top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Batu Asah Kuala Terbol Menyimpan Kisah Sejarah Misteri

Oleh: Ercy Gracella A

Penyunting: Farhan Nasir


Sumber: Penduduk Kampung


Apa beza antara batu asah yang dijual di kedai dengan Batu Asah yang terdapat di Kuala Terbol? Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup biasa didengar bahkan pernah ditayangkan pada tahun 1959 sebagai filem Melayu seram kerana batu tersebut dipercayai telah menelan ramai orang. Namun, tidak ramai yang mengetahui hikayat Batu Asah yang terdapat di daerah Temerloh, Pahang seperti misteri Batu Gajah sebelum ini. Jadi, apakah kisah disebalik nama Batu Asah yang tidak pernah didengari oleh rata-rata masyarakat Malaysia?

Batu Asah merupakan sebuah batu purba yang dipercayai telah wujud sekian lama. Batu ini terletak di Kampung Kuala Terbol Kuala Krau, Temerloh, Pahang iaitu kira-kira 23 kilometer dari pekan Kuala Krau. Kedudukan batu ini berada jauh didalam hutan dan mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam perjalanan dari kawasan perkampungan untuk sampai ke kawasan terletaknya batu tersebut.

Bagi merungkai latar belakang kisah tentang batu yang dikatakan bersejarah ini, sekali lagi wartawan Nadi Bangi telah menemu bual beberapa penduduk Kampung Terbol bagi mengetahui cerita lebih lanjut tentang Batu Asah yang semestinya mempunyai kisah tersembunyi dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Jah Hut.

Dolah bin Mot, 60, merupakan salah seorang penduduk Kampung Terbol yang mengetahui kisah Batu Asah ini. Difahamkan dalam kalangan generasi yang masih hidup, hanya beliau waris terakhir yang mengetahui tentang cerita Batu Asah. Kisah tentang Batu Asah diceritakan oleh datuknya ketika beliau masih hidup.

7 Orang Adik Beradik

Kata Pak Dolah, bermulanya kisah yang dipanggil ‘Batu Asah, Asah Musuh’ ini apabila terdapatnya seorang penduduk kampung tersebut yang dipanggil Benam dari kaum Jah Hut dan merupakan abang sulung daripada 7 orang adik beradik sedang menyumpit untuk mencari makanan lalu Benam tiba di satu tempat dan melihat di bahagian atas sebatang pokok Merbau terdapat seekor ular sawa besar sedang makan pucuk Merbau. ‘Itulah dia itu, nak ambil benda itu nak makan’ ujar Pak Dolah.

Namun, dari pagi hingga ke petang, setiap percubaannya untuk menyumpit ular tersebut tidak mengena. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk pulang dan menceritakan hal tersebut kepada adiknya yang kedua. Lalu, pada keesokan harinya, si adik yang kedua pun pergi untuk menyumpit ular sawa yang masih berada pada pokok Merbau tersebut, namun, hal yang sama berlaku kepadanya, setiap cubaan untuk menyumpit tidak mengena. Demikianlah berlaku kepada adiknya yang lain. Tiap-tiap hari mereka berulang untuk mendapatkan ular sawa yang besar untuk dijadikan lauk tetapi gagal.

Si bongsu pelik dengan apa yang berlaku kepada abang-abangnya. Lalu ketika kesemua abangnya masuk hutan untuk mencari kayu dijadikan damak untuk alat menyumpit, dia pun pergi untuk melihat apa yang abang-abangnya lakukan setiap hari. Tiba-tiba dia sampai di satu kawasan yang mana kelihatan terang dan bersih di sekeliling pokok Merbau tersebut lalu dia terlihat seekor ular sawa besar diatas pokok tersebut. Si bongsu pun cuba untuk menyumpit ular tersebut. Dengan hanya satu sumpitan, ia mengena pada ular tersebut lalu Si Bongsu pun berehat disekitar bawah pokok Merbau. Tiba-tiba ular sawa tersebut muntah dan jatuh ke tanah dan dengan sekelip mata sahaja ular sawa besar tersebut bertukar menjadi 7 orang puteri. Ular sawa tersebut dipercayai perahu(pengangkutan) bagi puteri-puteri tersebut.

