top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Buli Siber Pembunuh Dalam Senyap

Oleh: Najwa Syuhadah

Penyunting: Aisyah Masri


Sumber : Google

BANGI, 9 Jan – Ahli gusti profesional Jepun yang juga merupakan bintang program realiti Netflix, Hana Kimura ditemui mati selepas dipercayai telah menjadi mangsa buli siber Mei lalu. Sebelum kematiannya, mendiang telah memuat naik perkongsian di media sosial yang memberi gambaran mendiang telah menjadi mangsa buli siber. Mesej dan komen negatif berbaur kutukan dipercayai telah ditinggalkan di laman sosial miliknya sebelum ini.


Insiden ini membuktikan bahawa buli siber berupaya membunuh jiwa seseorang individu itu hanya dengan kata-kata yang dilontarkan di media sosial. Ianya mungkin nampak kecil tetapi siapa sangka dengan hanya meninggalkan komen di media sosial mampu mendera emosi dan diklasifikasikan sebagai membuli. Tanpa kita sedari ucapan atau kata-kata yang dilontarkan setiap hari kepada seseorang itu mungkin itulah yang akan sering bermain di fikiran mereka dan akhirnya ia menjadi satu bentuk penderaan emosi yang boleh mengakibatkan kemurungan, kejadian bunuh diri dan sebagainya.


Majoriti masyarakat era kini mempunyai akaun media sosial sendiri tidak kira lapisan umur. Hal ini telah menggalakkan lagi perkembangan aplikasi laman sosial tidak mengira masa, tempat dan keadaan. Fenomena ini yang tanpa kita sedari telah wujud satu fenomena baru dalam kalangan pengguna media iaitu Buli Siber.


Buli siber merupakan satu perbuatan memalukan, mengancam atau menakutkan seseorang individu melalui platform elektronik misalnya mesej teks, e-mel, media sosial mahupun permainan atas talian. Berdasarkan tinjauan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan keganasan terhadap kanak-kanak di 30 buah negara mendapati bahawa satu daripada lima mereka ponteng sekolah ekoran buli siber dan keganasan. Malah, hampir tiga suku daripada mereka mendakwa platform media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook serta Snapchat merupakan tempat yang acap kali berlakunya buli secara atas talian menurut sumber Harian Metro. Seharusnya semakin pesat negara membangun, rakyat juga sewajarnya semakin celik pemikirannya. Namun begitu, lain pula jadinya di mana masyarakat hari ini lebih ramai yang menggunakan kemudahan yang ada ke arah yang negatif. Sebahagian daripada masyarakat hari ini meninggalkan komen di media sosial tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada kata-kata mereka terhadap individu lain.

Nadi Bangi telah menemu ramah Pensyarah Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd Nor berkata terdapat sesetengah individu memuat naik komen di media sosial dengan sengaja untuk mengundang kecaman orang awam ataupun individu tersebut sebenarnya hanya berniat untuk meluahkan perasaan di media sosial misalnya. Buli siber ini terjadi apabila individu yang memberi kecaman itu dilanda sesuatu masalah sehingga menyebabkannya bertindak untuk memberi kecaman kepada individu lain di media sosial atau individu tersebut sememangnya sentiasa berfikiran negatif. Perasaan sebegini telah menyebabkan seseorang itu gagal untuk mengawal tingkah laku sendiri dan akhirnya menyebabkan individu tersebut memulakan buli siber. “Kesan emosi yang berpanjangan akan menyebabkan seseorang itu mengalami kemurungan ataupun tekanan hanya disebabkan oleh media sosial semata-mata,” ujar beliau lagi.


Hal ini kerana apabila individu tersebut mengeluarkan sedikit kenyataan di media sosial, individu ini terus dikecam tanpa sebarang alasan yang kukuh. Perkara ini sememangnya akan memberi kesan yang mendalam kepada seseorang sekiranya individu yang menerima kecaman atau pandangan negatif terlalu memikirkan mengenai kata-kata tersebut. “Mangsa-mangsa buli siber ini juga boleh sampai ke tahap di mana mereka lebih memilih untuk menyendiri, tidak mahu bergaul dengan orang lain, tidak berminat untuk keluar dari rumah dan mengalami kemurungan,” kata Dr. Hilwa.


