top of page
  • Writer's pictureKogileswary

Artis Popular Tempatan Tampil dalam Malam Teater Kesenian ke-5

Penulis : Kogileswari A/P Vellisamy

Penyunting : Muhammad Danial Haziq Bin Roslee


Sumber: Perwakilan Mahasiswa India


BANGI, 26 Jun - Pelakon-pelakon tempatan yang tersohor seperti Vikadakavi Magen, Kash Villain, Vanessa Cruez, Moonnila, Mogan Das, Irfan Zaini, Vicky Rao hadir sebagai tetamu khas bagi memeriahkan Malam Teater Kesenian (MTK).


Perwakilan Mahasiswa India (PMI) telah menganjurkan program MTK ke-5 di Panggung Seni dengan tema ‘MELESTARIKAN BUDAYA, MEMARTABATKAN BANGSA’ selepas dua tahun tidak berlangsung akibat pandemik.


Majlis ini dirasmikan oleh Prof. Madya Dr Elankovan Sundararajan, Penasihat Perwakilan Mahasiswa India bersama Ketua Puteri MIC Kebangsaan dan Cik Shaliny Rajaram. MTK turut menjadi platform untuk melancarkan teaser filem tempatan iaitu ‘Senthozhan Sengkathirvanan’ yang diarahkan oleh Govind Singh. Para pelakon filem tersebut menghadiri majlis ini untuk mempromosikan filem serta sebagai tanda menyokong kesenian dan kebudayaan India.


Program MTK dianjurkan bagi menyediakan platform kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat mereka dalam bidang persembahan teater, memperkenalkan kesenian dan kebudayaan masyarakat India kepada masyarakat dalam dan luar kampus UKM. Anjuran program ini turut membantu dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli PMI.


Drama pentas ini berjudul ‘Azhivin Athiyayam’ yang membawa maksud permulaan kepada kemusnahan. Cerita ini diarahkan oleh Sevvandhi A/P Murugan, pelajar tahun 2, Linguistik. Seramai 12 orang pelajar telah terlibat sebagai pelakon manakala seramai 20 orang telah menjadi kru bagi MTK.


“Para pelakon telah menonjolkan bakat mereka dalam bidang pementasan teater dimana walaupun mereka telah dilatih dalam masa yang singkat dan ada juga yang demam pada saat-saat akhir tetapi mereka tetap gigih dan berjaya berlakon pada hari kejadian. Tidak lupa lagi kru-kru yang memberi komitmen tinggi dalam menjayakan program ini” kata Sevvandhi, Pengarah Drama Pentas.


Seelam Appayamma A/P Apparoo merupakan salah seorang pelakon yang memainkan watak utama iaitu ‘Kayal’ dalam drama pentas tersebut berkata beliau berasa amat bangga kerana mendapat peluang untuk memainkan watak yang dominan bagi cerita ‘Azhivin Athiyayam’.


“Saya juga berasa bangga kerana berlakon dalam MTK kali ke-2. Tahun lepas tidak terlibat dalam program ini kerana ditangguh sebab Covid. Saya merupakan seorang yang sangat berminat dalam bidang lakonan, oleh itu bersetuju setelah mendapat peluang” katanya.


“Kami diwajibkan untuk menghadiri raptai drama yang bermula dari pukul 10pm sampai pukul 3am. Saya telah mengalami fasa yang agak susah buat masa itu kerana banyak tugasan tertangguh, kekurangan tidur, mengalami demam dan lain-lain lagi tetapi minat saya dalam bidang lakonan agak tinggi daripada kesusahan yang dialami” ujarnya lagi.


“Saya memang kagum dengan pelajar-pelajar India UKM yang sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk menjalankan program-program begini. Usaha mereka tidak disia-siakan kerana kualiti drama itu bermutu tinggi dari segi teknik penceritaan dan juga lakonan yang dipersembahkan oleh para pelajar” kata Encik Jagan, penonton luar.


Ketua Pengarah Projek, Tushaerthan A/L Jeevanathan berharap bahawa perwakilan ini meneruskan usaha dengan mengadakan pelbagai program yang menarik dan para pelajar pula perlu memberi sokongan yang padu kepada program berimpak seperti ini yang akan melahirkan lagi pelakon - pelakon pentas pada masa yang akan datang.



35 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page