Izzaty Syazwani
566 Atlet Wilayah Jalani Latihan SUKMA XX MSN 2022
Penulis : Nurul Izzaty Syazwani
Penyunting : Mineshwara A/L Ramaispran

Sumber : Urusetia
BANGI, 14 JUN - Seramai 566 atlet Wilayah Persekutuan (WiPERS) telah menjalani satu Kem Latihan Atlet Sukma Wilayah (KLAS) selama 3 minggu bermula 23 Mei yang lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai persediaan fasa akhir menghadapi SUKMA XX MSN 2022 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
KLAS dijadikan sebagai penanda aras bagi kaedah program latihan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketiadaan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2020 yang lepas.
KLAS dibahagikan kepada 3 fasa iaitu fasa pertama seramai 259 atlet, fasa kedua seramai 221 atlet dan fasa ketiga seramai 86 atlet yang terdiri daripada pelbagai jenis sukan seperti olahraga, Hoki, Kriket, Skuasy dan banyak lagi.
Ketua Jawatankuasa Keurusetiaan, Fadzlan Naim Anuar berkata objektif KLAS ini adalah untuk mengumpulkan semua atlet SUKMA Wilayah Persekutuan bagi meningkatkan kemahiran serta membantu persediaan para atlet dan jurulatih dalam menghadapi SUKMA XX MSN 2022 dengan program latihan dan simulasi pertandingan.
Disamping itu, beliau turut berkata fasa akhir bagi KLAS ini lebih memfokuskan tahap kecergasan serta latihan yang spesifik bagi setiap sukan dan misi untuk menggapai kedudukan tiga terbaik.
“Kontinjen Wilayah Persekutuan sedang dalam fasa akhir bagi persediaan menghadapi SUKMA XX MSN 2022 dan didalam fasa akhir ini Wilayah Persekutuan lebih memfokuskan kepada tahap kecergasan serta latihan spesifik bagi setiap sukan supaya misi untuk menduduki carta tiga terbaik tercapai,” katanya.
Menurut Siti Nurnadia Ismail, 23, atlet Bowling berkata beliau perlu fokus dalam latihan kerana ingin meraih pingat emas dan membanggakan Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPERS).
“Sukan Ten-pin Bowling adalah sukan yang sukar diramal dan persaingan juga sengit. Oleh itu, saya akan lebih fokus menjalani latihan untuk tingkatkan pencapaian berbanding SUKMA yang lepas dan hasrat saya untuk SUKMA tahun ini adalah membawa pulang pingat emas serta membanggakan kontinjen Wilayah Persekutuan,” jelasnya.
Beliau juga berharap SUKMA kali ini dapat berlangsung dengan jayanya selepas beberapa tahun ditangguhkan akibat pandemik.

Sesi Team building di Fasa 3 KLAS 2022

Sesi Team building di Fasa 3 KLAS 2022
Bagi Raja Amirul Azzim Raja Shahrul Azremel, 23, seorang atlet Kanu berkata beliau seronok berpeluang menyertai KLAS di UKM kerana dapat berjumpa dengan rakan kontinjen yang sama selain dapat menambah ilmu berkaitan sukan yang saya ceburi.
“Saya seronok dapat menyertai KLAS dan sesi latihan juga giat dijalankan dengan bimbingan jurulatih. Harapan saya untuk SUKMA kali ini adalah buat yang terbaik dan ingin mendapatkan pingat emas untuk Kontinjen Wilayah Persekutuan,” katanya.
Selain itu, MSWP juga berharap para atlet Wilayah Persekutuan kekal berdisiplin dan fokus dengan komitmen yang diberikan supaya dapat bertanding dengan penuh semangat kesukanan serta memperolehi pingat emas pada temasya SUKMA XX MSN 2022 ini.