Nadi Bangi
Car Boot Sale 2.0 Himpun Peniaga Barangan Koleksi Terhad
Penulis: Alyaa Zainal
Penyunting: Hazlina Nasa
Foto: Alyaa Zainal

SUBANG JAYA, 30 Okt - Ekspo Car Boot Sale 2.0 yang berlangsung selama sehari di SS15 Car Park dilihat mendapat sambutan baik apabila hampir keseluruhan gerai vendor dipenuhi oleh peniaga-peniaga barangan lokal dan import yang menjual barangan koleksi terhad dan sukar didapati.
Ekspo yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam anjuran Art Of Speed Club Chapter (AOSCC) merupakan susulan dari Car Boot Sale 1.0 sekitar bulan Februari lalu yang masih mengekalkan ciri-ciri kesenian dan hiburan dengan membawa masuk penyertaan sebanyak 92 vendor daripada 112 gerai vendor keseluruhannya dimana rata-ratanya menjual barangan koleksi terhad seperti vintaj, moden klasik, aksesori motosikal, alat ganti kereta, pre-loved, die-cast dan pelbagai barangan lain yang menarik dengan harga yang berpatutan.
Wartawan Nadi Bangi telah menemuramah penganjur ekspo bahagian pemasaran media Car Boot Sale 2.0 Muhammad Riduan, 24 beliau mengatakan sambutan Car Boot Sale 2.0 diterima baik oleh vendor dari seluruh negara berbanding edisi 1.0 sebelum ini dan sasaran pengunjung juga melebihi jangkaan yang ditetapkan.
“Car Boot 2.0 kali ini khusus untuk Car Boot Sale barang-barang vintaj, motorsikal, gaya hidup, seni dan hiburan dan pengunjung boleh membeli barang-barang yang jarang ada di Malaysia contohnya dari Jepun, Itali dan Jerman. Masa 1.0 kapasiti pengunjung hanya 50% dan kini kami mensasarkan 1000 pengunjung tetapi apa yang boleh kita lihat, sambutan pengunjung lebih ramai dari apa yang disasarkan, ujar beliau.”
Syamil, 28 yang merupakan pengumpul barangan koleksi terhad berasal dari Seremban Negeri Sembilan memberitahu beliau akan pergi ke setiap ekspo dan program seperti ini terutamanya anjuran AOSCC dan beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir ke Car Boot Sale 2.0 kali ini untuk membeli dan mengumpul barangan koleksi terhad yang ada jual disini.
“Saya memang akan pergi ke ekspo-ekspo seperti ini terutamanya anjuran AOSCC dan bila saya tahu AOSCC anjurkan sekali lagi Car Boot Sale 2.0, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli apa-apa barangan yang menarik dan berkenan di hati,katanya.”
Pasangan dari Jitra, Kedah yang ingin dikenali sebagai Chet dan Azwa ketika ditemuramah berkata mereka sanggup datang dari Jitra, Kedah ke Kuala Lumpur sehari sebelum kerana teruja untuk menghadiri Car Boot Sale 2.0 setelah mengetahui tentang ekspo ini di media sosial.
“Ini pertama kali untuk kami datang ke program anjuran AOSCC seperti ini setelah dapat tahu tentang program ini di akaun Instagram milik Art Of Speed sendiri dan kami teruja untuk merasai kemeriahan program ini,ujar beliau.”
Shahrul Azman, 26 yang mesra disapa Arul meluahkan rasa lega kepada wartawan Nadi Bangi ketika ditemuramah dengan mengatakan bahawa para peniaga dan pengunjung yang hadir dilihat tidak mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan masih berwaspada walaupun berada dalam keadaan yang sesak dengan orang ramai.
“Saya merasa lega kerana boleh dikatakan peniaga dan orang ramai yang hadir masih menjaga SOP dengan baik walaupun ditempat terbuka dan sesak dengan orang ramai seperti ini” katanya.