Buli siber boleh memberi impak kepada emosi remaja sehingga menjadikan mereka berasa tidak dihargai, tiada sebab untuk meneruskan hidup dan seterusnya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Apabila simptom kemurungan mangsa buli siber semakin teruk, maka keluarga memainkan peranan penting untuk memujuk mangsa mendapatkan rawatan yang sesuai. Hal ini kerana sokongan ahli kelurga amat diperlukan untuk memulihkan mangsa buli siber.


Malaysia tidak memperuntukkan akta khas bagi jenayah buli siber seperti negara Filipina yang telah memperkenalkan The Anti Bullying Act 2013 bagi mengekang gejala buli termasuklah buli siber. Malah di Singapura juga telah menguatkuasakan undang-undang Anti Buli Siber sejak tahun 2014 lagi. Di negara kita, kebergantungan hanya tertumpu kepada Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1998 yang berperanan memantau aktiviti media sosial. Persoalannya adakah hukuman yang sedia ada ini setimpal dengan kesalahan yang dilakukan? Hukuman yang sedia ada sememangnya tidak setimpal dan berkesan kerana gejala buli siber memberi kesan besar kepada masyarakat sehingga berpotensi menjadi punca kematian. Sebagai contoh kejadian yang berlaku kepada seorang remaja di Sarawak pada Mei 2019, yang bertindak membunuh diri selepas mendapat undian daripada pengikutnya di akaun Instagramnya untuk mati. Secara tidak langsung insiden ini telah membawa maksud buli siber tiada bezanya jika dibandingkan dengan buli fizikal.


Pada Julai 2020, Universiti Multimedia (MMU) telah dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan kajian berkaitan undang-undang antibuli siber. Laporan lengkap hasil kajian yang dibuat mengenai buli siber itu dijangka siap pada 31 Januari tahun ini menurut sumber Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Kajian ini amat penting dijalankan bagi memastikan isu berhubung permasalahan ini dapat diselesaikan serta dibendung. Kerajaan tidak boleh memandang remeh isu ini kerana hari semakin hari, kes berhubung jenayah buli siber ini semakin berleluasa serta berupaya memberi impak yang besar terhadap diri si mangsa. Kehadiran teknologi baru menyebabkan wujudnya cara baru bagi seseorang individu untuk membuli individu yang lain. Media sosial kini telah dijadikan medium bagi meluahkan perasaan seseorang. Namun lama-kelamaan terdapat segelintir individu yang terlebih emosi dan memilih untuk mengancam, memalukan dan menakutkan seseorang dalam medium elektronik. Insiden sebenar buli siber ini tidak diketahui kerana masih ramai mangsa yang tidak tampil untuk membuat aduan serta mendapatkan bantuan yang sepatutnya.


Sesiapa sahaja berpotensi menjadi pembuli siber tanpa kita sedari. Pembuli siber mungkin terdiri daripada rakan terdekat kita, kenalan dalam talian atau individu yang tidak dikenali. Kegiatan buli siber yang berlaku secara berleluasa dari hari ke hari tanpa sebarang sekatan menyedarkan kita bahawa tindakan undang-undang yang keras perlu dikenakan ke atas individu yang menjadi pembuli siber. Tambahan pula, pembuli siber ini sebenarnya merupakan pembunuh dalam senyap yang boleh mengganggu emosi individu yang dibuli sehingga ke tahap yang membimbangkan. Justeru itu, ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak tentang keselamatan dan etika melayari internet sedari kecil lagi sepertimana kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Seawal usia kanak-kanak ibu bapa perlulah memantau serta memberikan pendidikan awal yang sewajarnya kepada anak-anak berkaitan isu ini. Akhir sekali, sebagai individu yang bertanggungjawab, kita juga sewajarnya mengawasi bentuk-bentuk komen yang ditulis di media sosial agar tidak disalah tafsir oleh orang lain.



701 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page