Nadi Bangi
Beri Telefon Pintar Tidak Berkualiti Punca Netizen Tidak Puas Hati
Updated: Jun 25, 2021
Oleh: Ziera Adurah
Penyunting: Mariam Zamri

Sumber: Suryani Abd Ghani via Facebook
BANGI, 18 Jun– Tindakan kerajaan Perak memberi telefon pintar berkualiti rendah kepada pelajar sekolah dengan alasan untuk mengelakkan pelajar daripada bermain permainan video baru-baru ini telah menyebabkan ramai netizen tidak berpuas hati dengan hal ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, menjelaskan sebanyak 20,000 unit telefon pintar jenama YES model Altitude 3 disumbangkan kepada pelajar sekolah oleh Yayasan YTL di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani mempunyai spesifikasi rendah dan memadai untuk pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah PdPR semata-mata.
Pada 15 Jun yang lalu seorang pengguna Facebook dengan nama Suryani Abd Ghani memuat naik satu gambar yang menunjukkan situasi telefon pintar sumbangan kerajaan milik anak saudaranya yang sudah terbakar.
“Terbakar sudah. Nasib ada dekat rumah, kalau tak, mahu terbakar rumah.
“Anak buah tengah online PdPR menggunakan telefon YES, tiba-tiba terbakar. Baru sahaja dapat tidak sampai satu bulan, sedih rasanya,” ujar beliau menerusi postingannya di Facebook.
Seorang lagi netizen dengan nasib yang sama memuat naik satu gambar telefon pintar YES milik adik perempuannya yang sudah terbakar semasa telefon tersebut dicas, “Adik saya punya dah selamat dah, telefon ini meletup sewaktu sedang cas,” ujar pengguna Twitter @najmi_fatin dalam postingan beliau.
Pengguna Twitter @ashhhwilly turut berkata, “mohon telefon percuma dari kerajaan untuk kegunaan adik aku PdPR, RAM 1GB dengan bateri 2000mah.
“Baru pakai tak sampai tiga hari kad sim tak boleh baca, telefon jadi panas dan lagging teruk. Nak bersyukur macam mana lagi sekarang ini?” Tambah beliau lagi dalam postingannya di Twitter.
Masalah ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen, malah Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar, juga turut menyuarakan pendapat beliau dalam hal ini.
Menurut beliau, pihak kerajaan Perak sengaja memberi telefon kualiti rendah kerana bersangka buruk terhadap pelajar.
“Nak bantu, bagilah yang ada kualiti. Pelajar boleh belajar dari Google Meet, Telegram, YouTube, memory telefon kena besar untuk membuat panggilan video dengan guru,” ujar beliau lagi dalam satu postingan beliau di Twitter beberapa hari yang lalu.
Beliau turut menambah, “apabila ada ahli politik ambil mudah dan beri telefon tak berkualiti kepada pelajar. Kes telefon meletup ini dah terjadi kepada beberapa orang pelajar, bahaya betul.”
Penjuanita Muda (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga turut mempertikaikan tindakan kerajaan Perak memberi sumbangan telefon pintar berkualiti rendah ini.
Ketuanya, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi berkata, alasan tersebut tidak munasabah memandangkan sepanjang tempoh sesi PdPR dijalankan telefon merupakan keperluan yang sangat penting dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membekalkannya kepada pelajar yang tidak mampu.
“Walaupun telefon terbabit merupakan sumbangan Yayasan YTL namun, kerajaan tidak seharusnya mengambil tindakan sambil lewa dan terus memberikannya kepada pelajar tanpa pemeriksaan keselamatan,” tambah beliau lagi.
Beliau turut mengharapkan supaya kerajaan mengutamakan nyawa dan keselamatan pelajar serta mengganti semua telefon terbabit dengan tablet yang berkualiti.