Penulis: Nurul Syahira Binti Jais
Penyunting: Lim Zhi Ying
Sumber: Google
LOS ANGELES, 21 Nov – Kumpulan K-Pop terkenal dari Korea Selatan iaitu BTS atau nama asalnya, Bangtan Sonyeondan telah memenangi anugerah ‘Artist Of The Year’ dalam American Music Award 2021 pada 21 November yang lalu.
Kemenangan itu dikatakan adalah buat julung kalinya artis dari Asia berjaya memenangi trofi dalam acara gilang-gemilang yang diadakan di Amerika Syarikat pada setiap tahun itu. Kepopularan yang dipegang oleh BTS berjaya mengalahkan artis terkenal barat lain seperti The Weekend, Ariana Grande, Drake, Olivia Rodrigo dan ramai lagi.
Nama BTS yang semakin lama semakin dikenali oleh serata dunia telah membanggakan kesemua peminatnya yang digelar sebagai ARMY kerana sokongan yang tidak henti-henti diberikan kepada kumpulan yang terdiri daripada 7 orang lelaki itu.
Bukan itu sahaja, BTS turut memenangi dua trofi utama yang lain. Mereka menghadiri majlis itu secara peribadi dan merangkul ketiga-tiga anugerah yang dicalonkan untuk mereka, iaitu Duo atau Kumpulan Pop Kegemaran, Lagu Pop Kegemaran dan Artis Tahunan Terbaik. Bagi kategori Lagu Pop Kegemaran, lagu BTS yang berjudul “Butter” telah terpilih dalam anugerah tersebut.
"Kami masih ingat empat tahun lalu, buat pertama kali kami naik di atas pentas ini, AMA, untuk menerima anugerah. Ketika itu zaman “DNA”. Tak digambarkan perasaan ketika itu, berdebar dan gembira. Tak pernah menyangka kami akan menerima penghargaan ini sekali lagi. Terima kasih ARMY!” ucapan RM.
Sorakan dan tumpuan diberikan sepenuhnya apabila ahli kumpulan BTS yang termuda juga memberikan ucapan di atas pentas itu.
“‘Butter’ adalah lagu istimewa bagi kami. Kami berharap ia membuatkan anda berasa licin seperti mentega.” ucapan Jungkook.
“Kami hanya mahu menggembirakan orang ramai dengan muzik kami. Kami percaya bahawa anugerah ini membuka permulaan lembaran baru kami pada 2022,” kata Jungkook yang digelar sebagai “maknae”.
Semasa menerima anugerah, BTS menggayakan pakaian mereka dalam rona kelabu dan hitam. Kemunculan mereka disambut dengan jeritan peminat yang ditunggu-tunggu selama ini. Pada AMA 2021, BTS berseronok di atas pentas dengan kolaborasi bersama Coldplay iaitu hasil kerjasama mereka, My Universe, buat kali pertama.
“Terima kasih ARMY, terima kasih AMA, dan terima kasih semua orang kerana menyukai lagu kami ‘Butter’,” ucapan Jimin.
Dalam sebuah suntingan video yang diposkan di Tiktok, peminat menunjukkan satu momen terharu di mana penyanyi Taylor Swift datang kepada BTS untuk mengucapkan tahniah dan menunjukkan rasa teruja di atas kemenangan mereka.
Hal ini membuktikan bakat mereka telah dihargai sehingga oleh artis barat kerana kesungguhan kumpulan itu dalam menempah nama dalam industri muzik sehingga dikenali seluruh dunia.
BTS telah menjadi artis Asia pertama dalam sejarah yang memenangi Artis Terbaik di American Music Award (AMA), dan ini juga menandakan tahun ketiga berturut-turut BTS memenangi Duo Pop Kegemaran atau Kumpulan.
Comments