top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Bantuan Cecah RM5,000 Diberikan Pelajar Melalui Task Force KDO

Oleh: Farhan Siddiq

Penyunting: Abdullah Zaid


Foto: Farhan Siddiq


BANGI, 15 Jun - Ketua Unit Keselamatan Kolej Dato' Onn (KDO), Amirul Nor Faizal menyatakan kos bantuan yang diperoleh dari badan-badan NGO, pihak Universiti, Skuad Prihatin Bangiku, dan Kelab Sukarelawan Siswa (KSS) dianggarkan mencecah RM5,000 sepanjang penubuhan Jawatankuasa Task Force ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) sehingga hari ini.


JK Task Force di setiap kolej Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini sudah menjadi inisiatif bagi menangani penularan wabak Covid-19 dan menjaga kebajikan pelajar di kampus. Ia ditubuhkan dengan gabungan Ketua Eksekutif Pelajar dan sukarelawan yang dipilih untuk dijalankan dengan berkesan.


"Task Force ini telah dibahagikan kepada beberapa unit-unit iaitu Unit Keselamatan, Unit Kebajikan, dan tugas-tugas khas. Di mana setiap unit tersebut ada fungsinya sendiri untuk membantu pelancaran tatacara operasi standard (SOP) dalam kolej. Di KDO, kami telah melantik ahli-ahli Jawatankuasa Task Force dan sukarelawan yang mampu untuk menangani penularan wabak Covid-19 di sini." - Ketua Unit Keselamatan KDO.


Pelajar senang hati adanya Task Force

Kebanyakan pelajar menunjukkan reaksi berasa puas hati, selamat, dan bersyukur dengan bentuk bantuan diberikan dan kawalan keselamatan bagi menjaga pematuhan SOP yang dilaksanakan sepanjang berada di kolej bagi menjaga kebajikan serta keselamatan pelajar.


"Saya sebagai antara penerima bantuan ini berasa sangat bersyukur kerana adanya orang yang menjaga kebajikan. Kalau kita di rumah akan dijaga oleh ibubapa, kalau di universiti adanya bantuan dari NGO dan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang bantu pelajar dalam memberi sumbangan makanan dan kewangan. Jadi nampak ada pihak Universiti yang mengambil peduli dengan keadaan pelajar yang berada di kampus." - Farabi Fazli, Pelajar Tahun 2 Dakwah dan Kepimpinan.


"Bila saya nampak wujudnya JK Task Force ini yang menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar di KDO ini, saya nampak hari-hari mereka mensanitasi kafe dan tempat-tempat yang didatangi oleh pelajar-pelajar bagi membanteras wabak Covid-19 dari merebak.", ujar Farabi.


"Saya juga dapati JK Task Force ini sedia berkhidmat dari pagi sehingga malam yang terutamanya berada di rumah tamu KDO, yang di mana kita tahu pelajar-pelajar yang berada di sana mereka yang bergejala dan kontak rapat. JK Task Force sanggup menghantar Panadol atau keperluan pelajar yang meminta pertolongan kepada mereka.", ujarnya lagi.


Pelajar Tahun 1, Sains Politik, Fatin Aina turut menyatakan perasaannya yang ingin balik rumah kerana situasi pandemik tetapi mahu mempunyai pengalaman berada di kampus membuatkan dirinya semangat untuk kekal berada di kampus.


"Patutnya boleh balik tapi saya nak rasa berada dalam kolej tapi saya rasa agak risau dan ibubapa saya pun risau sebab ada kes di luar dan di dalam. Tetapi bila saya sampai dan masuk untuk kuarantin semua, saya dapat bantuan dari kolej semua. Jadi saya berasa selamat dan apabila dapat tahu Task Force melakukan sanitasi dan bagi sanitizer kepada semua pelajar membuatkan saya berasa selamat.", kata Fatin.


"Saya juga dapat menjimatkan wang perbelanjaan saya kerana adanya bantuan-bantuan makanan yang diberikan dan saya tidak perlu makan makanan yang sama atau membuat pesanan secara dalam talian.", katanya lagi.


JK Task Force risau dijangkiti wabak Covid-19

"Cabaran yang kami rasa paling besar, seperti mana yang kita tahu KDO ini hampir dengan Rumah Tamu yang merupakan pusat kuarantin untuk pelajar positif Covid-19 dan kontak rapat. Jadi kami Task Force di KDO terlibat juga menjaga kebajikan yang berada di pusat kuarantin. Kami berhadapan dengan mereka dan berasa risau kerana tidak nampak dengan wabak ini kalau dijangkiti." ujar Ketua Unit Keselamatan KDO.


"Kami sebagai JK Task Force ini pastinya ada cabaran yang kami terima seperti mengawal pergerakan pelajar di kolej seperti KDO sendiri kerana bilangan pelajar yang lebih ramai daripada ahli JK Task Force ini. Itu antara cabaran yang perlu membuat rondaan dan memastikan tiada pelajar berkumpul beramai-ramai."


"Kami juga pelajar yang ada kuliah yang perlu dihadiri, jadi kami bertugas pada masa yang tidak tentu. Walau bagaimanapun, dengan tenaga kerja yang kami ada sekarang ini yang dianggarkan dalam 20 ahli terlibat masih lagi boleh mengawal pelajar KDO berbanding kolej-kolej besar yang lain. Alhamdulillah, kami dapat bekerja dengan baik dan bergerak dengan lancar."

176 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page