Penulis: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman
Penyunting: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman
Sumber Gambar: Nadi Bangi
BANGI, 14 Nov – Empat calon Pilihan Raya Umum ke-15 telah turun ke Ekspo Buku Bangi bertempat di Evo Mall untuk berkempen, antaranya ialah Syahredzan Johan (Pakatan Harapan), Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (Perikatan Nasional), Annuar Salleh (Pejuang) dan Datuk Hoh Hee Lee (Barisan Nasional).
Menurut pengasas Jejak Tarbiah x Jiwa, Saadiah Ali, calon PH, Syahredzan Johan turun ke lokasi pada hari pertama jualan berlangsung setelah mengetahui info berkenaan di laman Twitter komuniti buku.
Calon dari tiga lagi parti politik telah menyusul pada hari terakhir jualan diadakan bagi mendapatkan sokongan daripada orang awam sempena PRU-15 yang bakal berlangsung Sabtu ini. Sementara itu, beliau berkata mereka turut mengedarkan risalah kepada pengunjung yang hadir dan beramah mesra bersama.
“Gerakan buku kebiasaannya digerakkan oleh masyarakat, tetapi apabila ada di antara ahli politik yang datang ia akan menjadi lebih bagus kerana mereka juga dapat meraih sokongan daripada masyarakat sendiri.
“Sekiranya mereka menang dalam PRU, saya berharap agar ahli-ahli politik yang hadir ini masih kekal tertarik dan menyokong industri buku," katanya.
Umi Hanisah Jeshri (Sarjana Muda Komunikasi Media, 3) berkata, ini adalah peluang buat para pengundi apabila ahli politik yang bertanding turun ke lokasi bertemu masyarakat kerana mereka boleh menilai sendiri cara ahli politik ini bergaul dengan penduduk setempat.
“Walaupun ini hanyalah ekspo jualan buku, tetapi calon PRU tetap turun mengadakan kempen kecil-kecilan untuk mendapatkan sokongan daripada pengunjung yang hadir.
“Kebiasaannya wakil-wakil dari parti politik turun ke lokasi untuk mendapatkan kepercayaan daripada rakyat, jadi jika mereka benar-benar sesuai untuk diundi dan tidak mendatangkan keraguan, sudah pasti mereka berpeluang untuk diangkat sebagai pemimpin,” katanya.
Tujuan ekspo ini diadakan adalah untuk membawakan buku-buku ilmiah serta buku berkaitan islamik, bacaan umum seperti novel dan buku-buku rujukan akademik yang bersesuaian untuk bacaan pelajar dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, hampir 2,500 pengunjung telah hadir pada pagi hari terakhir jualan Ekspo Buku Bangi, malah penerbit-penerbit buku sendiri turun ke lokasi bagi menjangkau strategi jualan buku di sekitar Bangi.
Comments