top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

86 Peserta Sertai Program CIMB Protégé Booster

Oleh: Ateefa Zulkifli

Penyunting: Siti Nurhazira binti Abu Bakar


Peserta Cimb Protégé Booster bersama pelatih.

BANGI, 24 Nov – Seramai 86 peserta terdiri daripada 55 pelajar tahun akhir dan 31 graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyertai Program CIMB Protégé Booster anjuran CIMB Malaysia yang berlangsung di Akademi CIMB Putra, Bangi pada 11 hingga 15 November yang lalu.


CIMB Protégé Booster ialah sebuah program merangkumi tujuh modul yang dirangka untuk memperkasakan kemahiran insaniah para graduan. Objektif program ini adalah untuk memastikan para graduan bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan atau membuka bisnes sendiri. Pada akhir program, sebuah temuduga terbuka telah dijalankan bagi memenuhi pelbagai jawatan kosong di CIMB Bank.


Ahmad Farid bin Ahmad Puad, selaku pelatih sepanjang program ini berkata, "Sepanjang penglibatan saya sebagai pelatih untuk program sebegini, seperti kebiasaannya, tenaga dan kerjasama yang diberikan oleh para peserta amat memuaskan."


Komen beliau turut disokong oleh Magdalene Louisa Fletcher, Penolong Pengurus Graduate Talent Management, "Kami mencari para graduan yang bersungguh-sungguh ingin belajar serta memperkasakan diri mereka. Ternyata, jangkaan kami terhadap para peserta ialah benar. Dengan sikap positif yang ditonjolkan, kami yakin para peserta ini dapat pergi jauh dalam kerjaya masing-masing kelak."


Nur Eliana Syafiqah, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media tahun tiga berkata, "Pada pendapat saya, makanan dan fasiliti yang disediakan amat memuaskan. Manakala, modul-modul yang disediakan adalah relevan dengan keperluan sebagai seorang pelajar terutamanya graduan baru yang sedang mencari pekerjaan."


Beliau juga menambah, "Kebanyakan modul yang diajar berkait dengan kemahiran yang perlu ada dalam diri seorang pelajar untuk mendapatkan pekerjaan, antaranya ialah kemahiran komunikasi. Sebagai contoh, cara kita berkomunikasi dengan majikan dan juga semasa sesi temuduga amat penting untuk memastikan kita berjaya menarik perhatian penemuduga serta meletakkan tanggapan pertama yang baik terhadap diri kita."


Terdahulu, program yang berlangsung selama lima hari ini terdiri daripada tujuh modul iaitu Banking 101, Being Financially Savvy, Being Confident, Being Sociallly and Enviromentally Responsible, Wisdom of Doing Business – Sharing by Entrepeneur, Winning a Pitch dan Winning a Job.

118 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page