelum Ilmu
Sistem pendidikan negara Jepun terdiri daripada sekolah rendah dengan tempoh pengajian selama 6 tahun, sekolah menengah rendah selama 3 tahun dan sekolah menengah selama 3 tahun. Dua peringkat yang pertama adalah diwajibkan dan sekolah tinggi adalah pilihan individu. Antara sistem pendidikan di Jepun adalah pelajar tidak akan mengambil sebarang peperiksaan sehinggalah mereka mencapai umur 10 tahun. Mereka hanya akan mengambil ujian kecil sahaja. Hal ini kerana masyarakat Jepun mempercayai bahawa matlamat untuk enam tahun pertama sekolah bukanlah untuk menilai pengetahuan atau pembelajaran anak, tetapi untuk menegakkan kebiasaan dan mengembangkan karakter mereka.
Kanak-kanak yang mula memasuki alam persekolahan akan terlebih dahulu diajar untuk menghormati orang lain dan menjadi lembut kepada haiwan dan alam semula jadi. Mereka juga belajar bagaimana untuk menjadi murah hati, penuh belas kasihan, dan empati. Di samping itu, anak-anak diajar tentang kualiti diri seperti adat, budaya, kawalan diri dan keadilan. Hal ini turut diakui oleh Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Hanny Zurina Hamzah dalam segmen Awani Pagi. Beliau menceritakan pengalaman beliau tinggal di Hiroshima dan Kyushu selama 10 tahun bagi melanjutkan pelajaran sambil menjadi sebahagian daripada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah. “Bagi enam tahun pertama, semua kanak-kanak diajarkan bagaimana untuk menghayati alam semula jadi, menjaga disiplin masa, menghormati orang tua dan menyayangi diri sendiri” kata beliau.
Kebanyakan Sekolah Tiada Tukang Cuci
Dalam sistem persekolahan di Jepun, para pelajar perlu membersihkan bilik darjah, kafeteria, dan juga tandas sendiri. Ketika aktiviti pembersihan dijalankan, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan tugas yang ditetapkan akan bergilir antara kumpulan sepanjang tahun. Sistem pendidikan Jepun percaya bahawa dengan mengharuskan pelajar membersihkan tempat mereka menimba ilmu, ia dapat mengajar mereka untuk bekerja dalam satu pasukan dan membantu satu sama lain. Selain itu, usaha mereka sendiri untuk menyapu, mengemop, dan mengelap membuat anak-anak menghormati pekerjaan mereka sendiri dan pekerjaan orang lain.
Penyediaan Makan Tengah Hari
Sistem pendidikan Jepun melakukan yang terbaik untuk memastikan pelajar makan makanan yang sihat dan seimbang. Di sekolah rendah dan sekolah menengah awam, makanan tengah hari untuk pelajar dimasak mengikut menu yang diselaraskan bukan sahaja oleh tukang masak yang berkelayakan tetapi juga oleh penjaga kesihatan profesional. Semua rakan sekelas makan di dalam bilik darjah bersama guru. Ini membantu membina hubungan guru-pelajar yang positif.
Bengkel Selepas Sekolah Sangat Popular di Jepun
Untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah yang lebih baik, para pelajar akan menghadiri bengkel yang diadakan selepas waktu persekolahan dan kebiasaannya bengkel-bengkel ini berlanjutan hingga ke malam. Bukan sesuatu yang pelik jika melihat kumpulan kanak-kanak kecil pulang pada lewat petang atau malam. Pelajar Jepun mempunyai waktu pembelajaran di sekolah selama 8 jam, selain daripada waktu itu mereka belajar sendiri walaupun semasa cuti dan pada hujung minggu. Tidak hairanlah bahawa pelajar di negara ini hampir tidak pernah mengulangi gred di sekolah rendah, menengah rendah, atau menengah tinggi.
Pelajar Jepun Juga Mempelajari Kaligrafi dan Puisi Jepun
Kaligrafi Jepun atau Shodo, melibatkan aktiviti mencelupkan berus bulu dalam dakwat dan menggunakannya untuk menulis kaligrafi pada kertas beras. Bagi orang Jepun, Shodo adalah seni yang tidak kurang popular daripada lukisan tradisional. Haiku, sebaliknya, adalah bentuk puisi yang menggunakan ungkapan mudah untuk menyampaikan emosi yang mendalam kepada pembaca. Kedua-dua kelas ini mengajar kanak-kanak untuk menghormati budaya mereka sendiri dan tradisi lama.
Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh negara Jepun atau mana-mana negara yang sistem pendidikan mereka lebih baik dari Malaysia untuk dijadikan sebagai role-model kepada sistem pendidikan negara kita seterusnya melahirkan generasi yang tinggi nilai budaya dan sahsiahnya serta tinggi ilmunya. Pengumuman Tun Dr. Mahathir mengenai potensi negara Malaysia menjadi negara pertama yang memiliki universiti dari negara matahari terbit itu melalui kerjasama dengan University of Tsukuba perlu disambut baik kerana ia akan memperlihatkan perkongsian budaya dan ilmu antara kedua-dua negara, selaras dengan Dasar Pandang ke Timur.