Penulis: Sheirly Lee Anak Holi
Penyunting: Aida Nadhirah Binti Hasbi
Sumber: Google
Pandemik COVID-19 yang sedang melanda secara global telah meragut melebihi lima juta bilangan nyawa dikenali sebagai wabak penyakit koronavirus 2019 yang berpunca daripada koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Wabak ini pada mulanya dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, Hubei, China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Pandemik ini telah membawa banyak kesengsaraan hidup dan susah kepada masyarakat sedunia dengan memberi impak terhadap kesihatan, ekonomi, sosial, budaya, agama dan psikologi kepada semua lapisan masyarakat seluruh dunia termasuk negara Malaysia.
Seperti yang sedia maklum, COVID-19 adalah penyakit pernafasan yang disebarkan melalui titisan di udara. Titisan ini biasanya dikeluarkan apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin. Walau bagaimanapun, orang yang dijangkiti dapat merebak virus selepas mereka pulih daripada COVID-19 selama kira-kira 2 minggu dalam kedua-dua air liur dan najis melalui meludah, menyentuh mulut atau hidung atau mungkin melalui bercakap. Demam, batuk kering dan letih merupakan simptom yang paling kerap dilaporkan, dan sesetengah orang mungkin hanya mengalami hidung berair atau sakit tekak. Orang yang telah dijangkiti dengan COVID-19 akan diletakkan di bawah kuarantin atau berkurung kerana sampai kini masa tiada penawar untuk mengekang pandemik ini.
Bagi menangani kes pandemik COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk dan meningkat, wujudlah program vaksinasi untuk membantu masyarakat supaya mereka dapat kekal hidup bebas di dunia ini. Dalam memerangi penyebaran COVID-19 secara global, vaksinasi akan menjadi pendekatan terbaik untuk memperoleh imuniti kumpulan terhadap virus itu. Malaysia juga bekerjasama dengan beberapa negara pengeluar vaksin lain untuk membangunkan vaksin COVID-19, dan bersedia untuk berkongsi kemudahan, data dan sumbernya ke arah usaha ini. Malaysia bersedia untuk mengambil bahagian dalam ujian klinikal sebaik sahaja vaksin tersedia. Terdapat banyak jenis vaksin yang telah dikeluarkan antaranya ialah Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Sinovac, J&J dan Sinopharm.
Vaksin yang dikeluarkan ini adalah untuk membantu menguatkan imunisasi tubuh badan kita serta untuk menurunkan kadar yang dijangkiti oleh penyakit COVID-19. Kerajaan Malaysia telah menyeru semua rakyat Malaysia wajib mengambil vaksin yang mengandungi dua kali suntikan dos bagi melindungi keselamatan semua. Menurut Prof Dr Zamberi Sekawi, dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata penerima vaksin COVID-19, masih boleh dijangkiti wabak itu tetapi kuantiti virus dalam badan pembawa adalah sedikit sekaligus menyebabkan kadar kebolehjangkitan atau R naught (Rt), semakin rendah. Ternyata bukti terbaru menunjukkan pengambilan vaksin dapat mengurangkan kebolehjangkitan dan membolehkan kes positif COVID-19 berkurangan. Walaupun pengambilan vaksin akan mendapat kesan sampingan tetapi ia bergantung kepada sistem imum individu yang berbeza seperti demam, pening kepala, darah beku dan berasa letih.
Kini masih ramai yang degil untuk menerima vaksin disebabkan maklumat palsu dan kesahihan berita yang tidak tepat tersebar. Tambahan pula diikuti dengan varian delta, muncul virus baru yang lebih cepat merebak ke dalam badan kita iaitu ‘Omicron’ yang ditemui di Afrika pada 24 November 2021. Oleh itu, kita sememangnya tidak boleh lari daripada pandemik ini tetapi sebaliknya harus menerima kenyataan ini dengan melipatgandakan langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan. Vaksin yang telah diberikan dan diterima hanyalah satu perisai awal. Ia bukan perisai berkekalan selama-lamanya. Usaha memerangi dan mencegah terletak di tangan kita. Bagi mengatasi pandemik ini , pihak kerajaan telah mengeluarkan satu kenyataan untuk menggalakkan semua masyarakat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak bagi sesiapa yang telah lengkap kedua-dua vaksinasi. Maka, kadar untuk mendapat penyakit COVID-9 atau varian Omicron adalah rendah berbanding dengan individu yang hanya lengkap dengan kedua-dua suntikan vaksin.
Persoalannya di sini, mengapa masih ramai masyarakat yang belum menerima vaksin? Mengapa masyarakat dapat menerima kedua-dua vaksin yang pada awalnya tetapi tidak dapat menerima suntikan dos penggalak? Adakah betul dos penggalak akan menyebabkan kematian seperti yang diberitahu oleh orang lain? Apakah yang peliknya untuk menerima dos penggalak?
