Ahmad Hasif Halimi
65 Ribu Peminat ACG Membanjiri Comic Fiesta 2022 di KLCC
Penulis: Ahmad Hasif bin Halimi
Penyunting: Chua Yung Qi

Sumber Foto: Nadi Bangi
KUALA LUMPUR, 17 Dis - Beberapa watak adiwira seperti Kamen Rider, Ultraman dan pelbagai lagi telah membuat kemunculan ikonik di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada hujung minggu yang lalu bersempena acara konvensyen animasi, komik dan permainan video terbesar di Malaysia iaitu Comic Fiesta 2022. Rata - rata 65,000 pengunjung memeriahkan konvensyen tersebut dengan memakai pakaian unik masing - masing yang diilhamkan daripada watak dalam permainan dan siri animasi seperti Naruto Shippuden, Overwatch, Power Rangers di dalam program tahunan yang meraikan cosplayer, pelukis komik dan juga peminat anime. Menurut Naib Presiden Comic Fiesta 2022, Lim Chin Hwa berkata antara tarikan utama Comic Fiesta 2022 pada tahun ini adalah penampilan penyanyi bintang pop anime terkenal Jepun, Konomi Suzuki dan juga Vtubers dari negara - negara Asean. “Selepas dua tahun wabak pandemik, kami telah mendapati bahawa terdapat peningkatan minat terhadap acara berkaitan dengan ACG (Animation, Comics and Games). Dengan skala dan jangkauan Comic Fiesta, kami telah memberikan pengalaman terbaik untuk mengakhiri tahun ini dengan memperkenalkan pelbagai aksi tempatan dan antarabangsa, cosplayers, dan juga Vtubers terkenal. “Tahun 2022 juga merupakan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, iaitu kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Jepun. Kami telah bekerjasama dengan Japan Foundation Kuala Lumpur dalam usaha membawa Konomi Suzuki untuk membuat persembahan pembukaan bertemakan anime seperti No Game No Life, Re:Zero dan Sakurasou Pet no Kanojo,” ulasnya lagi. Nur Nadia, 23, seorang pengunjung mengatakan bahawa Comic Fiesta pada tahun ini lebih meriah berbanding Comic Fiesta pada tahun - tahun sebelum ini. “Saya rasa Comic Fiesta 2022 lebih meriah dengan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pengunjung serta saya tidak pernah melihat pengunjung seramai ini memenuhi ruang konvensyen yang luas ini”. Nur Nadia yang mengenakan pakaian Killjoy dari permainan video Overwatch meluahkan rasa teruja menjadi cosplayer buat pertama kalinya dan bertemu dengan orang baharu. “Saya berasa amat gembira dapat mengenakan pakaian unik ini kerana ramai orang sering mengatakan muka saya mirip dengan watak permainan video Overwatch,” katanya. Menurut Nuradriana Nazira, 18, Comic Fiesta pada tahun ini mempunyai lebih banyak gerai yang unik dengan caranya tersendiri. “Gerai-gerai pada tahun ini lebih bervariasi dan tidak hanya menumpukan kepada anime sahaja malah meraikan animasi dan kartun dari tempatan dan negara lain menjadikan Comic Fiesta ini disambut baik oleh mana - mana peminat ACG,” katanya. Nuradriana yang meniru pakaian Giyo Tomioka dalam siri animasi terkenal Jepun berkata beliau mula meminati cosplaying melalui ajakan rakan baiknya. “Kawan saya memperkenalkan saya kepada cosplay dan semenjak dari itu, saya telah cuba meniru pelbagai watak dari siri animasi yang berbeza oleh kerana minat yang mendalam terhadap cosplaying,” ulasnya lagi. Acara ini yang berlangsung selama dua hari dari 17 hingga 18 Disember 2022 telah menampilkan lebih daripada 500 gerai pameran dan jualan serta persembahan dari artis antarabangsa Jepun.