Nadi Bangi
Aktiviti Menarik Yang Boleh Dilakukan Sewaktu PKP
Oleh : Ain Arifah Zainal
Penyunting : Sarah Marini

Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa masyarakat untuk berkuarantin di rumah menimbulkan pelbagai reaksi dan seribu satu rasa kebosanan di dalam diri setiap masyarakat. Namun begitu, melalui hasil perkongsian di media sosial menunjukkan bahawa masyarakat kreatif dalam mengatasi rasa bosan di rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik sepanjang perlaksanaan PKP.
Terdapat banyak aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh menceriakan waktu kuarantin anda dirumah. Antaranya ialah, berkelah di kawasan rumah sama ada di dalam mahupun di perkarangan luar rumah. Aktiviti ini bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah, aktiviti ini dapat menjadikan setiap ahli keluarga menghargai usaha satu sama lain. Menurut Emma, seorang blogger antarabangsa (imperfectlyperfectmama.com), antara kelebihan berkelah bersama keluarga ialah berkelah merupakan salah satu cara terbaik untuk memupuk rasa cinta kepada alam, mencetuskan kreativiti anak, dan dapat menghidarkan tekanan dalam diri ibu bapa mahupun anak-anak.
Selain itu, anda juga boleh mencuba untuk menulis journal, laman blog atau merakam video bagi mengisi hari-hari anda. Mempelajari pengajaran dan pengalaman daripada Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 yang lalu, segelintir masyarakat mengalami tekanan dan depresi yang sangat teruk berikutan tempoh kuarantin yang berpanjangan berikutan mengalami masalah keluarga, tekanan belajar dan sebagainya sepanjang tempoh berkenaan. Oleh itu, anda boleh mengambil langkah untuk berkongsikan pengalaman anda sepanjang pandemik dengan merakam video atau menulis bagi meluahkan perasaan bagi mengelakkan tekanan atau depresi daripada membelenggu diri anda.
Sumber : Google
Jika kita imbas kembali Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 yang dilaksanakan pada bulan Mac 2020, pelbagai aktiviti menarik dan perkara baharu yang dikongsikan oleh rakyat Malaysia bagi mengisi hari-hari mereka di rumah. Hal ini terbukti apabila fenomena Dalgona Coffee telah menghantui segenap masyarakat dan menjadikan semua orang mahu mencuba menghasilkan kopi viral tersebut di rumah dengan hanya dua bahan utama iaitu susu dan serbuk kopi.
Selain itu, aktiviti bersama keluarga seperti menonton filem juga menjadi salah satu aktiviti utama sewaktu PKP. Masyarakat dunia termasuklah Malaysia tidak terkecuali dalam melanggan Netflix iaitu laman video atas talian yang kini menjadi pilihan utama masyarakat selain daripada iflix, astro dan lain-lain. Menurut Berita Harian, Netflix telah mencatatkan peningkatan keuntungan berikutan pertambahan langganan kepada hampir 16 juta ketika pandemik ini berlaku. Seorang penganalisis eMarketer, Eric Haggstrom berkata,
“Perniagaan mereka (Netflix) sangat sesuai dengan populasi yang hanya duduk di rumah.”
Kesimpulannya, meskipun seluruh negara sedang mengenang nasib terhadap arahan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk sekian kalinya yang telah bermula pada 14 Januari lalu sehingga 26 Januari 2021, manfaatkanlah tempoh kuarantin sepanjang PKP ini berlangsung. Perintah ini mungkin memberikan kesan negatif kepada masyarakat, tetapi, jika kita cuba melihat dari sudut pandangan yang lain, perintah ini dapat memberikan seribu satu kebaikan kepada masyarakat terutama sekali kepada institusi kekeluargaan.