top of page
  • Writer's pictureSharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Anak Sarawak Night Run 2022 Tarik 5000 peserta

Updated: Jan 7, 2023

Penulis : Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Penyunting: Siti Kamariah Sujeno


Aktiviti senamrobik sebelum acara Flag-off.



KOTA DAMANSARA, 5 Nov - Seramai 5000 orang peserta terlibat dalam Anak Sarawak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dash Penchala Link Tunnel Night Run 2022 pada 5 November dan telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record(MBOR) dalam acara larian pada waktu malam melalui terowong dan lebuhraya.


Larian anjuran Sarawak Volunteers dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya(KKR). LLM, DASH Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) ini dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.


Menurut Menteri Kanan Kerja Raya dan penasihat Sarawak Volunteers, Datuk Seri Fadillah Yusof, acara larian ini pertama kalinya dianjurkan di Kuala Lumpur dengan kerjasama Sarawak Volunteer.


“Larian ini telah dimasukkan ke dalam MBOR sebagai larian terpanjang melalui terowong pada waktu malam iaitu sejauh 780 meter dan larian melalui halangan bunyi sepanjang 260 meter,” katanya.


Terdapat enam kategori dipertandingkan iaitu 12 km International Men’s/Women’s Open, 12 km Malaysia Men’s Open/Men’s Senior, 12 km Malaysia Women’s Open/Women’s Senior, 4 km Malaysian Men’s/Women Fun Run, 12 km Sarawak Only Men’s/Women’s Open, dan 4 km Sarawak Men’s/Women’s Open.


Acara ini terdiri daripada peserta dari dalam dan luar negara serta pelajar-pelajar Sarawak sekitar Lembah Klang.


“Saya rasa amat seronok untuk mengikuti larian kali ini kerana dapat berjumpa dan merapatkan hubungan silaturahim dengan ramai anak-anak Sarawak yang lain. Ini juga pengalaman baru untuk mengikuti larian pada waktu malam,” kata Joanna Bridget, yang merupakan peserta dari Sarawak.


Bagi Josephine Angkun, 22, yang merupakan pelajar UPSI berkata larian pertamanya di Semenanjung sangat meriah kerana ramai pengunjung yang hadir terutamanya anak Sarawak.


“Saya seronok untuk turut serta dalam acara larian pada malam ini apabila melihat sokongan yang ditunjukkan oleh para pengunjung terutamanya warga Sarawak dan saya berasa gembira mendapat tempat ketiga dalam acara 4 km Sarawak Women’s Open,” katanya.


Muhd Fuad Ahmad, 30, seorang pemandu peribadi juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti acara larian yang pertama kalinya dianjurkan di lebuh raya dan berharap lebih banyak pertandingan sihat dianjurkan lagi pada masa akan datang.


Juara bagi kategori 12 km terbuka Malaysia membawa pulang RM1500 manakala juara kategori 4 km terbuka Malaysia dan 12 km terbuka antarabangsa membawa pulang RM500.


AS LLM Dash Penchala Link Tunnel Night Run turut dimeriahkan dengan persembahan penutupan daripada kumpulan Bunkface di Plaza Tol DASH Kota Damansara.


72 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page