Nadi Bangi
Bas Percuma GoKL Mudahkan Rakyat
Oleh: Farhan Siddiq
Penyunting: Abdullah Zaid

Foto: Farhan Siddiq
KUALA LUMPUR, 27 April - Perkhidmatan bas percuma GoKL Maroon Line memudahkan urusan perjalanan rakyat yang terdiri daripada golongan pekerja, pelajar, dan orang awam untuk ke tempat kerja mahupun ke destinasi yang dituju.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memperkenalkan beberapa laluan Bas Percuma GoKL sebagai inisiatif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang mudah diakses, selamat, selesa dan percuma di sekitar Kuala Lumpur.
"Memang memudahkan orang sebab orang yang bekerja semua menggunakan ini. Jimat sebab percuma." ujar Murugan, pemandu bas GoKL.
"Bukan itu saja, bas ini menjadi transit untuk mereka yang ingin ke LRT, MRT, atau KTM yang berdekatan dengan destinasi mereka."
Bas Bandar GoKL dijenamakan sebagai GOKL City Bus adalah sebuah rangkaian perkhidmatan bas percuma yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia yang dioperasikan oleh Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) dan pengendali rangkaian adalah Rapid Bus.
Perkhidmatan percuma ini mula beroperasi pada 31 Ogos 2012 dengan pelancaran dua laluan pekeliling iaitu Hijau (KLCC-Bukit Bintang) dan Ungu (Pasar Seni-Bukit Bintang). Kini, rangkaian GoKL telah dikembangkan menjadi enam laluan pekeliling termasuk Merah, Biru, Merah Jambu, Jingga, dan Maroon.
Masa operasi perkhidmatan bas percuma ini bermula hari Isnin hingga Jumaat pukul 6 pagi hingga 11 malam, manakala Sabtu, Ahad dan Cuti Umum pukul 7 pagi hingga 11 malam.
"Bagi saya, bas ini telah banyak memudahkan saya kerana saya bergantung tinggi dengan perngangkutan awam. Saya selalu menggunakan bas ini kalau ingin pergi ke LRT Sentul, UTC, Batu 5, PPR Batu Muda, dan Family Mart." ujar Farah, pengguna bas GoKL.
Pelbagai laluan strategik telah diperkenalkan bagi memudahkan pergerakan warga kota, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan kadar pelepasan gas karbon di ibu kota.
"Biasa saya akan gunakan bas ini untuk perjalanan ulang alik ke sekolah. Ketika saya bekerja part-time waktu cuti, bas GoKL ini juga saya guna." kata Nisa.
"Bas GoKL ini sangat membantu dan sejujurnya bas percuma ini telah menjimatkan perbelanjaan harian saya. Waktu ketibaan dan operasinya juga tepat dan memudahkan kerja saya." tambahnya.