top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Bapa Durjana

Oleh: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar

Penyunting: Ateefa Zulkifli


sumber : Google









Siapa sangka, seorang bapa yang sepatutnya menjaga dan melindungi tergamak menjadikan anak kandungnya yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran sebagai habuan. Lebih memeranjatkan lagi, suspek dipercayai menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di kediaman mereka. Begitulah tindakan yang tidak berhati perut oleh seorang pemandu lori berusia 41 tahun yang didakwa merogol anaknya di sebuah rumah di Marang.


Persoalan pertalian darah antara bapa dan anak sering timbul di minda masyarakat dan menjadi tanda tanya setiap kali isu haruan makan anak terpampang di dada-dada akhbar. Terdapat banyak sebab yang boleh merungkai persoalan sebegini. Sebab yang pertama adalah peluang yang sedia ada. Apabila mereka mendapati anak mereka boleh dijadikan sebagai hamba untuk memuaskan hawa nafsu, jadi mereka akan mengambil kira hal ini sebagai peluang keemasan. Mereka akan menggunakan peluang ini berulang kali kerana anak merupakan individu paling dekat dan mudah dirapati.


Selain itu, mereka juga mengalami pelbagai jenis pemikiran yang tidak rasional. Mereka menganggap perbuatan merogol individu lain adalah salah di sisi undang-undang namun sebaliknya jika dilakukan terhadapa anak sendiri. Sebaliknya, mereka menganggap ia adalah hak dan tanggungjawab mereka untuk mengajar anak melakukan hubungan seksual dan bukan orang lain. Perilaku jijik ini juga boleh berlaku secara berulang kali dan berterusan apabila isteri atau ibu kepada mangsa rogol membenarkan perbuatan ini dilakukan terhadap mangsa tanpa sebarang bantahan.


Mangsa rogol berdiam diri


Kita sering mendengar kritikan negatif yang diberikan oleh masyarakat mengenai ramai mangsa berdiam diri walaupun pernah dirogol berulang kali selama beberapa tahun. Namun, ramai tidak sedar bahawa isu ini sangat berkait rapat dengan faktor usia dan sebagainya. Apabila mangsa dirogol ketika masih kanak-kanak, mangsa akan melihat bahawa perkara ini adalah sesuatu perkara yang biasa bagi mereka di mana perbuatan tersebut adalah tidak salah. Mereka juga akan mula mewujudkan satu bentuk pemikiran bahawa perbuatan tersebut adalah satu bentuk kasih sayang yang diberikan oleh bapa mereka. Jadi, mereka tidak akan membongkarkan rahsia terkutuk ini kepada sesiapa.


Bagi remaja pula, mereka tahu bahawa perilaku keji ini telah melanggar norma namun mereka terlalu takut untuk membongkarkan rahsia kerana pemikiran mangsa telah diracuni oleh perogol iaitu bapa kandung mangsa rogol. Mereka akan menggunakan pelbagai taktik bagi melindungi perilaku keji ini daripada terus terbongkar. Oleh itu, mangsa rogol mungkin akan berada dalam keadaan bimbang atau ketakutan sama ada perbuatan ini harus dilaporkan atau hanya perlu mendiamkan diri. Dalam sesetengah kes mereka mungkin tidak tahu untuk memberi maklum balas atau mungkin menafikan kejadian yang berlaku. Individu ini memerlukan bantuan dan masa untuk menyembuhkan diri di samping menstabilkan emosi dan mental.


Walau bagaimanapun, rahsia ini akan terbongkar apabila mangsa rogol meluahkan perasaan mereka kepada seseorang individu atau guru kaunseling di sekolah akibat tertekan. Mereka mungkin merasakan sudah tidak sanggup lagi untuk menjadi mangsa rogol bapa durjana dan menjadi tempat untuk memuaskan hawa nafsu. Jadi, mereka bertindak meluahkan segalanya kepada guru kaunseling dengan harapan perilaku keji dan terkutuk ini dapat dihentikan. Perilaku jijik ini juga akan dapat dikesan oleh pegawai perubatan iaitu apabila mangsa mengalami kesakitan abdomen atau kepedihan ketika kencing.


Kesan



Fizikal


Mangsa rogol akan mengalami kecederaan pada organ seksual atau bahagian tubuh yang lain seperti kesan-kesan lebam pada tubuh.


Berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis atau AIDS.


Penyakit-penyakit kronik seperti tiub penyakit pada ovari dan rahim (uterus).

Psikologi


Tekanan dan kemurungan.


Mengalami kecelaruan Post Traumatic Stress Disorder ( PTSD) apabila mangsa-mangsa rogol tidak diberikan kaunseling dan intervensi selepas kejadian.


Mengalami Rape Trauma Sindrom (RTS) iaitu sering mengalami mimpi yang menakutkan seperti diburu oleh raksasa.


Sosial


Mengasingkan diri dan enggan bergaul dengan orang ramai kerana berasa diri kotor dan jijik.


Berubah menjadi individu berbeza sama ada lebih kuat pegangan agama atau menjadi lebih liar dengan melibatkan diri dengan kes pelacuran.


Cubaan membunuh diri kerana tidak dapat menanggung malu.


Cara mengurangkan kesan trauma


Menurut Pakar Kriminologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, bagi mengurangkan kesan trauma, mangsa rogol perlu dihantar ke kaunter intervensi untuk menjalankan proses kaunseling dan psikoterapi. Proses psikoterapi dijalankan bagi memulihkan mangsa rogol daripada PTSD. Dalam proses ini, rasa simpati perlu ditonjolkan iaitu dengan memberi sokongan emosi yang boleh membantu menenangkan keadaan mangsa. Melalui terapi kumpulan pula, mangsa rogol ini akan dikumpulkan supaya mereka dapat berbincang masalah yang dihadapi antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya, melalui kaedah ini, mangsa tidak akan berasa keseorangan dalam mengendalikan masalah mereka.

61 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page