Penulis: Nurnabila Huda Subandry
Penyunting: Kiranraj Perupathy
Sumber Foto: Twitter @adiehussin94
SHAH ALAM, 11 Dis - Kewujudan bonggol jalan yang baru sahaja dibina berhadapan Universiti Selangor (UNISEL), Seksyen 7 didakwa telah menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa berhenti di bahu jalan kerana kerosakan terhentak selepas melalui bonggol besar itu.
Tiada tiang tanda ataupun cat di bonggol jalan yang boleh dijadikan amaran supaya pengguna jalanraya memperlahankan kenderaan di kawasan tersebut.
Disebabkan pemandu kurang peka dengan bonggol yang baru dibina itu, terdapat beberapa kenderaan yang terhentak kuat dan tertanggal bumper hadapan.
Abdul Hadi bin Hussin, 28, yang merupakan salah seorang mangsa bonggol mengejut ini berkata bahawa walaupun tiada kemalangan serius yang berlaku, tetapi ia tetap merbahaya kepada pengguna lain kerana jika kenderaan dipandu laju akan menyebabkan kereta melambung tinggi dan boleh mengundang kecelakaan kecil jika tidak bernasib baik.
“Pada waktu saya melalui kawasan itu, ia agak lengang dan hanya ada beberapa buah kenderaan lain, tetapi saya berasa tidak sedap hati dan terus berpatah balik ke kawasan bonggol jalan itu berada dan membuat keputusan untuk merakam kenderaan-kenderaan yang melalui bonggol tersebut untuk memberikan amaran kepada pengguna jalan raya di Twitter,”
Video-video yang dimuatnaik Hadi sejurus beliau melalui kawasan itu, telah mendapat perhatian ramai orang dan beberapa pengguna Twitter berkongsi pengalaman yang sama.
Alia Nur Armisha binti Arshad, 22, berkata, “Saya dan rakan ketika itu melalui kawasan tersebut dan kereta rakan saya terhentak kuat, kami bernasib baik kerana keadaan kereta tidak begitu teruk.”
Tambah Hadi lagi, “Jujur katakan, saya buntu untuk melaporkan perkara ini kepada pihak mana kerana saya merasakan hanya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab jika terdapat sebarang isu pembinaan jalan, tetapi setelah saya muatnaik video-video tersebut, perhatian itu telah sampai kepada ADUN Kota Anggerik,”
“Pada saya, tindakan untuk meletakkan video ini di Twitter adalah perkara yang bijak kerana ia mampu menyebarkan maklumat dan amaran secara pantas dan tindakan segera juga diambil oleh pihak berwajib bagi membaiki masalah ini,” tambahnya.
Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) telah mengambil tindakan dengan mengarahkan petugas Jabatan Kejuruteraan MBSA mengecat jalanraya dengan garisan kuning dan memasang tiang tanda bersebelahan UNISEL.
Beberapa sukarelawan juga telah turun padang untuk memberi amaran kepada kenderaan lain untuk memperlahankan kenderaan setelah postingan yang dibuat Hadi tular.
Comments