top of page
  • Writer's pictureMuhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

Cacat Penglihatan Bukan Penghalang Buat Pensyarah Lahirkan Graduan

Updated: Dec 16, 2022

Penulis: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

Penyunting: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman


Sumber Foto: Bernama


KUALA LUMPUR, 12 Dis - Cacat penglihatan bukan penghalang bagi Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Ahmad Shamsuri Muhamad untuk melahirkan hampir 400 orang graduan.


Beliau, telah berkhidmat selaku pensyarah selama 5 tahun setengah dan telah mengajar pelajar di pelbagai peringkat iaitu Ijazah Sarjana Muda, Diploma Pascasiswazah, Ijazah Sarjana dan juga menyelia pelajar Doktor Falsafah.


Prinsip yang dipegang oleh beliau sehingga berjaya ke tahap ini adalah tanggungjawab terhadap apa yang diinginkan kerana tanggungjawab merupakan usaha yang dilakukan untuk mencapai matlamat walaupun dengan pelbagai halangan dan cabaran yang timbul tidak kira dari diri sendiri mahupun persekitaran.


“Kalau kita bertanggungjawab untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut tidak kira dengan usaha sendiri ataupun meminta bantuan orang lain, insya-Allah hasilnya juga akan bermanfaat untuk diri kita.


“Secara ringkasnya seperti taking control of our destiny,” katanya.


Selain itu, antara halangan terbesar yang dihadapi olehnya adalah dalam mengakses kepada bahan bacaan. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah bahan bacaan seperti bahan bercetak sukar untuk diakses.


Shamsuri berkata, “sebagai pensyarah saya perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk mengajar dan menyelia pelajar-pelajar di bawah seliaan saya dalam proses mengajar, menyelia, membuat penyelidikan, memberi khidmat konsultasi dan sebagainya.


“Selain itu, saya perlu bekerja berkali-kali ganda berbanding orang lain. Contohnya, jika orang lain boleh membaca bahan itu secara terus, saya perlu lakukan dua tiga langkah untuk membolehkan saya mengakses kepada bahan tersebut,” kata beliau.


Namun begitu, sistem teknologi alat bantuan untuk golongan cacat penglihatan telah membantu beliau untuk mengurangkan jurang mengakses yang berlaku.


“Dengan teknologi seperti perisian pembaca skrin, saya juga boleh menggunakan pengimbas untuk menukar bahan bercetak kepada softcopy, jadi ia sedikit sebanyak mengurangkan jurang akses kepada bahan bacaan untuk golongan cacat penglihatan,”.


Akhir sekali, Shamsuri berharap agar para graduan yang baru bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-62 menggunakan ilmu yang telah dipelajari untuk disumbangkan kepada masyarakat dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.


26 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page