top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Bunga Telang Disebalik Nasi Biru

Oleh: Ain Natasha

Penyunting: Hazwani Syairah


Sumber: Google


Kecantikan bunga telang cukup sinonim dengan masakan tradisi pantai timur iaitu Nasi Kerabu dimana ia bukan sahaja memberikan warna yang menarik malah sehingga hari ini ramai masyarakat belum mengetahui tentang rahsia ‘Nasi Biru’ ini terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Bunga telang atau dengan nama saintifiknya, Clitoria Ternatea adalah merupakan bahan utama dalam menghasilkan nasi kerabu. Ia juga dikenali sebagai Bunga Biru oleh masyarakat tempatan. Keunikan bunga ini mampu menghasilkan menu utama ini tampak lebih menyelerakan dari segi warna biru yang asli dan rasa yang cukup menyelerakan. Kini, makanan ini bukan sahaja popular di negeri Pantai Timur malah ianya dikenali di seluruh Malaysia terutamanya di restoran, bazaar ramadan dan kedai-kedai yang menjualnya.


Dalam mendapatkan sebuah kesahihan, wartawan Nadi Bangi telah menemu ramah beberapa peniaga kecil yang menjual nasi kerabu di sekitar Shah Alam.


Menurut Nik Farida Nik Hasan, 49, “Pada asalnya, ada mitos terdahulu yang mengatakan nasi kerabu berasal dari Thailand dan kemudiannya dibawa ke pantai timur. Namun sejauh mana kesahihan itu, tidak dapat saya buktikan. Pembuatannya agak rumit kerana nasi kerabu mempunyai banyak bahan-bahan seperti ulam-ulaman. Kebiasaanya, nasi kerabu dimakan dengan hidangan lauk pauk seperti ayam bakar dan daging bakar. Akan tetapi kini setiap negeri mempunyai pelbagai variasi nasi kerabu kerana kesukaran dalam mendapatkan keaslian bunga telang tersebut”. Jelas beliau ketika ditemu ramah.


“Bunga telang harus direbus dahulu dalam beberapa minit sebelum direndamkan dengan beras. Kadar kepekatan warna kebiruan pada nasi bergantung kepada nisbah kuntuman bunga yang digunakan. Kebiasaanya, kami akan menggunakan sebanyak empat kuntum bunga. Prosesnya agak sukar kerana setiap ramuan yang digunakan perlu diperincikan. Jika tidak lengkap sesuatu bahan maka tak lengkaplah nasi kerabu”.


Nilai estetika yang terdapat dalam nasi kerabu ini dapat dirasai oleh setiap penggemarnya. Kelainan yang dibawa dari negeri pantai timur ini sudah sememangnya mampu menangkap perhatian masyarakat tempatan.


Nadi Bangi juga menemu ramah Siti Zahara Ayob, 60, seorang peniaga nasi kerabu di sekitar Shah Alam. Kata beliau, beliau sudah mempunyai pengalaman 20 tahun dalam menjual nasi kerabu. Menurutnya, beliau tidak lagi menggunakan bunga telang sebagai bahan utama dalam pembuatan nasi kerabu kerana bunga tersebut mengambil masa yang lama untuk membiak. “Susah buat kami sebagai peniaga untuk menunggu dan memetik bunga tersebut sedangkan perniagaan harus berjalan seperti biasa”. Puan Siti Zahara hanya menggunakan pewarna cecair biru bagi menggantikan warna asli kebiruan tersebut.


Keunikan Bunga Telang

Bunga telang dikenali sebagai ‘Butterfly Pea’, ‘Bunga Biru’, dan dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai ‘Blue Pea’. Bunga telang ini digunakan sejak berabad lagi oleh negara Vietnam dan Thailand. Antara keistimewaan bunga ini, ia kaya dengan penyerapan Vitamin C. Bunga telang juga dijadikan minuman oleh masyarakat Thailand kerana mereka berpendapat bahawa air telang dapat menyegarkan tubuh badan. Thailand mempunyai banyak signifikasi yang menggunakan bunga telang dalam makanannya. Menurut Pensyarah Fakulti Sains Makanan dan Teknologi Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim, beliau berpendapat bahawa bunga telang kering juga boleh dijadikan seperti teh chamomile seperti yang popular di Amerika Syarikat.


Selain itu, bunga telang juga dapat merawat masalah penglihatan, merawat bisul, bagus untuk detoks dan dapat meningkatkan daya pemikiran seseorang. Pokoknya juga dikenali sebagai pokok kekacang kerana bentuknya seperti kekacang. Bagi yang tidak menyedari kewujudan bunga telang ini sudah pasti mereka tidak mengetahui tentang keunikan bunga biru ini.


Meskipun tidak dapat dipastikan dengan jelas tentang asal usul kesitimewaan nasi kerabu dan bunga telang. Namun sudah jelaslah ternyata makanan ini merupakan makanan tradisional bagi masyarakat Pantai Timur dan Siamdan digemari oleh kebanyakan masyarakat di Malaysia. Penulis berharap agar pembuatan nasi kerabu yang berasaskan bunga telang ini dapat dikekalkan agar tidak lapuk ditelan zaman supaya dapat dijadikan peninggalan buat generasi akan datang.

570 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page