top of page
  • Writer's pictureDanial Haziq

Adyratna Fiesta gabung kebudayaan dalam tiga aspek

Penulis : Muhammad Danial Haziq Bin Roslee

Penyunting : Kogileswari A/P Vellisamy

Sumber : Nadi Bangi


BANGI, 2 Julai - Program Adyratna Fiesta anjuran Biro Kesenian dan Kebudayaan Kolej Rahim Kajai (KRK) menggabungkan tiga aspek dalam kebudayaan antaranya nyanyian, tarian dan permainan.


Ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti Liga Sukan Rakyat, Joget Jelajah Dunia, Terjah Malaysia, Gala Budaya dan KajaiKon 22’.


Paling menarik sekali mengenai program ini ialah Liga Sukan Rakyat yang menggabungkan permainan tradisional seperti batu seremban, ceper, ting-ting, tuju guli, galah panjang dan congkak.


“Penganjuran program Adyratna Fiesta ini sebenarnya sangat bagus kerana memberi platform kepada warga kolej untuk menonjolkan bakat yang ada bukan sahaja dari segi persembahan malah permainan tradisional seperti yang dijalankan semasa Liga Sukan Rakyat”.


“Ia merupakan satu program yang sangat efektif dan kemampuan Biro Kesenian dan Kebudayaan Kolej Rahim Kajai dalam melaksanakan program seperti ini wajar dibanggakan kerana ia bukan sesuatu yang mudah," ujar Pengarah Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Norinsan Kamil Othman dalam ucapan perasmian Adyratna Fiesta Sabtu lalu.


Menurut Ketua Program Adyratna Fiesta, Zurain Syahira Binti Jupri, program ini bertujuan mengembalikan KRK sebagai kolej yang terkenal dengan aktiviti kebudayaan sekaligus melahirkan warga kolej serta pelajar yang lebih aktif dan kreatif.


"Sebenarnya dari program ini, saya mengharapkan Kolej Rahim Kajai mampu kembali sebagai kolej yang terkenal dalam bidang kebudayaan dan bukan itu sahaja, saya harap pelajar tahu bahawa seni dan budaya itu sebenarnya luas dan tidak terhad kepada tarian dan nyanyian semata," kata beliau.


Warga kolej yang hadir acara tersebut meluahkan keterujaan dan keseronokan mereka dengan bermain permainan tradisional.


“Sudah lama rasanya saya tidak bermain permainan tradisional seperti ting-ting dan congkak, jadi saya berasa seperti kanak-kanak semula apabila menyertai Adyratna Fiesta dan bermain permainan tradisional seperti di sekolah rendah dahulu,” kata Muhamad Azam bin Sukri, pelajar tahun 1 Ijazah Sarjana Muda Kimia.


“Sebuah festival yang menggabungkan permainan dan persembahan merupakan inisiatif yang kreatif kerana ia membuka mata pelajar untuk lihat kebudayaan dan kesenian bukan melalui persembahan semata-mata” kata Nor Najwa Nasuha Binti Ansaari, pelajar tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Sains Nuklear yang merupakan antara pengunjung yang hadir festival Adyratna Fiesta.


Program Adyratna Fiesta juga dikunjungi oleh pelajar UKM dari kolej lain sekaligus menambahkan lagi kemeriahan program tersebut.


29 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page