Nadi Bangi
Aplikasi Whatsapp Lancar Fungsi Baharu November Ini
Oleh : Aqilah Azanil
Penyunting : Marllisa Anttonysamy

BANGI , 12 Nov – Aplikasi Whatsapp telah melancarkan satu fungsi baru yang dikenali sebagai disappearing messages yang boleh diaktifkan oleh pengguna secara berperingkat setelah mengemaskini aplikasi tersebut.
Disappearing messages berfungsi untuk menghapuskan mesej perbualan bagi pengirim dan penerima mesej selepas tujuh hari fungsi ini diaktifkan. Selain itu, fungsi ini turut menghapuskan video dan gambar yang dihantar ke dalam kotak perbualan Whatsapp. Fungsi ini boleh dikemaskini di semua peranti termasuk iOS, Android, Web dan Desktop.
Fungsi ini boleh diaktifkan oleh sesiapa sahaja sama ada secara peribadi iaitu dengan mengaktifkan ketetapan fungsi tersebut pada mana-mana mesej peribadi (private message) yang dipilih atau admin bagi mesej berkumpulan (chat group) juga boleh mengaktifkan fungsi ini agar mesej tersebut hilang selepas tujuh hari ia dihantar dan diterima oleh pengguna.
Menurut seorang jurucakap Whatsapp, beliau berkata “Fungsi ini diwujudkan bagi menawarkan ketenangan minda kepada pengguna bahawa mesej-mesej tersebut tidak akan kekal dan fungsi ini juga masih praktikal kerana ia dapat membantu pengguna untuk menyimpan mesej perbualan mereka sekiranya perlu”.
Fungsi ini boleh diaktifkan oleh pengguna dengan cara membuka aplikasi Whatsapp kemudian tekan pada nama kenalan, pilih disappearing messages dan akhir sekali tekan pada butang ‘On’. Kini, fungsi ini telah berjaya diaktifkan. Namun, sekiranya pengguna ingin menyahaktifkan fungsi ini, maka langkah yang sama harus dilakukan akan tetapi pengguna hanya perlu memilih butang ‘Off’ pada pilihan tersebut.
Sekiranya pengguna tidak membuka Whatsapp dalam tempoh tujuh hari, mesej tersebut tetap akan terhapus. Namun, mesej mungkin masih dipaparkan pada kotak notifikasi sehingga pengguna membuka aplikasi tersebut.
Whatsapp juga mengesyorkan agar tangkapan layar (screenshot), menyalin semula mesej atau mengaktifkan tetapan chat backup oleh pengguna yang berhasrat untuk menyimpan mesej sebelum ianya lenyap secara automatik selepas tujuh hari fungsi ini diaktifkan.
Justeru, pengguna tidak perlu risau kerana fungsi ini tidak akan menghapuskan mesej-mesej lama dan ia hanya akan terhapus sebaik sahaja pilihan disappearing messages diaktifkan oleh salah satu pihak. Fungsi ini juga adalah tertakluk kepada pengguna sepenuhnya dan tiada kewajipan bagi pengaktifannya.