Oleh: Anis Natasya
Penyunting: Haziq Johan
BANGI, 17 Mei - Beberapa binaan ikonik Malaysia dilimpahi cahaya lampu merah, hijau dan putih iaitu warna bendera Palestin sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan Palestin memerangi Israel.
Binaan ikonik seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Menara Kuala Lumpur, Menara 188 dan Menara Telekomunikasi Alor Setar merupakan antara yang terlibat dalam gerakan bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat di Palestin.
Seramai 181 rakyat Palestin, termasuklah 52 orang kanak-kanak kecil telah terkorban di dalam konflik yang sedang berlaku di antara Palestin dan Israel setakat hari Ahad. Hal ini disebabkan oleh rejim Zionis yang telah melepaskan serangan udara terhadap sememanjung Gaza.
“Usaha ini merupakan inisiatif saya sendiri sebagai bukti kita turut memperjuangkan umat Islam di sana yang tertindas. Kita juga akan sentiasa mengikuti perkembangan umat Islam di Palestin dari masa ke semasa dan terus menyokong segala usaha untuk membantu mereka yang tertindas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar berkata bahawa sebagai salah sebuah ikon negara Malaysia, Menara Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia khususnya mengenai isu-isu kemanusiaan sebegini.
“Saya juga ingin menyeru, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan saudara-saudara kita di Palestin,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, binaan-binaan ikonik tersebut masih ditutup dan rakyat tidak dibenarkan untuk mengunjung sehingga dimaklumkan kelak. Penutupan tersebut dilakukan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dicegah.
“Anda masih boleh merakamkan keindahan menara ini dari luar dan nampak menarik dengan tema baharu ini,” kata pengurus besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak.
Majoriti netizen berpuas hati dengan kaedah yang telah diambil oleh binaan ikonik tersebut untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap penindasan rakyat Palestin di kala musim pandemik ini. Hal ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang diimplimentasikan di negara ini dan kaedah tersebut memaparkan resolusi untuk bersolidariti tanpa melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Comments