Nadi Bangi
Brilliant Skin Essentials Produk Terlarang KKM?
Oleh : Fath Abu Bakar
Penyunting : Dina Syafiqah Mohd Zan

BANGI, 14 Nov – Produk kecantikan wajah Brilliant Skin Essentials kini telah menjadi perbualan hangat netizen di laman media sosial kerana didakwa mempunyai bahan kimia yang dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Produk kecantikan yang berasal dari Filipina ini dikatakan tidak mempunyai kelulusan daripada pihak KKM kerana mengandungi bahan beracun berjadual seperti hydroquinone dan tretinoin. Bahan kimia ini digunakan bagi mempercepatkan proses mencantikkan kulit wajah yang kusam dan berjerawat kerana tindak balasnya yang cepat hanya mengambil masa 7 hingga 14 hari bagi melihat kesan perubahan kepada wajah.
Nadi Bangi sempat melihat video yang dimuat naik oleh bekas pengguna produk timbang kilo yang mengandungi bahan beracun berjadual menerusi akaun Tiktok miliknya (@izwanismail__). “Tolong jangan sesekali memakai produk yang ada hydroquinone dan tretinoin. Memang berkesan kulit jadi glowing tapi KKM dan NPRA dah nyatakan dengan jelas once dah berhenti kamu akan rasa kesengsaraannya. Saya ambil masa 5 tahun untuk baik pulih.”
Namun masih ada yang menafikan produk itu mempunyai bahan terlarang. “Brilliant Skin Essentials tiada merkuri langsung dan dia tiada effect buah pinggang ataupun mana-mana tubuh badan kita. Orang luar negara pun cadang 2 bahan seperti hydroquinone dan tretinoin untuk pulihkan muka kita. So jangan cakap Brilliant Skin Essentials ada merkuri okey,” jelas salah seorang pengguna dan juga pengedar telah memuat naik video di laman akaun Tiktoknya (nanaellyanna_) yang menafikan bahawa produk ini tiada kesan sampingan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Penggunaan hydroquinone dan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, pedih, menggelupas dan hipertensi kepada cahaya matahari.” Sumber dipetik dari Sinar Harian.
Walau bagaimanapun, perniagaan yang telah hampir 5 tahun dalam pasaran ini masih mendapat sambutan menerusi promosi dalam talian dengan menyasarkan golongan wanita yang mempunyai masalah kulit wajah.