top of page
  • Writer's pictureNurfaizatul Huda Ahmad

'BISHT' Qatar Terkenal Kerana Lionel Messi

Penulis: Nurfaizatul Huda

Penyunting: Farzana Nafiz

Lionel Messi disarungkan jubah arab yang dikenali sebagai ‘bisht’ oleh Emir Qatar dalam upacara penyampaian trofi Piala Dunia 2022 di Stadium Lusail, Ahad Lalu. Sumber Foto: FIFA


Baru-baru ini media dari negara barat telah mengecam tindakan tuan rumah Qatar berhubung upacara pemakaian jubah ‘bisht’ yang dipakaikan kepada Lionel Messi di Stadium Lusail di Qatar ketika Argentina dinobatkan sebagai juara Piala Dunia selepas beraksi dalam perlawanan menentang pasukan Perancis. Jubah tersebut telah dipakaikan oleh Emir Qatar, Shiekh Tamim bin Hamad Al Thani ketika sebelum menyerahkan trofi Piala Dunia. Di saat semua peminat bola sepak dunia memberi tumpuan kepada keagungan bola sepak yang baru sahaja disaksikan dunia, media Barat lebih memilih untuk mempersoalkan tindakan pemimpin besar Qatar menyarungkan kapten Argentina, Lionel Messi, dengan jubah tradisional Arab tersebut. Bisht yang juga dikenali sebagai aba atau abaya di negara-negara Arab lain, adalah pakaian simbolik yang melambangkan prestij, kehormatan dan kepimpinan. Ia dipakai pada majlis-majlis khas dan hanya dipakai oleh tokoh agama kanan, pemimpin politik atau puak ketika mewakili kejayaan besar. Adalah satu penghormatan apabila seseorang itu mengenakan bisht, terutamanya jika ia disarungkan kepada anda oleh seseorang yang berprestij seperti pemimpin besar Qatar tempoh hari. Ia merupakan keistimewaan yang jarang-jarang berlaku, dan kebiasaannya dipakai untuk acara kesatria atau untuk pertabalan. Tempoh hari, ia menambahkan lagi kemegahan majlis kemuncak tersebut dan sepatutnya dianggap sebagai pengiktirafan terhadap apa yang telah dicapai oleh Messi dan pasukan Argentina. Beberapa pempengaruh global di media sosial membidas cara media barat melaporkan berita ini. Sebahagian darinya merasakan bahawa media barat sangat bias dalam edisi Piala Dunia yang berlangsung di Qatar pada kali ini - bermula dari liputan mengenai isu penghambaan, LGBT, dan kini, isu pemakaian bisht oleh Emir Qatar ke atas Messi. Fokus media barat bukanlah tentang impian Messi ketika menjulang trofi tersebut, tetapi ia mengenai keengganan untuk menerima bahawa bola sepak dan perayaan boleh kelihatan berbeza, di bahagian yang berbeza di dunia ini. Menurut laporan portal berita Aljazeera, reaksi daripada beberapa pengulas sukan, pakar dan wartawan barat berhubung isu ini mencetus agenda perkauman dan propaganda Islamofobia yang telah dirancang oleh mereka sebelum dan sepanjang kejohanan. Misalnya liputan akhbar The Guardian melaporkan, pengulas sukan dan juga bekas pemain Argentina Pablo Zabaleta menganggap apa yang dilakukan oleh Qatar itu tidak wajar kerana perbuatan tersebut telah menutup jersi dan lambang Argentina yang sepatutnya perlu ‘ditayangkan’ kepada semua.

Bilik berita negara barat memilih untuk mengelakkan berita tentang kepelbagaian serta keunikan budaya Qatar terutamanya budaya Islam itu sendiri untuk menyemai rasa benci kepada kejayaan negara Islam tersebut secara konsisten dalam liputan mereka.

Bisht Lambang Kemegahan Orang Arab

Ketika disarungkan bisht sebelum menjulang trofi Piala Dunia, Messi tidak menunjukkan sebarang penghinaan terhadap tindakan pemimpin Qatar ketika itu. Ia tidak juga satu ‘pengkhianatan’ ke atas baju nombor 10 Argentinanya, sehingga jersi yang begitu ikonik itu tidak dapat dikenali. Malah, ketika itu juga Messi kelihatan bangga dan tersenyum lebar ketika upacara tersebut. Bisht berkualiti diperbuat daripada bulu unta yang dipintal, yang menghasilkan fabrik lembut halus sama seperti kapas kasmir (cashmere). Bagi kegunaan masyarakat biasa pula, ia diperbuat daripada bulu kambing manakala versi yang lebih berpatutan dihasilkan menggunakan kapas dan poliester. Kain itu kemudiannya dicelup, kebanyakan masa dalam warna hitam, tetapi juga dalam coklat dan putih.


Emir Qatar, Shiekh Tamim bin Hamad Al Thani memakaikan 'bisht’ ketika menyampaikan trofi Pemain Terbaik Piala Dunia 2022, Lionel Messi. Sumber Foto: FIFA


Jahitan emas yang menarik pada sehelai bisht dikenali sebagai zari. Ia digunakan untuk menyulam jubah dengan benang yang biasanya diperbuat daripada sutera, atau daripada benang emas dan perak. Corak sedemikian biasanya mengikut garis leher pemakai atau garisan tepi gaun. Bisht dibiarkan terbuka tanpa butang untuk memudahkan ia digantung. Pada asalnya, bisht dipakai pada musim sejuk oleh masyarakat Badwi untuk melindungi diri daripada kesejukan musim sejuk, tapi kini ia dikenakan oleh orang Arab untuk majlis penting. Paling ketara ia dipakai oleh para pengantin lelaki pada hari perkahwinannya, atau oleh golongan diraja pada majlis-majlis rasmi, malah boleh juga dipakai pada majlis pengebumian. Jubah itu menggambarkan status dan kewibawaan, dan ia juga dipakai oleh imam-imam terutamanya di Negara Teluk ketika mereka mengimamkan solat jemaah. Ada yang mengatakan perkataan ‘bisht’ berasal daripada bahasa Akkadia kuno yang dituturkan di Mesopotamia (kini Iraq) di mana perkataan “bishtu” bermaksud "bangsawan". Menurut tradisi terakhir, jemaah Parsi dikatakan telah memperkenalkan pakaian itu ke semenanjung Arab. Masyarakat Arab teruja menggelar kapten Argentina yang memakai bisht itu sebagai "Sheikh Messi". Itu juga mencerminkan rasa sayang seluruh peminat bola sepak dunia terhadapnya serta rasa bangga ke atas pencapaian tertinggi yang dikecapinya. Media barat berhak mengutarakan pandangan mereka tapi walau bagaimanapun janganlah pula ia mencemarkan kemenangan serta kegemilangan acara ini dengan kemarahan berbaur perkauman sebagai tanda kekaguman dan penghormatan kita kepada pemain-pemain yang telah berjuang untuk membawa Argentina menjulang Piala Dunia yang sangat dinanti-nanti oleh mereka sejak tahun 1986.


11 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page