Oleh : Fath Abu Bakar
Penyunting : Dina Syafiqah Mohd Zan
ALOR GAJAH, 26 Nov – Sejak peningkatan penularan wabak Covid-19 yang melanda Malaysia, kawasan rekreasi Air Panas Cherana Putih dikatakan terjejas dan semakin kurang mendapat sambutan daripada pengunjung pada masa ini.
Selepas beberapa tahun kawasan rekreasi ini terbiar dan tidak dijaga, kawasan ini telah dibaik pulih dan dihidupkan semula oleh Pihak Air Panas Jasin Melaka pada tahun lalu. Lokasi Air Panas Cherana Putih merupakan lokasi yang strategik kerana berdekatan dengan Tol Simpang Ampat dan tidak jauh daripada Bandar Alor Gajah ini mudah bagi pengunjung datang namun masih kurang juga untuk menarik para pengunjung terutamanya penduduk yang berdekatan dengannya.
Ketua UMNO Cawangan Cherana Putih, Mohd Nazaruddin Md Idris berkata, “Air Panas Cherana Putih ini salah satu daripada cara untuk menarik pengunjung, kalau kita tengok bersebelahan dengan air panas ini ada lagi kawasan yang mana kerajaan negeri boleh membuat pengambilan tanah jadi maksudnya bila dah ada pengambilan tanah di kawasan persekitaran itu agak luas, jadi pengunjung senang dan mudah untuk parking kereta dan kawasan air panas itu boleh diperbesarkan kerana Air Panas Cherana Putih ini keluasannya agak kecil jadi kurang menarik minat para pengunjung. Jadi salah satu ialah pengambilan tanah supaya kita dapat memperluaskan lagi kawasan air panas dan kawasan parking kereta”.
Kata salah seorang penduduk kampung itu, Nor Atikah Abdullah. “Sebelum orang lain yang menjaga Air Panas Cherana Putih ini, penduduk kampung masih dapat harga discount sebagai penduduk kampung yang beralamat kampung Cherana Putih tetapi disebabkan dah tukar orang yang menjaganya harga yang dikenakan sangat mahal sehingga penduduk kampung sendiri berfikiran negatif untuk ke sana”
Nadi Bangi juga sempat menemu ramah salah seorang pengunjung tetap, Muhammad Khairul Anuwar. “Pada pendapat saya selaku orang yang duduk berdekatan dengan Air Panas Cherana Putih itu sebab harganya yang agak tinggi dan tidak berbaloi untuk penduduk kampung pergi ke air panas tersebut misalnya boleh buat perbandingan harga sebagai contoh tahun-tahun sebelum ini harga untuk masuk ke sana agak murah berbanding tahun ini. Kedua, kolam di sana tidak banyak dan tiada permainan untuk kanak-kanak, jadi kebanyakan ibu bapa akan datang ke Air Panas Cherana Putih itu membawa anak-anak dan mereka inilah akan bermain di kawasan tersebut. Kebanyakan ibu bapa yang datang cuma untuk rendam kaki sahaja”.
Tambahnya lagi, “Saya cadangkan agar buat promosi seperti potongan harga diberikan kepada pengunjung. Sebagai contoh kita beri potongan harga kepada pelanggan yang membawa ahli keluarga yang lebih daripada 5 orang. Seterusnya, memperbanyakkan lagi kolam dan tempat permainan kanak-kanak dengan cara ini ianya dapat menarik minat kanak-kanak untuk datang ke sini kerana mereka akan mengajak ibu bapa mereka untuk datang dan bersama-sama dengan keluarga mereka di sini”
“Ketiga, boleh juga membuat potongan harga dan masuk percuma kepada anak jati Melaka atau jika pada masa itu ulang tahun kelahiran pelanggan itu, kita beri pelanggan itu secara percuma dengan cara menunjukkan kad pengenalan di kaunter. Selain itu, perlulah menyediakan gerai-gerai makanan supaya mudah para pelanggan yang datang ke sana untuk membeli makanan mereka dan makan di sekitar itu jadi dapat meringankan beban pengunjung untuk membawa makanan dari rumah”.
Commentaires