top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Aplikasi YouTube Kids Memberi Faedah Kepada Masyarakat?

Oleh: Nur Liana Afandi

Penyunting: Muhammad Aiman Shaharudin

Sumber: commomsensemedia.org

Keberadaan anak-anak bersama ibu bapa di rumah lebih kurang 24 jam sehari dianggap salah satu kesan norma baharu yang perlu dihadapi oleh masyarakat terutamanya golongan ibu bapa yang mengalami perubahan suasana kerja sebanyak 360 darjah iaitu Work from Home. Tambahan pula apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan penutupan semua sekolah pada 9 November 2020 susulan penularan Covid-19 sekaligus menamatkan tempoh sesi persekolahan tahun 2020.


Melihat kepada situasi ini, ibu bapa berkerjaya pastinya berdepan dengan cabaran dalam mengawal dan menguruskan anak-anak terutamanya si kecil yang mula meragam dan memberontak seperti membaling barang permainan kerana mulai bosan jika tidak dapat keluar rumah. Aplikasi YouTube Kids dianggap sebagai ‘penyelamat’ atau ‘umpan’ kepada anak-anak agar mereka leka bermain dan tidak mengganggu ibu bapa menyelesaikan tugasan pejabat di rumah. Ibu bapa gemar memuat turun aplikasi tersebut melalui peranti digital kerana memudahkan pencarian video animasi kartun yang mampu menarik perhatian anak-anak. Namun, adakah pendekatan ini merupakan pilihan yang terbaik atau sebaliknya?

Sumber : healthmatters

Menerusi satu kiriman di akaun Facebook milik Clariz Reyes Malicdem yang mendakwa saluran YouTube Kids iaitu Kids Diana Shows dan Vlad and Niki memberi pengaruh buruk kepada anak perempuannya. Pada awalnya, beliau turut menyukai kandungan video tersebut yang dibintangi oleh kanak-kanak bernama Diana dan Roma. Beliau juga tidak menghalang anak perempuannya daripada terus menonton saluran berkenaan setiap hari sebagai saluran kegemarannya. Namun, beliau seolah-olah menyedari perubahan ekspresi anaknya yang mula menjelingkan mata dan kerap mengatakan ‘tidak’ jika disuruh melakukan sesuatu. Anak perempuannya berubah daripada seorang yang naif dan pintar menjadi seorang yang pemarah dan cerewet. Sikap yang ditunjukkan merupakan kesan sampingan terhadap kanak-kanak yang gemar meniru aksi-aksi yang menjadi bahan tontonan mereka di rumah.


Rancangan realiti kanak-kanak dan visual animasi kartun sememangnya bahan tontonan yang tidak asing lagi bagi ibu bapa membenarkan anak-anak mereka menonton di kaca televisyen. Tidak kurang juga ibu bapa yang menghubungkan rangkaian Wayarles (Wi-Fi) untuk memaparkan saluran aplikasi YouTube Kids ke televisyen untuk mengehadkan tontonan anak-anak. Pastinya mereka akan mula leka dan duduk bersendirian serta tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Ibu bapa juga boleh melakukan tugasan pejabat atau urusan rumah seperti memasak dan mengemas tanpa gangguan. Jika dilihat secara kasar, kandungan yang dimuat naik di aplikasi tersebut menyediakan video-video yang sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Tetapi apa yang membimbangkan adalah masih terdapat individu-individu yang tidak bertanggungjawab memuat naik kandungan video yang berunsur keganasan dan disturbing content.

Sumber : Twitter

Kesibukan ibu bapa dengan urusan kerja bukanlah alasan untuk mereka melepaskan tanggungjawab kepada peranti digital untuk mengawal perilaku anak-anak. Walaupun aplikasi YouTube Kids menyediakan pelbagai saluran pembelajaran mengikut tahap umur kanak-kanak, tetapi ia tidak menjamin keselamatan anak-anak terhadap kandungan visual yang dipertontonkan. Ibu bapa masih perlu memantau setiap pilihan saluran yang dipaparkan kepada anak-anak untuk menjamin kesesuaian tontonan seperti kartun atau video yang berunsurkan pendidikan.


