top of page
  • Writer's pictureSiti Syazreen Mahdzim

Cabaran Mahasiswa UKM dan Impactive Malaysia Bantu Mangsa Banjir

Penulis: Siti Syazreen Mohd Mahdzim

Penyunting : NorFara Faziera Moh Razali

Sumber Foto : Iman Azhar


BANGI, 26 Dis - Wujudnya rumah yang roboh dan hilang dari tempat asal serta haiwan berbisa seperti ular dan lipan merupakan cabaran yang berat bagi 30 orang sukarelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Impactive Malaysia yang membantu mangsa-mangsa banjir di Terengganu pada 23 sehingga 26 Disember 2022 lalu.


Pasukan mereka telah mendapatkan taklimat daripada pasukan keselamatan tempatan di Setiu serta menggerakkan bantuan berfasa untuk berjumpa dengan pihak berkaitan dengan memindahkan keluarga yang terjejas ke tempat selamat.


Menurut Koordinator Bersama Misi Bantuan Kecemasan Banjir Terengganu 2022, Iman Azhar, berkata pasukan pelajar UKM dan Impactive Malaysia telah menyediakan perancangan barang keperluan seperti roti, makanan kering, malt coklat dan barangan keperluan lain untuk diagihkan kepada lebih daripada 100 keluarga yang terjejas agar mereka boleh menghadapi fasa pemindahan semula.


“Saya telah mewakili pelajar UKM bersama Impactive Malaysia untuk mengedarkan dan

berjumpa masyarakat Kampung Permaisuri Setiu Terengganu untuk mengetahui situasi pasca banjir seterusnya menyediakan kelengkapan pembersihan, keperluan elektrik rumah dan kelengkapan anak mereka untuk kembali ke sekolah.


“Dalam proses persediaan bermula daripada pembelian barangan keperluan makanan,

pengurusan logistik dan pembungkusan seramai 30 orang mahasiswa UKM telah terlibat yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakang kursus dan organisasi.


“Fokus program bantuan kecemasan ini bermula dengan pembersihan, pengagihan bantuan pek makanan, pembelian bahan keperluan rumah seperti mesin basuh dan peti sejuk serta memberikan sokongan moral kepada anak anak yang terjejas dengan persediaan kembali ke sekolah akibat bencana banjir,” katanya.


Pengurus Projek Impactive Malaysia, Maziah Syafiqah berkata hasil kolaborasi bersama pelajar UKM ini bukan hanya untuk membangunkan komuniti tetapi juga pembangunan sukarelawan.


“Sebagai NGO, kami menyediakan platform ini untuk pasukan sukarelawan UKM bekerjasama dengan kami untuk menjayakan misi bantuan banjir di Terengganu.


“Harapan pihak Impactive Malaysia adalah untuk melahirkan lebih ramai anak muda yang turut memperjuangkan kemanusiaan dan mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi,” katanya.


Dalam pada itu, sukarelawan dari UKM, Fatin Batrisyia (Sarjana Muda Ekonomi dan Pengurusan, 2), berkata antara persediaan yang dilakukan adalah dengan menyediakan keperluan untuk sesebuah keluarga termasuk untuk keluarga yang mempunyai anak kecil dan golongan wanita yang perlu dibekalkan dengan barang tambahan seperti lampin dan tuala wanita.


“Perasaan saya sangat sedih melihat bagaimana musibah ini dikatakan antara yang terburuk dalam sejarah sepanjang mereka menetap di Setiu.


“Saya sangat bersyukur diberikan peluang untuk membantu seramai mangsa dan keluarga yang terjejas ini,” katanya.

68 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page