top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Bencana Banjir Ketika Pandemik Lebih Mencabar

Updated: Jan 10, 2021

Oleh: Aqilah Azanil

Penyunting: Marllisa Anttonysamy


Sumber : Bernama

BANGI, 8 Jan – Beberapa hari yang lalu, terdapat 4 daerah di negeri Perak antara yang tidak terkecuali dari berdepan dengan bencana banjir tatkala memasuki musim tengkujuh dan lebih membimbangkan lagi kerana ia berlaku di saat negara sedang bertarung dengan penularan wabak Covid-19.


Slim, Kampar, Teluk Intan dan Sungai Siput adalah empat daerah yang direkodkan terjejas dek kerana fenomena banjir kilat yang berlaku di negeri ini. Mangsa banjir yang terjejas telahpun ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan sementara (PPS) secara keseluruhannya di daerah yang terlibat.


Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, tiga buah kampung di daerah Slim iaitu Slim River menghadapi banjir dengan Kampung Balun mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 293 orang manakala Kampung Slim Village seramai 87 orang dan Kampung Kuala Slim seramai 78 penduduk setakat semalam.


Menurut penduduk Slim yang juga merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti awam, Nur Aleeya, 20, beliau berkata, fenomena banjir kilat ini tidak diduga sama sekali, bahkan ia berlaku ketika negara masih berdepan dengan wabak pandemik. Tambahnya lagi, beliau yang sedang menjalani proses pembelajaran secara atas talian kini, berasa sedikit tertekan apabila perlu membahagikan soal pelajaran dan dalam masa yang sama perlu membantu keluarga untuk menguruskan peralatan yang masih boleh diselamatkan dari ditenggelami banjir. Beliau juga berkata, walau bagaimanapun, tanggungjawab untuk kedua-duanya akan beliau lunaskan demi kepentingan dan kebaikan dirinya dan yang lain.


Selain itu, Wan Muhammad, 49 salah seorang mangsa banjir di daerah Slim berkata, ini merupakan pertama kalinya beliau dan penduduk setempat menghadapi fenomena banjir kilat. Malah, kebimbangannya bertambah apabila bencana ini berlaku ketika wabak pandemik masih menular di negara ini. Namun, beliau berterima kasih kepada pihak yang terlibat kerana telah mencuba sedaya upaya untuk memastikan semua mangsa banjir mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agar tidak wujud pula kluster baru di negeri ini.


Menurut salah seorang penduduk di daerah berdekatan iaitu Muhammad Hamidi, 36 berkata, beliau turut bersimpati dan berduka cita dengan nasib yang menimpa rakan dan kenalannya yang terpaksa berdepan dengan dugaan ini. Beliau turut membantu memindahkan peralatan, mangsa yang terlibat dan apa-apa keperluan yang diperlukan oleh mereka. Beliau juga menjadikan SOP sebagai panduan biarpun sedang melakukan kerja sukarelawan, namun keselamatan dan kesihatan diri juga adalah yang lebih utama supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.


Sehingga kini, Perak masih lagi mencatatkan wujudnya sebilangan mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan buat sementara waktu sehingga tempoh masa tertentu.

35 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page