• Chua Yung Qi

Adham Baba sedia bertanding PRU16

Penulis: Chua Yung Qi

Penyuntingan: Ahmad Hasif bin Halimi

Sumber Gambar: BERNAMA


KULAI, 23 Nov- Mantan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Pada PRU-16 yang akan datang, sekiranya saya masih lagi bertenaga dan mampu, saya yakin bahagian Tenggara akan mengusulkan supaya saya bertanding dalam PRU16,” katanya.

Adham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata demikian ketika ditanya sama ada akan bertanding semula atau tidak pada PRU16 oleh wartawan Nadi Bangi.

Adham digugurkan daripada senarai calon PRU-15 di Parlimen Tenggara sebaliknya digantikan oleh muka baru, Manndzri Nasib yang menyandang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.

Selain Adham, turut digugurkan adalah penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Annuar Musa, Shahidan Kassim (Arau) dan Menteri Perpaduan, Halimah Mohammed Sadique yang terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Tenggara kepada Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin.

Penyandang lain yang tidak dicalon semula adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ismail Abdul Mutalib (Maran), Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Hamzah (Jasin) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Beliau berkata, pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRU15 tidak mengikut kaedah yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

“Apa yang berlaku sekarang adalah luar biasa kerana pencalonan tidak mengikut apa yang diminta dalam perlembagaan. Ini bermakna ia merupakan keputusan mutlak Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Presiden.

“Kita sebenarnya berasa kurang selesa dengan keadaan berlaku kerana apabila kita diminta untuk menyatakan hasrat untuk mengadakan pilihan raya, kita bersetuju dengan akar umbi, tetapi apabila kita mengemukakan nama mereka tidak mengikut cakap kita,” katanya.

Adham akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tenggara untuk mengendalikan kerja parti cawangan dan berusaha menambahkan keyakinan pengundi terhadap UMNO yang merupakan satu komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau kini ingin fokus untuk mengusahakan agar parti UMNO dilihat bersih daripada amalan-amalan yang dikatakan ketika ini tidak memuaskan seperti yang diwar-warkan oleh mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Saya suka dengan kenyataan Khairy Jamaluddin, kita perlu bangkit untuk bersihkan UMNO supaya bebas daripada kerosakan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk menyokong Khairy Jamaluddin sebagai bakal Perdana Menteri. Beliau yakin pada 5 hingga 10 tahun yang akan datang, Khairy Jamaluddin mampu mengangkat martabat negara.

Adham telah menjadi Ahli Parlimen Tenggara selepas berjaya menewaskan calon PAS, Cikgu Yuha dan calon PKR, Norjepri Bin Mohamed Jelani dengan majoriti sebanyak 5933 undi pada tahun 2018 ketika PRU-14.


132 views1 comment