top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ambil Tahu Apa Itu Sindrom Tourette

Oleh : Fath Abu Bakar

Penyunting : Dina Syafiqah Mohd Zan

Sumber : Google

Cuba anda bayangkan jika satu hari nanti ada seorang individu di sebelah anda berkelakuan ganjil seperti mengeluarkan bunyi dengusan dan bersiul serta membuat pergerakan yang pelik seperti menggeleng, mengangguk, dan berkedip secara tiba-tiba. Apakah yang anda akan fikirkan tentang individu itu?


Ini bermakna individu di sebelah anda itu berkemungkinan menghidapi Sindrom Tourette. Penyakit ini masih lagi belum diketahui umum oleh masyarakat kerana ciri-cirinya yang tidak jelas seperti sindrom yang lain. Tahukah anda menurut Persatuan Tourette Amerika telah menganggarkan bahawa 1 daripada 100 kanak-kanak bersekolah menghidapi sindrom ini.


Sindrom Tourette merupakan gangguan pada saraf otak yang dihidapi oleh pesakit iaitu neurologikal mereka boleh mengakibatkan berlakunya perbuatan dan kata-kata di luar kawalan mereka yang tidak disengajakan dan berulang-ulang. Mereka yang berkelakuan sebegitu dan menghidapi sindrom ini juga dikenali sebagai tics. Penghidap Sindrom Tourette ini akan menghadapi masalah jika berinteraksi dengan orang lain kerana mereka akan melakukan pergerakan yang sama secara berulang kali ketika bertutur.


Menurut kajian pakar perubatan yang mengkaji tentang sindrom ini ada menyatakan beberapa punca berlakunya Sindrom Tourette ini antaranya adalah faktor genetik. Faktor genetik ini berlaku apabila salah seorang daripada pewaris akan menurunkan genetik dan salinan gen yang tidak sempurna kepada pewaris mereka yang lain menerusi kehamilan. Seterusnya, punca lain pula adalah masalah kelahiran yang dihadapi oleh ibu tersebut saat melahirkan bayi mereka dimana kanak-kanak yang menghidapi Sindrom Tourette ini dikatakan berkemungkinan besar pernah mengalami kesukaran ketika kelahirannya atau ibu mereka sendiri yang mengalami masalah dan kesukaran semasa kehamilan.

Sumber : Erin Sakura

Bagi mengetahui simptom-simptom Sindrom Tourette dan gejala tics ini, ia terbahagi kepada dua jenis iaitu tics motor dan tics vokal. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh American Academy Psychiatric Assosiation (AFPA) ada beberapa jenis yang berlaku kepada penghidap sindrom ini antaranya ialah mengangkat bahu, mulut terbuka, membuat reaksi di muka, berlakunya ketegangan otot ketika bergerak dan membengkokkan jarinya. Pergerakan ini di kategorikan sebagai tics motor. Bagi jenis tics vokal pula, seseorang penghidap itu akan mengeluarkan bunyi dengusan, menjerit dan memekik secara tiba-tiba, batuk, meludah, bersiul, berdecit, ketawa dan juga mengeluarkan bunyi sedu.


Filem berjudul Hitchki yang dibintangi oleh pelakon hebat iaitu Rani Mukerji yang memegang watak utama sebagai guru yang menghidapi Sindrom Tourette ini telah membuka mata masyarakat dan memberi pengajaran serta mendapat sambutan yang baik daripada penonton yang menonton filem ini. Hal ini demikian kerana Rani Mukerji sebagai Naina Mathur dalam filem ini yang tidak patah semangat untuk menggapai cita-citanya sebagai guru walaupun mempunyai kekurangan yang dihadapinya sejak kecil tetapi tidak menganggap penyakit itu sebagai halangannya untuk berjaya dalam kehidupan. Oleh itu, filem ini telah memberi kesedaran kepada masyarakat yang menonton bahawa penghidap sindrom Tourette ini juga boleh berjaya seperti orang lain.


Seterusnya, Nadi Bangi sempat melihat video yang dimuat naik oleh seorang pelajar yang merupakan salah seorang penghidap Sindrom Tourette di laman media sosial Tiktok miliknya (@daylandalani). Dayang Alani yang kini berusia 20 tahun telah menghidapi sindrom ini ketika berusia 10 tahun dan sehingga kini masih lagi tidak dapat mengawal tics yang dihidapinya. Beliau yang popular di Tiktok kerana telah berkongsi kehidupan hariannya sebagai penghidap sindrom dan menjadikan sebagai kandungan untuk akaun tiktoknya ini telah menarik minat netizen dan secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan sindrom ini di Malaysia. Rata-rata netizen yang melihat video yang dikongsi beliau memberi kata-kata semangat dan sokongan kepadanya tetapi ada juga sesetengah daripada mereka meninggalkan komen yang berbaur negatif yang mendakwa penyakit yang dihidapinya hanya pergerakan yang dibuat-buat dan berlakon semata-mata sahaja.


Justeru, ibu bapa haruslah peka terhadap tingkah laku anak-anak jika mereka mempunyai simptom-simptom sindrom ini segeralah ke hospital bagi mendapat rawatan dan berkemungkinan dapat mencegah daripada penyakit ini. Selain itu, di Malaysia juga mempunyai kumpulan seperti Tics and Tourette Syndrome Malaysia Support Group yang aktif di laman media sosial Facebook. Melalui kumpulan ini netizen dapat menambahkan pengetahuan yang lebih terperinci tentang Sindrom Tourette ini yang dikongsi sendiri oleh individu-individu yang menghidapinya.

266 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page