top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Boleh Rentas Negeri Untuk Akad Nikah

Oleh: Fazlan Kamaruzaman

Penyunting: Syahzanani Sajidah


Sumber: Facebook rasmi Majlis Keselamatan Negara


PUTRAJAYA, 2 JUN : Kini mana-mana pasangan yang ingin mengadakan majlis akad nikah sudah boleh melakukan perjalanan rentas negeri dengan syarat melangsungkan majlis tersebut dengan prosedur langkah berjaga-jaga yang diumumkan kerajaan.


Berita gembira tersebut telah diumumkan oleh Menteri Kanan Kesihatan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan mengenai laporan harian Covid-19 namun beliau menegaskan majlis yang berlangsung itu perlulah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan.


‘Mesyuarat antara menteri yang diadakan pagi ini telah bersetuju untuk membenarkan perjalanan rentas negeri bagi tujuan bernikah.


‘Saya menerima begitu banyak aduan dan permohonan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan antara salah satu aduan yang diterima adalah memohon kebenaran untuk rentas negeri bagi menjalankan majlis akad nikah. Kami di barisan menteri memahami permasalahan ini dan memutuskan perjalanan rentas negeri bagi tujuan ini dibolehkan bermula hari ini.


‘Walaupun perjalanan rentas negeri dan majlis akad nikah ini dibenarkan, namun mereka yang terlibat haruslah mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti tidak melebihi 20 orang pada satu-satu majlis dan meminta surat kebenaran rasmi dari pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berdekatan untuk merentas negeri’, katanya ketika sidang media harian Covid-19 hari ini.


Fadillah Kamaruzaman, 32 yang ditemubual wartawan Nadi Bangi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan perjalanan rentas negeri bagi urusan akad nikah kerana mempunyai seorang rakan yang berhadapan masalah ini.


‘Saya sangat gembira setelah mendengar pengumuman sebentar tadi kerana kawan saya yang ingin menjalankan majlis akad nikah dan tinggal di berlainan negeri menghadapi kesukaran untuk merentas negeri memandangkan tiada kebenaran untuk berbuat demikian sebelum ini, terima kasih kerajaan’, kata beliau ketika ditemubual.


Faris Abu Bakar, 25, yang berasal dari Johor Bharu pula mempunyai pendapat sebaliknya dimana beliau tidak bersetuju kerajaan membenarkan perjalan rentas negeri bagi urusan akad nikah memandangkan urusan itu boleh dilakukan secara dalam talian seperti sebelum ini dan risiko jangkitan adalah amat tinggi ketika majlis akad nikah itu berlangsung.


‘Saya rasa perkara ini tidak relevan kerana risiko jangkitan masih ada walaupun mereka telah mematuhi SOP yang ditetapkan namun apa yang pasti kerajaan telah membuat keputusan ini kerana desakan rakyat kepada kerajaan’, ujarnya dalam temubual yang dilakukan melalui aplikasi Whatsapp.


Ketika sidang media tersebut juga, beberapa aktiviti lain telah diberi kelonggaran untuk beroperasi seperti penggambaran filem dan drama serta mengambil gambar pra-perkahwinan namun operasi kedai gunting rambut masih belum boleh beroperasi dan hal ini akan dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya antara menteri Sabtu ini.


Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meluahkan rasa gembira kerana tiada tangkapan oleh PDRM yang melibatkan kes ziarah Aidilfitri dan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih patuh pada arahan PKPB seperti yang diarahkan kerajaan.

19 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page