Nadi Bangi
Bidaan Nombor Plat Khas UKM Bermula
Oleh: Kumutha Vallii Veloo
Penyunting: Nasuha Mizam

BANGI, 25 Okt – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Yayasan Canselor buat pertama kalinya bakal menjalankan Projek Penjualan Plat Kenderaan Khas UKM sempena menyambut Ulang Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-50 pada tahun 2020.
Tujuan utama penjualan plat kenderaan ini adalah untuk membantu UKM menjana pendapatan yang akan digunakan sebagai dana tambahan dalam usaha murni UKM untuk pembangunan fasiliti kebajikan pelajar dan pada masa yang sama mempertingkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan UKM.
Projek ini juga membolehkan semua warganegara Malaysia khususnya warga UKM untuk membeli plat kenderaan khas UKM dimana nombor plat yang ditawarkan bermula dengan abjad ‘UKM’ diikuti dengan rangkaian nombor terpilih.
Urus Setia Projek, En Mohamad Kaharuddin bin Sharkawi mengatakan bahawa seorang boleh membeli lebih daripada satu nombor plat kenderaan dengan mengisi terlebih dahulu maklumat pendaftaran yang disediakan di dalam laman sesawang.
“Bagi yang berminat, bolehlah mengisi terlebih dahulu goggle form yang telah disediakan dan boleh diakses di dalam portal rasmi UKM”, katanya.
Beliau juga menyatakan sebanyak 9999 nombor plat kenderaan keluaran khas akan dijual dan kami berharap ramai pelajar dan warga UKM akan melakukan permohonan serta menjemput ahli keluarga untuk memilik nombor-nombor tersebut.
Hari penjualan plat kenderaan akan bermula pada 8 Januari 2020 dengan menggunakan kaedah bidaan melalui laman sesawang rasmi ubida.ukm.my.
Bayaran yuran serendah RM 10 dikenakan bagi setiap nombor yang dibida dan pemohon berpeluang memenangi iPad mini dengan jam tangan Xiomi Mi Band 4 sebagai hadiah cabutan bertuah.
Ahmad Fakhrul bin Jamaludin, 25, pelajar UKM mengatakan dia sangat teruja untuk membeli nombor plat ini yang akan menjadi kenangan sepanjang belajar di UKM.
“Saya sanggup bayar lebih untuk memiliki nombor idaman dan ingin membeli dua nombor untuk ayah dan diri saya sendiri” – kata Fakhrul ketika ditemubual wartawan nadi bangi.
Maheshree Nadarajan, 23, pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan mengatakan dia baru mendapat informasi mengenai penjualan nombor plat kenderaan UKM dan ingin membeli kerana ia merupakan sesuatu yang membanggakan dirinya sebagai pelajar UKM.
Pihak Yayasan Canselor UKM akan melakukan soft launching bagi memperkenalkan projek ini pada 6 November 2019 di Persada Canselori, UKM Bangi. Menteri Pengangkutan Malaysia YB Tuan Loke Siew Fook dijangka hadir bagi memeriahkan lagi sambutan pelancaran Projek Penjualan Plat Kenderaan Khas Ini.