• Nadi Bangi

Ahli Keluarga Mangsa Banjir Keliru Isu PKPB

Oleh: Saeid Juwanda

Penyunting: Arif Zahran

Banjir kilat di Kampung Batu Tiga, Seremban (Sumber : Mangsa banjir)

BANGI, 4 Nov – Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor membawa kekeliruan kepada ahli keluarga yang ingin pulang ke kampung halaman mereka yang dilanda banjir kilat malam tadi di Seremban, Negeri Sembilan.

PKPB yang telah dilanjutkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sehingga 9 November telah mengelirukan sesetengah ahli keluarga mangsa banjir berkenaan isu merentas negeri bagi menghulurkan bantuan.

Hambali Zulkarnain, 24, salah seorang ahli keluarga mangsa banjir di Kampung Batu Tiga menyatakan bahawa dia menerima berita berkenaan kampungnya sekitar tujuh pagi ketika dia sedang menuju ke tempat kerja.

“Apabila saya terima berita tersebut, saya terus memikirkan tentang PKPB yang telah dikuatkuasa. Bila saya akan dapat kebenaran merentas negeri? Berapa ramai ahli keluarga yang akan dibenarkan?” katanya.

Tambah Hambali, dia runsing memikirkan tentang kebenaran merentas negeri dan berbincang semula dengan ahli keluarganya yang sedang berada di Selangor untuk memohon permit di balai polis.

“Akhirnya, hanya kedua ibu bapa dan beberapa ahli keluarga saya yang telah memohon sahaja yang akan pergi ke sana esok pagi,” katanya lagi.

Menurut sumber Berita Harian, kejadian banjir kilat sekurang – kurangnya di sembilan kawasan di daerah Seremban dan Rantau susulan hujan lebat yang berterusan sekitar tiga jam bermula 12:30 tengah malam tadi lebih memberikan kesan kepada kawasan rendah apabila air bergerak laju dipercayai kesan limpahan Sungai Temiang dan Sungai Linggi.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seremban, Lt (PA) Mohd Najib Abd Karim berkata, kawasan paling teruk menerima kesan banjir adalah Taman Happy, Kampung Datuk Mansor dan Kampung Batu Tiga serta Siliau di Rantau.

Tambahnya lagi, laporan awal menunjukkan sekitar 500 penduduk menerima kesan daripada banjir kilat, namun tiada laporan membabitkan kehilangan nyawa setakat ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Sawah Rantau, Fatihahtul Shela Shamsudin, 33, berkata ini merupakan banjir kilat kali pertama sejak 20 tahun di kawasan perkampungan itu yang membabitkan sekitar 50 keluarga.

“Sudah lama kampung kami tidak dilanda banjir kilat, namun kami lega kerana kejadian ini tidak membabitkan kerosakan harta benda teruk atau kehilangan nyawa,” katanya.

109 views0 comments

Related Posts

See All