Penulis: Fitrah Kamaleea Mohd Zam
Penyunting: Nur Syazwana Abu Bakar
Sumber: Google
Amalan makanan pedas bercili sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia pada masa kini malahan ada di antara mereka yang sanggup membahayakan diri demi sebuah kandungan untuk meraih tontonan pengikut di media sosial. Trend yang bermula daripada mi segera luar negara kini semakin menjadi-jadi apabila semakin banyak kedai makan atau restoran makanan segera yang mengeluarkan makanan yang terlalu pedas semata-mata untuk menarik pelanggan.
“Saya rasa, dah tiba masanya kita hentikan trend menu makanan pedas melampau, dan cabaran makan makanan pedas.” ujar seorang doktor pakar, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi akaun Twitter beliau @dr_chaku.
Sumber: Twitter
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar hentikan trend ini kerana ianya sangat membahayakan kesihatan untuk mengambil sesuatu yang pedas secara berlebihan.
Menurutnya, lazim bagi kita untuk minum air yang banyak selepas pengambilan makanan pedas yang berlebihan. Ternyata, mengisi perut melebihi kapasiti dan ditambah pula dengan makanan pedas akan menyumbang kepada faktor yang menyebabkan gastroesophageal reflux disease (GERD) iaitu keadaan yang mana asid melimpah ke esophagus dan akan menyebabkan pedih ulu hati dan sendawa berasid.
Tambahan pula, makanan yang terlalu pedas ini dikaitkan juga dengan keradangan perut (gastritis), ulser perut dan buasir. Sungguhpun makanan pedas bukanlah penyebab utama penyakit ini namun ia akan membuat keadaan seseorang yang sudah pun mengalami penyakit tersebut menjadi lebih teruk.
Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan, pengambilan makanan pedas yang berlebihan dan kerap sememangnya boleh menjejaskan sistem penghadaman dan pencernaan selain menyebabkan ulser, radang perut dan buasir. Apa yang merbahayakan lagi adalah pedas yang mengandungi capsaicin ini boleh merosakkan dinding usus jika antibodi seseorang tak tahan pedas.
Baru-baru ini tular juga di laman Twitter apabila gadis ditahan wad selepas makan ayam 3 kali pedas keluaran restoran makanan segera terkenal di Malaysia.
Sumber: Twitter
Gadis yang dikenali sebagai Siti Amalina itu menerusi laman Twitternya @ctyamalina berkongsi pengalaman hanya kerana memakan ayam 3 kali pedas, beliau terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan dan telah mendapat 3 suntikan gara-gara refluks asid yang agak teruk di perutnya. Namun begitu, beliau masih berasa sakit dan berehat sebentar di wad selama lebih kurang 3 jam. Walau bagaimanapun, menurutnya lagi perutnya masih rasa tidak selesa dan doktor sentiasa memantau jika masih ada asid refluks di dalam perut.
Siti Amalina menyatakan bahawa beliau sememangnya penggemar makanan pedas dan bukannya menyahut cabaran atau hanya mengikut trend semata-mata seperti segelintir individu yang lain. Sungguhpun begitu, individu sepertinya juga turut terkesan dengan pengambilan makanan pedas terlampau ini jadi kisahnya ini boleh menjadi satu kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya pengambilan makanan seperti ini.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan juga menyatakan bahawa masyarakat kita sudah menyemai tabiat pengambilan makanan pedas ini melalui media sosial dibantu pula dengan industri makanan dan minuman, sama ada perusahaan kecil mahupun syarikat besar dan terkenal.
“Sampai ada pelanggan yang sakit perut berguling-guling, cirit-birit berterusan dan buasir berdarah. Jadi, kita jugalah yang bertanggungjawab untuk hentikan benda ni. Tak usahlah buat cabaran-cabaran tu semua lagi.” Ujarnya lagi berkenaan isu ini.
Walaupun makanan pedas ini ibarat pembuka selera untuk sesetengah individu namun masih ramai yang kurang cakna tentang padah dan akibat pengambilan makanan yang terlalu pedas ini. Diharapkan perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat sama ada pelanggan mahupun pengusaha tentang isu ini.
yep… boleh if kita sekali sekala nk makan pedas kan.. but make sure perut jgn kosong and if korang mmg ada sejarah gastrik or apendiks better jauhkan la makanan super pedas ni ,sbb ia akan merosakkan usus korang… korang nak ke kena masukkn camera ikut mulut tu semua weiii jgn laaa.. knp aku ckp benda ni?? coz aku dh lalui🤣🤣🤣.. skrg nk mkn mknn pedas ke apa aku kena fikir berkali-kali.