top of page
  • Writer's pictureNur Farzana Nafiz

Bahan Racun Terlarang Dalam Produk Kecantikan

Penulis: Farzana Nafiz

Penyunting: Nurfaizatul Huda Ahmad

Sumber Foto: Google


BANGI, 23 Jan - Laman web rasmi Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, telah mengesan sebanyak 142 produk kecantikan yang mengandungi bahan terlarang yang boleh mendatangkan bahaya dan menjejaskan kesihatan.


Pada bulan Oktober yang lalu, Bahagian regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.


Menurut penasihat kecantikan Mary Kay Malaysia, Nur Zuhaira Nasrin, orang ramai membeli produk di media sosial hanya kerana ianya tular serta dapat memberi kesan atau hasil yang cepat.


“Kebanyakan orang hanya tertumpu kepada hasil dan kesan serta-merta semata-mata dan bukan pada bahan yang ada di dalam produk.


“Ini disebabkan oleh produk-produk yang tular ini memaparkan iklan dengan testimoni yang ditokok-tambah untuk menarik perhatian pengguna dan ini yang menyebabkan masyarakat termakan dengan ‘janji’ produk tersebut,” jelasnya.


Beliau juga menyatakan bahawa masyarakat kurang cakna kerana kurangnya pendedahan tentang bahan berbahaya yang ada dalam sesetengah produk yang mampu memberi kesan buruk terhadap kesihatan mereka contohnya seperti merkuri.


“Ayat-ayat iklan seperti ‘kesan seawal 3 hari’ atau ‘cepat putih dan hilang jerawat’ dapat mengaburi mata pengguna untuk mengkaji dengan lebih dalam tentang produk tersebut.


“Sebenarnya, ramai yang tahu produk-produk tular ini mengandungi merkuri dan boleh memberi kesan kekal seperti kanser kulit serta boleh menjejaskan kesihatan bayi di dalam kandungan ibu,” ulasnya lagi.


Selain itu, terdapat produk atau alat kecantikan yang tidak boleh digunapakai sewenang-wenangnya dan perlu mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu.


Namun demikian, kerana ianya ditularkan di media sosial, ini membuatkan masyarakat tidak takut menggunakannya dan mengambil risiko yang tinggi ke atas kesihatan mereka sendiri terutamanya alatan seperti “derma roller atau “skin needling


“Bagi saya, perbuatan sedemikian memerlukan langkah dan kebersihan yang perlu kita ambil berat dan ianya perlu dibuat bersama yang pakar seperti pakar dermatologi.


“Jika seseorang itu ingin melakukan sendiri di rumah, pastikan prosedurnya perlu dibuat dengan betul dan Jika terdapat kesan sampingan, perlu ditanggung sendiri, maka saya sarankan untuk berjumpa sahaja dengan pakar untuk lebih selamat,” katanya.


Beliau juga berpendapat bahawa masyarakat yang tidak mengambil berat tentang penjagaan kulit wajah tidak terdedah dengan kepentingan menjaga kulit.


“Mungkin bagi mereka cukup dengan membasuh muka dengan air atau menggunakan sabun badan tetapi hakikatnya kulit muka dan kulit badan kita berbeza, jadi apa yang dikhaskan untuk badan tidak boleh digunakan digunakan di bahagian lain kerana ketebalan kulit tidak sama.


“Maka saya harap agar ramai orang berkongsi tentang kepentingan menjaga kulit wajah kepada masyarakat di luar sana kerana ramai lagi orang yang tidak sedar dan tidak tahu betapa pentingnya untuk mengambil berat tentang penjagaan kulit wajah,” luahnya.


42 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page