top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Bekas Kapten Skuad Ragbi Negara Genggam Ijazah Selepas 10 Tahun

Penulis: Mohamad Noor Amirul Mokhtar

Penyunting: Nur Farzana Amira Mohd Zaki



Sumber: Instagram Muhammad Ameer Nasrun


SERDANG, 1 Dis - Penantian untuk memperoleh segulung ijazah akhirnya termakbul buat bekas kapten skuad ragbi negara, Muhammad Ameer Nasrun, 30, yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.


Beliau yang juga mesra dengan panggilan Awe, mula bergiat aktif dalam sukan ragbi selama 15 tahun telah menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2014 dan berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017.


Mengambil jurusan dalam bidang Pendidikan Jasmani, beliau meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana penat lelah dan cabaran yang ditempuhi sepanjang 10 tahun di samping membahagikan masa sebagai atlet negara tidak mematahkan semangatnya untuk memberi tumpuan dalam akademik.


"Saya bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian, saya akui menjadi seorang atlet memang struggle sikit disebabkan latihan, pertandingan dan saya pernah alami 2 kali kecederaan di bahagian lutut yang agak teruk sehingga saya terpaksa tangguhkan latihan serta pengajian untuk melakukan rehab ke atas kecederaan saya.


"Apa-apa pun saya gembira dan bangga dengan diri saya," katanya kepada Nadi Bangi.


Beliau yang juga aktif dalam menyertai pertandingan seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia  turut berkongsi usaha keras dalam membahagikan masa sebagai mahasiswa dan atlet negara yang perlu mengikut rutin tertentu agar tidak ketinggalan dalam latihan dan sesi kuliah.


"Biasanya latihan saya bermula pada pukul 6.45 pagi sehingga pukul 7.45 pagi untuk sesi pagi dan 8.00 pagi sehingga 4.00 petang saya akan masuk kelas jika hari tersebut ada kelas dan latihan pada sesi petang bermula pada pukul 5.00 petang sehingga 7.00 petang. 


"Pada sebelah malam jika ada kerja kelas yang perlu disiapkan, saya akan berjumpa dengan rakan kelas untuk berbincang mengenai pembelajaran saya," katanya.


Beliau mengakui agak penat pada awalnya dengan rutin tersebut namun lama kelamaan ia sudah menjadi kebiasaan sebagai aktiviti seharian.


"Apa yang penting, kita harus bersemangat dan jangan cepat putus asa. Kita sendiri yang perlu push diri kita sebab kita juga yang pilih untuk menjadi seorang atlet dan juga seorang pelajar yang ingin mengejar kejayaan dalam pelajaran dan juga sukan kita ceburi," ujarnya.


Ibu dan ayah menjadi pendorong utama buatnya untuk meneruskan pengajian disebabkan impian mereka yang mahu melihatnya sebagai seorang pendidik.


"Alhamdulillah saya dapat menyambung pengajian dalam kos Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dan saya dapat habiskan walaupun mengambil masa yang agak lama.


"Guru-guru semasa saya bersekolah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) juga banyak memberi dorongan dan semangat kepada saya serta rakan-rakan pasukan menjadi penyebab untuk saya menyambung pengajian di peringkat ijazah," katanya.


Bercerita mengenai perancangan akan datang, beliau yang masih menunggu panggilan temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mempunyai hasrat untuk menjadi seorang pendidik dalam bidang Pendidikan Jasmani.


"Buat masa sekarang saya menjadi jurulatih sambilan untuk pasukan ragbi Universiti Putra Malaysia serta pasukan Sekolah Alam Shah, Putrajaya. Saya juga berhasrat untuk menjadi seorang jurulatih ragbi dan mempunyai pasukan saya sendiri," ujarnya.


Beliau yang mengambil keputusan untuk bersara sebagai atlet kebangsaan pada tahun 2022 bagi menumpukan sepenuhnya dengan karier baharu turut memberikan nasihat buat mereka yang menceburi bidang sukan di samping menjadi seorang pelajar universiti untuk mengutamakan pelajaran.


"Nasihat saya pertama sekali, bila kita menyambung pelajaran, kita kena ingat yang pelajaran didahulukan dan sukan adalah nombor dua. Tetapi kita kena pandai membahagi masa untuk kedua-duanya. 


"Jangan cepat putus asa dalam apa jua bidang yang kita buat. Perlu rajin dalam pelajaran dan juga sukan. Bila berada di dalam kelas, kita fokus sepenuhnya terhadap pelajaran dan bila kita di padang fokus terhadap latihan," katanya.


118 views4 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page