Nadi Bangi
Barangan Lama dan Seni Kaligrafi Untuk Tahun Baru Cina
Oleh: Chan Lyn Yi
Penyunting: Bhavanpreet Kaur
Foto: Chan Lyn Yi

Siew Mei membuat persiapan untuk sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang.
BENTONG, 11 Jan – Minat mengumpul barangan lama bernilai estetik sejak 13 tahun lalu membolehkan seorang suri rumah menghias rumahnya dengan barangan lama, seni kaligrafi dan lukisan mural bersama ahli keluarganya untuk persiapan sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang.
Lee Siew Mei, 60, pengumpul barangan lama berasal dari Bentong, Pahang, berkata bahawa barangan lama yang dikumpul mempunyai keistimewaan dan nilai estetik yang tinggi. Beliau juga mengatakan bahawa inilah hobinya.
“Kebiasaannya, apabila kita bercerita tentang barangan lama, apa yang terlintas di fikiran kita adalah benda yang lusuh, terbuang dan nilainya rendah. Kalau kita mengumpul barangan lama, barangan vintaj, barangan antik atau hiasan seni, ia merupakan salah satu pelaburan yang bagus. Hari ini kita membelinya dengan RM30, nilainya akan pasti meningkat pada suatu hari nanti.”
“Saya pernah membeli barangan lama yang kurang berkualiti. Jadi saya tahu jenis bentuk barangan lama, sama ada kualitinya selaras dengan harga pasaran yang sepatutnya,” katanya.
Pelbagai jenis koleksi dan hiasan rumah memenuhi ruangan rumahnya. Antara koleksi barangan lama yang dimiliki oleh Siew Mei adalah lebih daripada 10 teko lama, pinggan mangkuk lama dan kipas angin berdiri yang klasik. Wang kertas lama, syiling lama pun dikumpul daripada Malaysia dan luar negara, iaitu Jepun, Korea, Hong Kong dan United Kingdom (UK).

Teko lama.

Wang kertas lama Malaysia dan pelbagai syiling lama yang dikumpul oleh Siew Mei.

Hiasan rumah dengan seni kaligrafi Cina.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, beliau telah menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli barangan lama dan menghiaskan rumahnya untuk sambutan Tahun Baru Cina.
Siew Mei berkata beliau sanggup membeli barangan lama seperti teko secara dalam talian supaya mendapatkan barangan unik yang sukar dijumpai di Malaysia. Hampir keseluruhan koleksi barangan lama yang dimiliki oleh Siew Mei adalah dari negara China. Beliau hanya mengumpul wang kertas dan syiling lama untuk diri sendiri.
Menurutnya, ibunya sendiri, Liu Pui Ying juga minat menyimpan barangan lama.
“Saya minat mengumpul barangan lama kerana ibu saya juga gemar mengumpul barangan lama. Beliau memberi teko lama yang disimpan olehnya kepada saya. Saya boleh katakan bahawa minat terhadap barangan lama bermula daripada ibu saya yang mendorong saya mendekati dunia barangan lama ini,”
Siew Mei juga berkata, beliau mula mengumpul barangan lama sejak 13 tahun lalu. Beliau mula mengumpul barangan lama untuk menghiaskan rumah selepas beliau berpindah ke rumah yang baru dengan keluarganya.
“Saya suka menghiaskan rumah dengan warna merah. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, warna merah ini memberi makna berkisarkan tentang gembira dan tuah,” tambahnya.
“Saya wajib mengemas rumah setiap hari sama seperti rutin suri rumah yang lain. Saya akan memastikan setiap bahagian dikemas rapi dengan sempurna. Anak saya juga menunjukkan minat sama, iaitu menolong saya untuk menghiaskan rumah dengan membuat persiapan bagi merayakan sambutan Tahun Baru Cina,” kata Siew Mei.
Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, Ng Zern Nie, 27, anak perempuan Lee Siew Mei, mengambil masa hampir satu bulan untuk menghasilkan lukisan mural dan seni kaligrafi untuk hiasan rumah mereka.

Lukisan mural bunga Peony.
Menurut Zern Nie yang berminat melukis, beliau mengusahakan rumah perhiasan dengan mendapat idea daripada internet. Zern Nie melukis seni kaligrafi dan membuat lakaran di dinding rumah.
“Tahun ini kami tidak menyangka bahawa kami sekeluarga akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina di rumah disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini. Oleh itu, saya ingin mencabar diri untuk menghasilkan seni kaligrafi Cina dan lukisan mural yang berkaitan bunga peony.
“Bagi kami masyarakat Cina, makna bunga peony adalah kemakmuran dan kebahagiaan,” katanya.
Tambahnya, sambutan Tahun Baru Cina di rumah mereka pasti lebih meriah dengan adanya hiasan di dinding rumah seperti itu.