Nadi Bangi
5G, Adakah Malaysia Sudah Bersedia?
Oleh : Vikneswaran
Penyunting : Fatin Nasuha

Menanti tahun 2020, penerapan teknologi 5G adalah satu inovasi teknologi yang dinantikan. Beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan Korea Selatan telah menyasarkan penggunaan teknologi jaringan 5G yang lebih luas mulai dari tahun 2019 sehingga tahun 2021. Lantas, apakah yang menarik dan bermanfaat dari teknologi 5G ini?Jadi adakah Malaysia sudah bersedia untuk menggunakan teknologi 5G?
“4G pun belum ada di semua daerah dah ada 5G ke?” Ketika perkataan 5G ini mula diwarkan, kebanyakan masyarakat menyoalkan tentang sejauhmana 5G ini mampu berhasil.
Rata-rata rakyat Malaysia, masih ramai yang tidak dapat menjawab soalan apa itu 5G. Secara asasnya, 5G atau 5th Generation merupakan generasi kelima teknologi rangkaian yang dikenali sebagai “New Radio” atau NR yang membolehkan rangkaian sel mengedar data dalam kadar yang pantas. Buat masa ini, Malaysia mempunyai rangkaian Long Term Evolution “LTE” sebagai rangkaian asas untuk 4G dan pada masa akan datang bakal menerima NR untuk rangkaian 5G ini.
Ini adalah antara rangkaian asas digital yang digunakan pada setiap generasi di Malaysia.
• 2G – GSM
• 2.5G – GPRS
• 2.75G – EDGE
• 3G – UMTS
• 3.5G – High Speed Packet Access (HSPA)
• 3.75G – HSPA+ (H+)
• 4G – Long Term Evolution (LTE), LTE-Advanced
• 4.5G – LTE Advanced Pro
• 5G – New Radio (NR)
Laporan daripada ujian awal 5G baru-baru ini mendapati kelajuannya adalah sepuluh hingga seratus kali ganda daripada rangkaian 4G LTE yang ada pada hari ini. 5G begitu pantas sehingga ia mampu bersaing dengan rangkaian Optik Fiber dan dikatakan dapat memuat turun seluruh rancangan televisyen hanya dalam beberapa saat.
Manfaat
Antara manfaat 5G NR adalah kemampuan untuk membawa kelajuan 10 kali ganda daripada Optik Fiber dan boleh dinikmati secara mudah ahli. 5G NR dipercayai akan membawa peningkatan kelajuan yang sangat drastik berbanding teknologi hari ini, tetapi angka spesifik untuk kelajuan sebenar 5G NR masih belum diputuskan.
Dengan kelajuan yang melebihi 4G, pengguna dapat menikmati kadar muat-turun yang sangat pantas, terutamanya melibatkan fail yang besar. Kandungan HDR dalam format definisi tinggi secara lancar dapat ditonton tanpa penampan. Dalam masa beberapa saat pengguna dapat memuat turun permainan yang mencecah saiz sebesar gigabait.
Kadar latensi yang lebih rendah memudahkan kegunaan dan interaksi masa-nyata. Dengan ini isu sela masa ketika penyambungan antara peranti dapat dikurangkan kerana 5G dikatakan akan membawa kadar latensi maksimum 4ms, berbanding 20ms pada rangkaian berasaskan 4G.
Lebih menarik adalah kemunculan kereta “autopilot” yang mampu memandu dengan sendiri. Kemunculan rangkaian 5G akan mendorong pengimportan kenderaan tersebut di Malaysia. Namun persoalannya dapatkah kereta tersebut dipandu di kawasan kampung yang tidak mempunyai rangkaian 4G lagi?
Perlaksanaan
5G di Malaysia tidak akan hadir secara komersial dalam masa terdekat ini, namun SKMM menyasarkan ia dapat dinikmati oleh pengguna bermula 2021.
Antara golongan terawal yang bakal menggunakan 5G ini adalah golongan yang berkemampuan dan penggemar teknologi. 5G boleh dikatakan sebagai satu pilihan buat masa ini, kerana pengguna belum dihidangkan dengan aplikasi yang unik untuk 5G. Melainkan pada masa akan datang, ada sebuah aplikasi yang memerlukan kelajuan dan latensi 5G, barulah ia dijadikan sebagai satu keperluan.
Pada saat ini, aplikasi dan penggunaan sedia ada masih boleh dijalankan pada rangkaian 4G. Perkhidmatan permesejan, pelayaran web, penstriman video, dan permainan video mudah-alih masih dapat digalas oleh 4G dengan baik. Kelajuan 4G kebiasaannya memberi kelajuan sekitar 10-40 Mbps pada saat ini – suatu kelajuan yang sangat memadai untuk kesemua aplikasi ini.
Jika rangkaian 4G sudah memadai untuk menggunakan aplikasi sedia ada, kenapa perlu ada rangkaian 5G yang akan memberi perkhidmatan yang sama walaupun dikatakan lebih laju dari 4G? Lebih-lebih lagi bila rangkaian 4G itu sendiri tidak disebar sepenuhnya di Malaysia

Bilakah 5G Sedia Digunakan?
Kesemua telko di Malaysia sudah mula menunjukkan minat dalam membawa 5G kepada pengguna melalui pra-tonton kelajuan 5G yang diperlihatkan pada awal bulan ini. Mengikut tempoh masa yang dikeluarkan oleh SKMM, telko seperti Maxis, Celcom, DiGi, TM, dan U Mobile akan mula menawarkan perkhidmatan 5G pada sekitar tahun 2021.
Setakat ini, peranti Xiaomi MIX 3 5G adalah antara peranti yang paling murah untuk menikmati sokongan 5G ini berserta peranti Samsung S10 5G. Kedua-dua peranti ini dijual pada harga sekitar RM 2790 dan RM5599. Peranti lain juga hadir di dalam bentuk variasi 5G kepada model peranti asal, seperti Huawei Mate 20 X 5G dan Xiaomi Mi MIX 3 5G.
Akhir sekali masyarakat akan melihat pengeluar menawarkan dua variasi model iaitu model dengan rangkaian 4G dan model dengan rangkaian 5G untuk dua hingga tiga tahun ini. Namun, dengan kadar pendapatan per kapita yang rendah di Malaysia, mampukah kita menikmati kemunculan teknologi canggih dan rangkaian 5G yang bakal diumumkan pada tahun hadapan?