Penulis berpendapat bahawa tidak ada betul dan salah untuk menerima vaksin dan juga dos penggalak bagi kebaikan semua orang. Hal ini demikian kerana ini adalah untuk menyelamatkan nyawa semua kita dan bukannya untuk menganiayai kesihatan walaupun vaksin bukan merupakan penawar kepada penyakit COVID-19 tetapi vaksin dapat membantu kita daripada berjangkit dengan penyakit COVID-19. Tambahan pula dengan suntikan dos penggalak yang akan diterima oleh kita akan menguatkan lagi sistem imunisasi dalam antibodi kita. Bagi pengetahuan semua, suntikan penggalak COVID ialah dos tambahan vaksin yang diberikan selepas perlindungan yang diberikan oleh suntikan asal mula berkurangan dari semasa ke semasa. Biasanya, seseorang individu akan mendapat penggalak selepas imuniti daripada dos awal secara semula jadi mula berkurangan. Dos penggalak direka untuk membantu orang ramai mengekalkan tahap imuniti mereka dengan lebih lama. Jadi, tidak ada perkara yang boleh menakutkan semua masyarakat kerana ini adalah untuk kebaikan semua.
Dos penggalak dan vaksin ketiga adalah dua suntikan yang berbeza di mana dos penggalak Covid-19 diberikan apabila seseorang telah melengkapkan siri vaksin mereka, dan perlindungan terhadap virus itu telah berkurangan dari semasa ke semasa manakala dos tambahan ataupun vaksin ketiga diberikan kepada orang yang mempunyai sistem imun terjejas sederhana hingga teruk. Dos tambahan ini bertujuan untuk meningkatkan tindak balas orang yang mengalami gangguan imun terhadap siri vaksin awal mereka. Pakar mengatakan bahawa dos ketiga boleh membantu mereka memadankan tindak balas imun yang serupa dengan populasi umum yang sihat. Oleh itu, dos ketiga ditawarkan kepada mereka yang mempunyai kelemahan imun, yang mungkin termasuk pesakit kanser atau mereka yang telah menerima pemindahan organ. Ini hanya boleh ditawarkan berdasarkan kes demi kes dan mungkin tidak tertakluk kepada pelancaran awam.
Bukan itu sahaja, penulis juga mendapati bahawa kebanyakan masyarakat tidak mahu menerima dos penggalak disebabkan mempercayai maklumat yang tidak benar dan tepat mengenai vaksin ini boleh mengakibatkan kematian. Hal ini kerana mereka tiada menjalankan penyiasatan yang benar dan sewenang-wenangnya mempercayai maklumat dan berita yang disebarkan di internet dan media. Penulis berpendapat bahawa kelakuan ini adalah sangat tidak masuk akal dan pemikiran yang sangat melampau kerana mereka tidak menyiasat kebenaran dengan jelas. Kita sepatutnya mempercayai berita dan maklumat yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukannya di laman web yang tidak sah. Tambahan pula, survei secara rawak ada dibuat di sesetengah kawasan di Sarawak bagi mengetahui sebab rakyat tempatan menolak ‘booster’ ini. Hasil survei itu menyatakan sesetengah rakyat takut menerima dos penggalak adalah kerana mempercayai kata-kata dari kawan dan saudara mara mereka tentang kesan buruk yang akan dihadapi apabila mereka menerima suntikan tersebut. Mereka beranggapan bahawa maklumat yang diberikan oleh mereka lebih sahih dan betul daripada maklumat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kecanggihan teknologi telah memudahkan penyebaran maklumat berkaitan pandemik COVID-19. Perkembangan teknologi pada masa ini membuatkan segala-galanya berada di hujung jari dengan penggunaan rangkaian internet serta pelbagai teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Situasi ini telah menjadikan masyarakat dunia lebih cakna dengan isu semasa yang melanda. Dalam keadaan suasana dunia yang diancam oleh pandemik COVID-19, maklumat perlu disampaikan dengan pantas dan cepat supaya masyarakat peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Aspek ketelusan dan ketepatan maklumat yang disampaikan kepada pembaca adalah amat penting bagi memastikan semua masyarakat mempercayai dan patuh kepada berita yang disampaikan . Penulis beranggapan bahawa nyawa adalah di tangan sendiri dan hanya kita yang tentukan kematian dan kehidupan sendiri. Jadi, sekiranya kita mempercayai maklumat yang palsu sehingga menyebabkan kita tidak menerima suntikan vaksin, maka kita sendiri yang akan rugi dan kemungkinan memudaratkan kesihatan orang lain. Kita tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri sebaliknya harus memikirkan demi orang lain. Terdapat banyak nyawa yang tidak bersalah dan kanak-kanak telah dikorbankan disebabkan COVID-19.
Kesimpulannya, COVID-19 adalah pandemik global tetapi ekspresi wabak itu mungkin berbeza dari satu negara ke negara lain. Ini mungkin berkaitan dengan genetik virus, ciri populasi yang terdedah, tingkah laku penduduk, dan tindak balas negara terhadap krisis. Penulis berharap semua rakyat Malaysia dapat segera mengambil dos penggalak bagi menguatkan sistem imun tubuh badan daripada COVID-19 dan varian virus yang lain. Malaysia sebagai sebuah negara membangun dengan sumber terhad menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam bertindak balas terhadap krisis. Konklusinya, kerjasama yang baik antara agensi kerajaan dan orang ramai serta pihak swasta amat penting bagi mengatasi pandemik ini.
Comments