7 Orang Puteri

Daripada ketujuh puteri tersebut, puteri bongsu merupakan yang paling cantik. Lalu si bongsu pun jatuh hati dengan puteri yang nombor tujuh. Puteri-puteri tersebut berkata bahawa mereka sedang mencari teman hidup. Lalu si bongsu berkata bahawa dia mempunyai abang-abang yang boleh dijadikan teman hidup. Mereka pun bersetuju. Si bongsu pulang ke rumah dan mengambil arang lalu menumbuknya sehingga lumat dan dicampur air untuk disapukan pada badan si puteri bongsu bagi mengelakkan abang-abangnya daripada melihat kecantikan puteri tersebut.

Setelah si bongsu pulang ke rumah dan menceritakan tentang puteri-puteri tersebut kepada abangnya, mereka pergi ke tempat yang diceritakan dan memilih pasangan puteri masing-masing kecuali puteri bongsu kerana mukanya yang hitam dan dianggap tidak menawan. Ini merupakan rancangan si adik yang bongsu supaya abang-abangnya tidak mengambil si puteri bongsu sebagai pasangan mereka.

Konflik antara adik beradik tersebut berlaku ketika si Benam yang merupakan abang sulung pergi melawat si bongsu yang membuka ladang dan tinggal di kawasan bukit yang dipanggil ‘Yak Yeq’. Disitulah semuanya terbongkar, apabila isteri si bongsu kelihatan cantik jelita. Si Benam pun jatuh hati kepada isteri si bongsu. Setelah itu, Benam pulang dan mendapati isterinya sedang menumbuk padi di halaman rumah lalu dia pun menjadi berang dan bertindak memukul isterinya sambil berkata bahawa dia tidak secantik adiknya yang bongsu. Setelah kejadian ini berlaku, isteri abang sulung tersebut pulang ke rumah adiknya yang bongsu di Bukit Yak Yeq.

Si sulung berkomplot dengan adik beradiknya yang lain untuk melaporkan hal tersebut kepada raja tempatan yang tidak diketahui nama sebenar raja tersebut.

Raja Acheh dan Raja Tempatan

Raja tempatan itu berkata kepada adik beradik tersebut agar mereka pergi sahaja kepada adik bongsu mereka, jika adiknya tidak memberikan isterinya kepada abang-abangnya, maka mereka dibenarkan untuk memancung adiknya. Si bongsu dan isterinya puteri jelita tersebut mengetahui rancangan abang-abangnya, lalu si isteri berkata kepada suaminya agar dia meminta pertolongan daripada raja dari seberang iaitu Raja Acheh. Lalu dia pun pergi kepada raja tersebut dan meminta pertolongan. Raja Acheh memberikan peringat(penyengat) untuk membantu melindungi keluarga si bongsu.

Semua rancangan dan cubaan menyerang oleh abang-abang dan bantuan raja tempatan tersebut digagalkan dek kerana bantuan penyengat yang melindungi si bongsu dan isterinya. Dipercayai juga ramai musuh yang mati akibat disengat oleh haiwan yang berbisa itu. Pelbagai cara dilakukan oleh si abang selain daripada melancarkan serangan secara jalan darat, raja tempatan mencadangkan agar mereka melancarkan serangan meriam bawah tanah kerana bagi raja, hanya itu jalan terbaik untuk menyerang namun ianya tetap gagal kerana rancangan mereka diketahui puteri bongsu.

Disingkatkan cerita, kewujudan Batu Asah ini disebabkan batu tersebut menjadi tempat abang-abangnya berserta hamba raja lain yang dianggap musuh untuk mengasah senjata sebelum pergi berperang dengan adik bongsu tersebut. Alatan untuk berperang seperti parang, pisau dan sebagainya diasah pada batu tersebut sehingga meninggalkan kesan seperti yang dapat dilihat sekarang.

Seperti kisah Batu Gajah yang ditulis sebelum ini, Batu Asah ini juga mempunyai ceritanya tersendiri. Oleh itu, sesebuah kawasan yang mempunyai sejarah kisahnya yang tersembunyi penting untuk ditulis agar ia berguna sebagai pedoman bagi generasi akan datang dan kisahnya tidak luput dan hilang ditelan zaman.

872 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page