top of page
  • Writer's pictureNurnabila Huda Subandry

ARMY Kecewa Jhope Tidak Melakukan Persembahan Di Golden Disk Award 2023

Penulis: Nurnabila Huda Subandry

Penyunting: Kiranraj Perupathy


Suasana di Golden Disk Award 2023, di Rajamangala Stadium, Thailand. Sumber Foto: Nurnabila Huda


BANGKOK, 7 Jan - Keberadaan nama Jhope, salah seorang ahli kumpulan penyanyi Korea Selatan, BTS di dalam senarai persembahan artis membuatkan ARMY kecewa apabila tiada persembahan yang didakwa dijanjikan oleh pihak Golden Disk Award 2023 (GDA 2023).


ARMY adalah merupakan gelaran peminat kumpulan penyanyi Korea Selatan, BTS dan mereka juga bertindak sebagai ahli kelab peminat penyanyi tersebut.


GDA adalah majlis anugerah muzik utama Korea Selatan tahunan yang menghadiahkan pencapaian dalam industri muzik tempatan dan diasaskan untuk tujuan mempromosi kreativiti budaya popular, menemui artis baharu, dan menyumbang kepada pertumbuhan industri muzik.


Acara ini diadakan setiap tahun dan mula membuat lawatan sekitar Asia sejak tahun 2011, menjadikan Thailand negara perhentian pada tahun 2023 dan bertempat di Stadium Rajamangala, Bangkok.


Nadi Bangi sempat menghadiri konsert ini dan merasakan pengalaman GDA 2023 di negara luar serta dapat menemu ramah beberapa ARMY Filipina, Malaysia dan Thailand.


Peminat BTS, ARMY datang dari sekitar dunia bagi menyertai anugerah muzik kerana penganjur GDA 2023 telah mengumumkan penyanyi-penyanyi di senarai persembahan artis dan Jhope, merupakan salah seorang daripadanya.


Christina Sinta, 21, meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana dia terbang jauh dari Filipina dan menunggu hingga saat akhir majlis anugerah, tetapi Jhope masih tidak muncul untuk memberikan persembahan dan hanya berada disana untuk menerima anugerah.


“Saya ambil pengajaran dari pengalaman ini dan membuat keputusan untuk berfikir dahulu dan tunggu pengesahan daripada syarikat artis atau Jhope sendiri sebelum membuat jangkaan dan membeli tiket,”


“Jujur saya katakan, mungkin saya tidak akan kecewa seteruk ini jika Jhope tiada di barisan persembahan dan cuma hadir sebagai penerima anugerah, saya masih akan beli tiket, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah tahu hendak jangka apa,” luahnya.


Kekecewaan peminat dapat dilihat apabila kebanyakkan daripada mereka mengeluh hal yang sama dan mendakwa penganjur GDA 2023 memperdaya peminat hanya untuk melariskan jualan tiket.


“Peminat membelanjakan banyak wang untuk melancong, menetap di hotel dan membeli tiket tetapi hanya untuk melihat Jhope menerima anugerah? Adakah saya diperdaya? Penganjur seperti mengelirukan peminat dengan membuatkan seperti Jhope bakal membuat persembahan tetapi pada akhirnya, dia hanya menerima anugerah,” Aiman Amirah, 25, salah seorang ARMY yang hadir ke GDA 2023 dari Malaysia.


“Ramai ARMY membeli tiket dan terbang dari serata dunia untuk melihat persembahan Jhope, tetapi perkara ini seolah-olah penganjur hanya ingin menarik lebih ramai pembeli supaya tiket dijual habis,” tambahnya.


Kate Kanok Kanya, 21, salah seorang ARMY Thailand merasakan perkara ini amat tidak adil bagi peminat yang datang dari luar negara untuk melaburkan wang yang sebanyak itu.


“Walaupun acara diadakan berdekatan tempat tinggal saya, rakan-rakan ARMY saya dari Indonesia sanggup datang ke Thailand untuk melihat Jhope membuat persembahan, mereka menangis di depan saya selepas majlis anugerah tamat dan beliau tidak melakukan apa-apa persembahan!


“Penganjur sepatutnya melakukan promosi dengan cara yang jujur, bukan hanya bertujuan untuk mengikis wang peminat,” tambahnya lagi.


Sumber Foto: Twitter @GoldenDisc_en


Selepas pihak GDA 2023 mengumumkan Jhope termasuk dalam barisan artis persembahan di laman Twitter mereka, jumlah tiket di laman sesawang penganjur, allticket.com mula menampakkan kekurangan yang mendadak.


Promosi yang mengelirukan oleh pihak GDA 2023 telah membuatkan peminat mempunyai jangkaan yang tinggi dan akhirnya mengecewakan mereka dengan majlis anugerah yang berlangsung pada malam Sabtu itu.



10 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page