Penulis : Kuvineshwaren Nedunjelian
Penyunting : Muhammad Akmal Arfan Roslan
Sumber Foto: Muhammad Azhar
BANGI, 27 Dis - Anak seorang nelayan dan pembantu kedai runcit telah dinobatkan anugerah pelatih terbaik di Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun 2022.
Muhammad Azhar Bin Mohamad Roslee, 22, berasa amat bangga dan sangat bersyukur kerana beliau mendapat kenangan serta banyak pengalaman pahit manis yang dilalui sepanjang 3 tahun menyertai suksis.
“Apabila saya menerima anugerah ini, saya menganggap ini satu pengakhiran yang sangat menggembirakan dalam keluarga suksis,” kata Azhar.
Azhar menyertai Kor SUKSIS kerana beliau berminat dalam bidang kepolisan dan sejak dari bangku sekolah lagi sudah menyertai kadet polis serta berpengalaman dalam bidang berkenaan.
“Saya harus membahagikan masa saya sebagai seorang pelajar dan sebagai seorang pelatih suksis, kadangkala saya terpaksa korbankan masa rehat saya untuk menyiapkan tugasan pada hujung minggu kerana latihan suksis diadakan pada hujung minggu,” ujarnya.
Azhar juga berpesan kepada para penerima tauliah inspektor yang akan datang untuk teruskan berjuang dalam menjalani latihan dalam suksis dan cuba dapatkan sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu kepolisan kerana sedikit sebanyak ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat juga.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Polis negeri Selangor, YDH CP Dato’ Arjunaidi bin Mohamed dan turut hadir bersama iaitu Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan, Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Dr Parasuraman Subramaniam.
Sumber Foto: Instagram @ukminsta
Seramai 66 pelatih Kor SUKSIS ditauliahkan sebagai Inspektor Sukarelawanan Polis pada Majlis ini.
Menurut Ketua Program Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS UKM tahun 2022, Muhammad Farid Bin Mohamed Nazari sangat teruja kerana ini merupakan program pertama yang beliau kendalikan bersama pihak PDRM dan pihak UKM sendiri serta pihak-pihak luar.
“Saya selaku ketua program majlis hanya mengharapkan majlis akan berjalan dengan lancar disamping kita meraikan sahabat-sahabt skuad senior yang lepas.” kata Farid.
Farid juga berkata kawalan kehormatan juga merupakan salah satu aturcara yang sangat ditunggu-tunggu kerana iai merupakan satu simbolik yang akan menunjukkan bahawa pentauliahan yang dibuat adalah berbaloi dengan masa dah tenaga yang dibazirkan.
“Penerima sijil tauliah paling maksimum ada seramai 70 orang pelatih disebabkan 70 orang tersebut adalah jumlah bagi pengambilan satu skuad tetapi untuk pentauliahan kali ini, hanya seramai 66 orang sahaja iaitu 3 orang pelatih sudah keluar sejak awal dan seorang lagi masih dapat sijil tersebut cumanya tidak bernasib baik kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan,” kata Farid.
Comments