top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Bidang Keusahawanan Menjadi Punca Rezeki Buat Abby

Penulis: Nur Aleeya Alisha Mohammed Farish 

Penyunting: Intan Sabrina Hanapi



Sumber foto: Instagram @elyshiaabegail 


Shah Alam, 7 Dis - Seorang pempengaruh terkenal di TikTok, Abby kini giat aktif dalam  bidang keusahawanan di mana beliau membuka gerai jualan makanan di beberapa universiti  tempatan dan sekali gus menjadi punca rezeki buat dirinya.


Abby atau nama sebenar Elyshia Abegail Bonny, 27 bersama pasangannya Hazwan Adrey,  29 telah mula menceburi bidang perniagaan dengan membuka gerai jualan makanan di  beberapa universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Multimedia  University (MMU) baru-baru ini. 


Nadi Bangi sempat menemubual Abby dan Hazwan yang sedang berniaga di Fakulti  Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi Mara, UiTM Shah  Alam bersempena dengan Festival Keusahawanan KPPIM yang berlangsung dari 6 Disember  hingga 9 Disember. 


Menurut Abby, tujuan mereka membuka gerai jualan makanan ini adalah kerana ingin  memulakan perniagaan seperti kafe atau restoran pada masa akan datang. 

“Saya dan Hazwan memang suka memasak dan kami berhasrat untuk mengembangkan lagi  perniagaan dengan membuka kedai makan suatu hari nanti.


“Bagi saya, pembukaan gerai jualan ini adalah untuk khalayak umum mula mengenali jenama  perniagaan kami dan sudah semestinya sasaran utama kami adalah untuk membuka kafe,”  katanya kepada Nadi Bangi. 


Pemilik akaun Instagram @elyshiaabegail dan @hazwan_adrey itu menyatakan terdapat dua  jenis masakan yang mereka sediakan iaitu masakan western seperti mantao bread, mushroom  soup dan butter clam serta masakan melayu seperti buttermilk chicken, paru berlada, sambal  bilis kentang dan lain-lain. Sepanjang pembukaan gerai jualan itu, makanan yang menjadi  permintaan orang ramai adalah buttermilk chicken


Menurut Hazwan, secara puratanya, hasil kutipan yang mereka peroleh adalah sebanyak  RM2000 hingga RM3000 sehari namun ia bergantung kepada jumlah makanan yang mereka  sajikan pada hari tersebut. 


“Kami ada berhasrat untuk pelbagaikan lagi menu makanan pada gerai jualan yang akan  datang, namun untuk sekarang ini kami hanya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada  menu makanan yang sedia ada memandangkan kebanyakkan pengunjung mula menyukai  makanan yang kami jual ini,” katanya. 


Menurut Abby lagi, beliau berharap agar pengunjung yang hadir berpuas hati dengan  makanan di gerai jualan mereka dan sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya kepada  perniagaan mereka nanti. 


“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengunjung-pengunjung  yang sudah membeli makanan hasil air tangan kami berdua dan berharap agar mereka  sentiasa memberikan sokongan kepada perniagaan kami pada masa hadapan,” katanya  kepada Nadi Bangi. 


Nadi Bangi juga berpeluang menemubual seorang pelajar UiTM Shah Alam, Emir Jauhari, 21  yang menyatakan beliau hanya berkesempatan untuk membeli beberapa jenis makanan sahaja  di gerai jualan Abby dan Hazwan kerana terlalu ramai pelanggan yang beratur. 


“Saya sudah lama mengikuti perkembangan gerai jualan Abby dan Hazwan di media sosial  dan ramai pengunjung memberikan maklum balas yang positif jadi itu yang membuatkan  saya mahu mencuba makanan mereka.


“Saya tertarik untuk membelinya kerana mereka menyediakan pelbagai jenis makanan yang  bersesuaian dengan selera masyarakat sekarang, jadi tidak hairanlah kalau ramai yang hadir  dan memberikan sokongan,” katanya. 


Tambahnya lagi, beliau juga berharap agar Abby dan Hazwan akan meneruskan jualan di  universiti-universiti yang lain supaya lebih ramai yang akan mengenali dan menyukai  makanan-makanan yang disajikan oleh mereka. 


Dalam pada itu, Abby dan Hazwan juga telah membuka gerai jualan makanan bertempat di  Tapak Parkir Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara Puncak Alam dari 13 Disember  hingga 15 Disember yang lalu dan akan meneruskan jualan di universiti lain pada tahun  hadapan.

25 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page