top of page
Writer's pictureNadi Bangi

Apresiasi Karya Bayu Utomo Radjikin “Bujang Berani”

Penulis: Farah Natasya Ramani

Penyunting: Azril Izzat Ramlan

Sumber: Balai Seni Negara


KUALA LUMPUR, 20 Nov - Bagi menghargai koleksi karya seniman tersohor Bayu Utomo Radjikin, satu inisiatif oleh Balai Seni Negara telah dibuat bagi melihat himpunan karya seni antara yang berpengaruh di Malaysia iaitu Bujang Berani melalui laman Facebook penganjur pada Sabtu lalu.


Segmen yang berlangsung selama satu jam itu disampaikan oleh Mat Ali Mat Som, 46, penggiat seni yang namanya semakin meningkat naik dalam bidang ini lebih lebih lagi seni arca.


Bayu Utomo Radjikin bukanlah satu nama yang asing lagi dalam kalangan penggiat seni tanah air mahupun luar negara apabila arca karyanya yang berjudul Bujang Berani memenangi hadiah utama dalam pertandingan Bakat Muda Sezaman pada tahun 1991.


Sejak daripada itu, bidang yang pada asalnya hanya dijadikan hobi berubah menjadi kerjaya. Bayu bergerak aktif dalam bidang seni dengan mengadakan berpuluh-puluh pameran solo serta berkumpulan di seluruh Malaysia. Kini seniman yang berasal dari Tawau, Sabah itu menguruskan satu galeri seni halus, Hom Art Trans di Ampang.




“Dapat dilihat bahawa figura ini mengenakan pakaian seakan pahlawan iaitu baju besi bagi menggambarkan luahan rasa pengarca terhadap penindasan ketika berlakunya peperangan.


Figura ini adalah luahan rasa kepada peperangan yang tidak pernah berakhir baik pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan hinggalah pada waktu semasa arca ini dibuat iaitu pada tahun 1991 apabila tercetusnya Perang Teluk di Iraq.”, kata Mat Ali Mat Som ketika menerangkan perihal arca Bujang Berani.


Tambahnya lagi, arca juga mampu diinterpretasi mengikut pemahaman dan perspektif audiens itu sendiri.


Misalnya, arca ini boleh ditafsir sebagai seorang lelaki yang terbatas menyuarakan hasratnya sendiri. Ini kerana golongan lelaki sinonim dengan kekuatan fizikal mereka namun arca ini tidak mempunyai kaki dan tangan malah hanya kepalanya saja yang mendongak ke atas kelihatan sedang menjerit.


Kekurangan yang ada pada tubuh badan jelas menunjukkan figura ini tidak berdaya secara fizikal namun masih mampu menyampaikan segala yang terpendam dalam dirinya dengan menjerit seperti yang dizahirkan melalui ekspresi wajah arca Bujang Berani.


Arca bersifat tiga dimensi ini diperbuat daripada gabungan media besi campuran dan plaster of Paris dengan saiz berukuran 55⨯ 100⨯ 100cm.


Menurut Mat Ali, bahan plaster jarang digunakan dalam pembuatan arca kerana sifatnya yang sementara.


Oleh kerana itu, Bujang Berani boleh dikatakan unik kerana menggunakan kombinasi bahan yang mudah rapuh dengan bahan yang kukuh malah binaan arca tersebut masih lagi utuh sehingga ke hari ini.


Bagi peminat kumpulan rock terkenal, Search pastinya pernah melihat arca ini dijadikan sebagai gambar kulit album “Rampage” yang diterbitkan pada tahun 1992. Namun, jangan tersalah kerana itu sebenarnya adalah arca berlainan iaitu Lang Kacang yang juga dihasilkan oleh seniman sama, Bayu pada tahun 1991.

2,285 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page