top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Amalan Pengurusan Masa Harus Dipupuk Dalam Golongan Pelajar

Oleh: Andrew

Penyunting: Ariq


Sumber: Google


Pelajar yang dapat mengurus masa dengan baik dapat meningkatkan pencapaian prestasi akademik mereka dan seterusnya menyumbang kepada kepuasan dalam kehidupan. Berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh Norzaini binti Azman yang bertema ‘Perkaitan Antara Pengurusan Masa Dan Stres Dalam Kalangan Pelajar Siswazah Di IPTA’, ia menyatakan bahawa stres mempunyai hubungan yang kuat dalam mempengaruhi prestasi akademik pelajar universiti di Malaysia.


Kemahiran ini amat diperlukan dalam diri seorang pelajar yang mempunyai banyak tugasan untuk dilaksanakan dalam tempoh masa yang terhad. Ia boleh dianggap sebagai kaedah sistematik dalam menentukan perkara yang perlu dilakukan mengikut keutamaan.

Seseorang yang bijak dalam mengawal dan menggunakan masa dengan baik mampu mencapai kejayaan dan kepuasan dalam kehidupan. Oleh itu, pengurusan masa yang berkesan amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar.


Menurut Janssen, R. sebagai Vesicomyidae dari Edison Seamount (South West Pacific) menyatakan bahawa “Secara umumnya, pengurusan masa merupakan satu kemahiran teras yang terlibat dalam semua perkara yang dilakukan oleh manusia. Kemahiran ini membawa maksud kemahiran pengurusan kehidupan”.


Menurut Michael Kopper sebagai seorang eksekutif Enron berkata, “ Ia merupakan teknik dan cara seseorang itu mengatur, mengurus dan membahagikan masa sehariannya dengan berkesan”.


Berdasarkan kajian-kajian yang dilaksanakan di Malaysia, kajian yang bertemakan pengurusan masa dan stres pelajar IPT tidak banyak dilakukan, kebanyakan kajian pengurusan masa pelajar lebih menjurus kepada hubungannya dengan pencapaian akademik dan gaya pembelajaran.


Kebanyakan kajian adalah melaporkan pengurusan masa yang baik mempunyai perkaitan dengan pencapaian akademik seseorang pelajar. Ini bermakna, Amalan pengurusan masa yang baik hanya perlu dilaksanakan melalui beberapa cara yang mudah dan efektif sahaja, seperti:


Gunakan kalendar dalam talian

Dengan menggunakan kalendar dalam talian, anda dapat mencapainya daripada alat yang pelbagai, dapat membuat jadual mesyuarat dan temujanji dengan mudah dan membuat nota peringatan. Sebagai contoh anda ingin menulis satu artikel untuk blog anda. Anda hadkan setengah jam untuk hasilkan artikel tersebut. Ini menjadikan kerja yang anda lakukan itu lebih menyeronokkan kerana sudah wujud satu ‘permainan’ atau game disini dengan had masa tersebut.

Menjalankan perancangan


Jika kita tiada perancangan, kita akan menumpukan kepada perkara yang remeh-temeh. Perancangan boleh dilakukan pada waktu malam dan waktu pagi. Pada waktu malam, tetapkan 15 perkara-perkara penting untuk dilakukan pada esok hari. Pada waktu pagi pula, tulis 3 atau 4 perkara penting untuk dilakukan pada hari tersebut dan lakukannya pada waktu di mana anda paling produktif.



Buat senarai tugasan yang perlu dilakukan (To-do-list)


Satu projek yang dihasilkan adalah manifestasi daripada perkara-perkara kecil yang dilakukan. Dengan membuat senarai tugasan juga menjadikan anda lebih fokus dan seterusnya memberi dorongan dan motivasi kepada anda apabila melihat apa yang telah dicapai dan apa yang belum dicapai lagi.

Selain daripada itu, pengurusan masa yang baik dalam kehidupan seharian kita dapat membantu golongan pelajar untuk memastikan masa tidak disalahgunakan dan amalan ini dapat membawa kesan yang baik kepada golongan pelajar juga seperti berikut:


Disiplin diri yang mantap dapat dibentuk


Seseorang itu dapat memupuk sifat menepati masa jika mereka mampu menguruskan masa dengan berkesan. Pembahagian masa yang tersusun juga mampu menjadikan seseorang itu patuh pada peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar perlu merancang masa dengan betul apabila mereka pulang dari sekolah seperti menetapkan masa belajar, menyiapkan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran di samping masa untuk beriadah, menonton televisyen dan mengaji Al-Quran.


Jadual yang dirancang ini dapat menjadikan pelajar tersebut berupaya menguruskan kehidupannya dengan teratur kerana mereka dapat melaksanakan urusan kehidupan mereka secara teratur. Mereka perlu mematuhi jadual yang telah dirancang dan menepati masa yang telah ditetapkan. Jika hal ini berlaku, seseorang itu dapat memupuk disiplin diri yang kukuh kerana mereka telah menguruskan masa dengan berkesan.


Urusan dapat disiapkan dengan lancar


Pengurusan masa yang berkesan mampu membuatkan kita menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang. Dalam hal ini, ketepatan masa dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan mampu menghasilkan tugasan yang berkualiti. Seseorang yang bijak merancang masa dapat menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut durasi masa yang telah ditetapkan jika mereka menguruskan masa dengan berkesan. Mereka tidak akan tergesa-gesa melakukan sesuatu pekerjaan jika pembahagian masa telah dibuat secara berjadual.


Dapat mengelakkan diri daripada tekanan


Pada masa yang sama, seseorang itu tidak akan berada dalam keadaan tertekan kerana proses menyiapkan tugasan yang diberikan itu telah dilakukan secara tenang, bukannya disiapkan secara tergesa-gesa apabila tempoh tamat hampir tiba. Hasilnya, tugasan yang diberikan itu akan menjadi lebih berkualiti dan dapat diserahkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.


Bukan sahaja berjaya di bidang akademik, pelajar juga perlu berjaya dalam bidang sukan, aktiviti kokurikulum dan agama. Oleh itu, kita perlu menguruskan masa dengan betul supaya aktiviti harian dapat dijalankan dengan berkesan dan seterusnya melahirkan insan yang cemerlang dalam semua bidang. Pendek kata dapatlah kita rumuskan bahawa pelajar-pelajar yang pandai menguruskan masa biasanya akan berjaya dalam kehidupan dan mereka juga berani menghadapi cabaran dan rintangan hidup.


3,209 views1 comment

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page