Nadi Bangi
Rakyat Kini Lebih Berhati-hati – DG Hisham
Penulis : Harith Ashyraf
Penyunting : Ahmad Rafaeil

Sumber : Berita Harian Online
PUTRAJAYA, 7 Nov - Peningkatan semula kes COVID-19 di Malaysia tempoh hari menjadikan rakyat semakin sedar dan lebih berhati – hati di dalam urusan seharian sekaligus berjaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan cemerlang.
Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham sebelum ini menegaskan bahawa perjuangan menentang wabak COVID-19 tidak akan sesekali ditamatkan, sebaliknya pendekatan yang digunakan sekarang ialah lebih kepada pemantauan serta memperketatkan kawalan bagi kawasan – kawasan (zon) merah serta berisiko tinggi.
“KKM dan kerajaan akan terus bertungkus lumus berusaha memerangi virus COVID-19 sehingga episod ini tamat dan saya berharap agar seluruh rakyat Malaysia akan terus mengekalkan pematuhan SOP keselamatan yang dilihat semakin bertambah baik dan memberangsangkan terutamanya bagi masyarakat yang berada di kawasan zon krtitikal,” kata beliau.
Beliau juga menyarankan masyarakat agar mengurangkan pergerakan dan keluar sekiranya terdapat urusan yang penting dan perlu sahaja disamping terus menjaga kesihatan serta keselamatan diri masing – masing.
“Saya berharap agar rakyat tidak panik dan keluar sekiranya perlu sahaja. Saya yakin jika masyarakat Malaysia mematuhi segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan, kita akan berjaya memulihkan negara seperti sedia kala,” katanya.
Masyarakat kini mula sedar betapa pentingnya untuk mengikut SOP termasuklah dengan menjaga penjarakan sosial, pemakaian menutup muka di tempat – tempat awam serta menjaga kebersihan serta kompaun akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi arahan .
Menurut warga setempat, Hafiz Azraei, 25, “keselamatan dari segi jarak, penggunaan pelitup muka, serta kurangkan aktiviti berhimpun dalam jumlah yang ramai pada satu masa, kita perlu sentiasa berwaspada dan jangan leka kerana bimbang penularan wabak tersebut berlaku semula,” jelas beliau.
“Saya sentiasa membawa pelitup muka bersama tidak kira kemana saya pergi. Asalkan keluar sahaja dari rumah, ia sudah menjadi satu kebiasaan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan tambahan pula berada di zon merah”, menurut penghuni setempat Azman Halim, 24.
Azlinda Salleh, 37, seorang peniaga kecil juga mengatakan bahawa rata – rata masyrakat sudah mula menunjukkan respon yang baik dan memberikan kerjasama termasuklah dengan megimbas kod QR setiap kali memasuki apa sahaja premis termasuklah gerainya. “Kebanyakan pelanggan saya kini menjaga SOP keselamatan yang ditetapkan dan alhamdulillah hari demi hari menunjukkan sambutan yang positif oleh masyarakat.”