Kewujudan aplikasi ini dianggap memudahkan ibu bapa dalam menguruskan anak-anak. Namun, tidaklah semudah itu kerana ia sebenarnya menambahkan lagi tugas ibu bapa untuk memantau setiap penyediaan kandungan video tersebut. Lebih membimbangkan apabila kandungan berunsur negatif hanya diselitkan sebagai selingan yang membuatkan ibu bapa mungkin terlepas pandang terhadap paparan untuk anak-anak. Anak-anak mungkin tidak berupaya untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati, tetapi mereka juga tidak terkecuali dalam menerima kesan pandemik yang turut memberikan perubahan besar kepada aspek emosi, fikiran, dan tingkah laku individu jika dibiarkan. Itulah situasi yang dilalui oleh Clariz Reyes Malicdem yang menyedari perbezaan tingkahlaku anak perempuannya kesan daripada tontonan yang dilihat.


Persoalannya, siapakah yang harus dipersalahkan jika anak-anak mengalami perubahan perwatakan secara mendadak? Adakah kandungan video yang menjadi punca masalah kepada tingkah laku anak-anak atau disebabkan oleh kurang perhatian yang diberikan oleh ibu bapa? Adakah ibu bapa lebih mempercayai kawalan anak-anak oleh peranti digital? Mengapakah ibu bapa lebih mementingkan urusan kerja berbanding memberi perhatian dalam mengurus anak-anak? Adakah aplikasi YouTube Kids merupakan satu inisiatif yang baik dalam mengawal tingkah laku anak-anak? Sejauhmanakah kesesuaian paparan video di aplikasi ini kepada anak-anak? Segalanya bermula dengan didikan dan pantauan ibu bapa kerana ibu bapalah yang menjadi contoh dan ikutan kepada anak-anak. Setiap individu mempunyai 24 jam sehari untuk membahagikan masa mengikut cara tersendiri. Tiada yang lebih penting daripada meluangkan masa dengan anak-anak kerana mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya. Aplikasi YouTube Kids hanyalah sebagai satu platform pembelajaran dan pendedahan awal bagi menarik minat anak-anak untuk mempelajari sesuatu perkara.


Di sinilah fungsi ketetapan diperlukan bagi ibu bapa mengehadkan kebebasan anak-anak dalam mengakses pelbagai video yang mampu menarik perhatian mereka melalui thumbnail video yang terdapat dalam pilihan di paparan utama YouTube Kids. Ibu bapa boleh mengawal masa tontonan dengan tetapan pemasa yang akan mengunci aplikasi ini setelah masa yang ditetapkan tamat. Secara tidak langsung, penetapan masa mampu mengelakkan masalah fungsi visual anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga boleh menyekat pencarian saluran tertentu jika terdapat unsur yang negatif dan berbahaya. Perkara ini sangat membimbangkan kerana kanak-kanak mempunyai keupayaan ingatan yang sangat tinggi seawal usia empat tahun. Jika mereka secara tidak sengaja melihat paparan yang negatif, minda mereka boleh mengingat visual tersebut dalam jangka masa yang lama menyebabkan anak-anak mengalami mimpi buruk atau lebih menakutkan jika mereka cuba meniru aksi ganas yang dipaparkan oleh ibu bapa sendiri.


Realitinya, masih ramai ibu bapa yang kurang kesedaran dan kepekaan terhadap kandungan video yang dikongsi kepada anak-anak. Ramai juga ibu bapa yang sanggup menghabiskan wang untuk membelikan tablet dan memuat turun pelbagai aplikasi educational channel untuk diberikan kepada anak-anak. Namun, ibu bapa kian terlupa jenayah siber boleh berlaku pada bila-bila masa melalui peranti digital yang telahpun diberikan ‘kepercayaan’ untuk mengawal anak-anak mereka. Ibu bapa memainkan peranan utama dalam memberikan pendedahan komunikasi bagi merangsang kebolehan pertuturan dan perkembangan anak anak. Gunakanlah masa dan peluang yang ada untuk melakukan aktiviti kekeluargaan dan banyakkan berinteraksi dengan mereka agar anak-anak mempunyai kemahiran sosial yang baik sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

552 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page