top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Aplikasi Serbaguna Sepanjang Bulan Ramadhan

Oleh: Anis Natasya

Penyunting: Haziq Johan


Sumber: Google


Bulan Ramadan iaitu bulan penuh rahmat telah kembali tiba pada tahun ini. Bagi menghadapi bulan mulia ini, terdapat beberapa aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun oleh para penganut umat Islam bagi melengkapkan dan memudahkan kehidupan seharian. Daripada aplikasi untuk mengetahui waktu berbuka sehinggalah aplikasi penceritaan kisah teladan Islam, terdapat pelbagai jenis aplikasi yang sesuai dimuat turun oleh pelbagai lapisan umur sepanjang bulan Ramadan kali ini. Kesemua aplikasi ini dapat dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.


Muslim Pro: Ramadan 2021


Muslim Pro merupakan salah satu aplikasi yang paling popular di kalangan umat Islam. Aplikasi telefon pintar ini menawarkan pelbagai fungsi seperti laungan azan, pemberitahuan waktu-waktu solat, penunjuk kiblat, kalendar Islam, dan Al-Quran yang disertakan rakaman audionya. Pengguna boleh menggunakan aplikasi ini untuk mengetahui waktu Imsak dan Iftar ketika sepanjang bulan Ramadan ini. Aplikasi ini juga telah diterjemah dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Indonesia, bahasa Arab, bahasa Cina dan banyak lagi.


Productive - Habit Tracker


Ketika bulan Ramadan, terdapat pelbagai perubahan yang akan berlaku dari segi rutin harian dan keutamaan. Salah satu tujuan bulan ini juga adalah untuk meningkatkan disiplin diri serta menambah amal ibadat. Antara fungsi yang ditawarkan oleh aplikasi ini ialah penetapan jadual harian, peringatan pintar serta perancangan cabaran dan matlamat. Oleh yang demikian, pengguna-pengguna boleh menetapkan matlamat mereka bagi bulan Ramadan kali ini seperti mengkhatam Al-Quran, beribadat pada waktu malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir dan sebagainya.


Grab: Food, Grocery, Taxi, Pay & foodpanda - Food Delivery


Sebagai persediaan menyediakan juadah untuk berbuka, kedua-dua aplikasi ini amatlah berguna bagi yang berpuasa terutamanya kerana bazaar Ramadan tidak dapat dibuka di sesetengah kawasan. Bagi mereka yang sibuk atau tidak mempunyai kemahiran memasak, mereka boleh membuat pesanan makanan dengan mudah melalui aplikasi-aplikasi penghantaran makanan tersebut. Pesanan boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik dan pelbagai juadah dan jenis makanan ditawarkan. Aplikasi-aplikasi tersebut juga menawarkan servis penghantaran bahan-bahan memasak. Ini memudahkan pengguna-pengguna sekiranya mereka tidak mempunyai masa atau bahan yang cukup untuk menyediakan juadah berbuka.


Zero - Simple Fasting Tracker


Salah satu keseronokan bulan Ramadan ialah juadahnya yang pelbagai dan enak. Bagi yang ingin menjaga pemakanan dan berat badan sambil berpuasa, aplikasi ini dapat menjadi pelengkap hidup anda sepanjang bulan ini. Aplikasi ini membantu pengguna tentang pengurusan berat badan melalui nasihat, bimbingan dan kandungan professional yang telah disediakan. Pengguna-pengguna juga dapat mempelajari tentang apa yang sedang berlaku pada tubuh badan mereka ketika berpuasa serta memastikan motivasi diri dikekalkan. Aplikasi ini juga mencatat segala butiran berkenaan pemakanan para pengguna.


Muslim Tales


Bagi ibu bapa yang bekerja, mengajar anak-anak tentang sejarah dan kecantikan agama Islam sepanjang bulan Ramadan boleh menjadi sebuah cabaran yang besar. Dengan aplikasi Muslim Tales, kanak-kanak kecil dapat mengetahui dan mempelajari kisah-kisah yang diambil daripada Al-Quran dengan cara penceritaan yang menyeronokkan. Aplikasi ini menawarkan tujuh pilihan bahasa dan dipenuhi dengan animasi dan karakter yang menarik perhatian. Bukan itu sahaja, jalan cerita yang menarik juga diceritakan oleh pelakon suara profesional. Tujuan aplikasi ini adalah untuk mendidik kanak-kanak daripada pelbagai lapisan umur tentang kisah dan ajaran Al-Quran serta hadis dengan cara yang memukau.

180 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page