Oleh: Syahzanani Sajidah
Penyunting: Fazlan Kamaruzaman
Sumber: Astro Awani
PUTRAJAYA, 1 Julai: Kerajaan bersetuju aktiviti keagamaan seperti kuliah, solat berjemaah, kelas mengaji dan lain-lain aktiviti keagamaan di masjid dan surau diadakan bermula hujung minggu ini, pada bila-bila masa mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
Perkara ini susulan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang tidak membenarkan sebarang aktiviti keagamaan diadakan di masjid dan surau bagi mengelakkan pengumpulan orang ramai di satu-satu tempat.
Dalam sidang media harian yang dilakukan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju aktiviti keagamaan seperti kuliah dan solat dhuha diadakan di masjid dan surau minggu ini dengan syarat penjarakkan sosial harus dipatuhi berdasarkan keluasan masjid dan surau,
Tidak ketinggalan aktiviti seperti kelas mengaji dan kelas fardhu ain yang turut dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau pada bila-bila masa bermula minggu ini, namun kebenaran ini adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan.
“Kerajaan bersetuju untuk membenarkan kuliah dan solat dhuha diadakan di masjid serta surau, kelas mengaji dan kelas fardhu ain juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau dengan syarat penjarakkan sosial dipatuhi berdasarkan keluasan masjid dan surau”,
“Kuliah dan solat dhuha, serta kelas mengaji dan kelas fardhu ain boleh diadakan di masjid dan surau bermula minggu ini pada bila-bila masa, anytime, walaubagaimanapun kebenaran ini adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan, termasuk solat berjemaah serta solat Jumaat dan sebagainya”, kata beliau dalam sidang media yang disiarkan oleh Astro Awani.
Justeru itu, Nadi bangi sempat menemu bual beberapa orang awam bagi mendapatkan reaksi mereka terhadap kebenaran yang memboleh mengadakan aktiviti keagamaan di masjid dan surau bermula minggu ini.
Rahmah Ayob, 69, yang merupakan seorang suri rumah mengatakan bahawa dia sangat gembira apabila aktiviti keagamaan di masjid dan surau sudah mula dibenarkan beroperasi kerana dia boleh pergi ke kelas mengaji seperti biasa yang dilakukan sebelum pelaksanaan PKP.
“Makcik sangat gembira kerana kelas mengaji sudah dibenarkan di masjid dan surau, bukan apa, makcik sudah lama tidak mengaji dan sangat rindu untuk mengaji di masjid bersama rakan-rakan di kelas” katanya ketika ditemu bual.
Manakala Saidon Salman, 71, yang merupakan ahli masjid turut berasa gembira apabila kuliah keagaaman di masjid dan surau sudah mula dibenarkan, ini disebabkan masjid di kawasan perumahannya yang sudah lama sunyi dan tidak semeriah seperti sebelum PKP dilaksanakan.
“Alhamdulillah, pakcik bersyukur kuliah di masjid sudah mula dibenarkan, sebelum ini masjid di kawasan perumahan pakcik sangat sunyi dan tidak semeriah dahulu akibat pelaksanaan PKP, tapi dengan kebenaran kerajaan ini diharapkan masjid akan mula meriah seperti dahulu”, katanya ketika ditemu bual.
Dalam pada itu, Sabrina Salleh, 38, yang merupakan seorang guru di kelas fardhu ain berpendapat bahawa kebenaran untuk mengadakan aktiviti keagamaan di masjid dan surau adalah satu berita yang menggembirakan kerana dia dapat mengadakan kelas fardhu ain yang juga merupakan sumber pendapatannya.
“Saya gembira kerana kelas fardhu ain sudah boleh beroperasi di masjid, ini disebabkan sudah lama saya tidak mengadakan kelas bersama murid, dalam pada masa yang sama juga sumber pendapatan saya turut terjejas selama beberapa bulan kebelakangan ini”, katanya ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.
Comments