top of page
  • Writer's pictureAinul Salsabila

Benarkah Makanan di Bazar Ramadan Tidak Selamat?

Penulis: Ainul Salsabila Aidi

Penyunting: Nur Izzah ‘Atirah Abdul Rahim

Sumber: Malaysia Travel


KUALA LUMPUR, 18 April - Acap kali masyarakat diingatkan untuk berhati-hati ketika berbelanja di bazar Ramadan bukan sahaja bagi mengelakkan pembaziran, malah daripada keracunan makanan.


Ketiadaan sekatan bazar Ramadan tahun ini telah membenarkan rakyat Malaysia untuk merasai nikmat kemeriahan bulan puasa setelah 2 tahun aktiviti bazar Ramadan dihalang bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Namun, kualiti makanan di bazar Ramadan semakin menjadi pertikaian orang ramai kerana terdapat pencemaran makanan yang mampu memudaratkan kesihatan.


Menerusi perkongsian video di akaun Tiktok rasmi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes keracunan makanan meningkat pada bulan Ramadan.


“Terdapat dua orang kanak-kanak yang disyaki keracunan makanan setelah berbuka puasa dengan makanan yang dibeli di bazar Ramadan.” maklumnya.


“Kes keracunan makanan tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan menyebabkan kes kematian.” ujarnya lagi.


Sumber: The Vibes Facebook


Baru-baru ini tular di media sosial tentang pencemaran makanan di gerai bazar melalui penemuan ulat di dalam mi tonggek serta gumpalan rambut dalam kuih limas. Ia menimbulkan kemarahan masyarakat terhadap peniaga yang mengambil enteng perihal keselamatan dan kualiti makanan.


Sumber: Twitter


Ciapan di Twitter oleh @lynnNHM21 memaklumkan beliau merupakan salah seorang pelanggan yang keracunan makanan setelah menjamah mi tonggek yang dibeli di gerai berkenaan, dalam balasannya kepada ciapan yang meragui kebenaran kes tersebut.


Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan rasminya memaklumkan penutupan gerai tersebut kerana didapati tidak bersih serta mendakwa pengeluar kuih limas berkenaan.


Menerusi kenyataan tersebut, ia memperlihatkan kepada kebenaran aduan makanan bazar tercemar yang tersebar di media sosial. Justeru, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan membeli makanan di premis makanan yang bersih dan terjamin.


83 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page