top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

CCC Anjur Program Sesi Pengenalan Pelajar Baharu

Updated: Nov 8, 2021

Penulis: Lim Zhi Ying

Penyunting: Nurul Syahira Binti Jais

Sumber: Chinese Community Council UKM (Facebook)


BANGI, 10 Oktober – Perwakilan Mahasiswa Cina (CCC) UKM telah mengadakan sesi perkenalan dalam talian bertemakan “CCC Introday” pada 10 Oktober 2021, jam 7.45 malam bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh semua pelajar baharu dan juga sesi perkenalan persatuan Cina yang berada di dalam kampus.


Sejurus selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 March 2020 lalu, UKM telah memulakan pembelajaran secara dalam talian dan pengajaran jarak jauh bermula 1 April 2020 kepada seluruh warganya. Selain itu, semua aktiviti juga tidak dibenarkan berjalan secara bersemuka.


Ketua Pengarah Perwakilan Mahasiswa Cina UKM, Alfred Ngu Choung Chii berkata kebanyakan pelajar bagi sesi 2020/2021 berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di universiti namun tidak berpeluang menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa di kampus.


Walau bagaimanapun, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) telah mengalu-alukan semua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kembali ke kampus pada Semester 1 Sesi 2021/ 2022 bermula minggu ke- 3 mengikut keperluan yang telah ditetapkan.


"Secara umumnya, KPT sudah menetapkan tarikh dan kemasukan mungkin dibuat secara berperingkat iaitu pelajar yang sudah lengkap divaksinasi dan pelajar yang belum menerima vaksinasi” kata Ketua Pengarah Perwakilan Mahasiswa Cina UKM, Alfred Ngu.


Pembelajaran atas talian boleh menyebabkan pelajar baharu yang bakal pulang ke kampus berasa cemas dan janggal kerana masih belum menyesuaikan diri dengan persekitaran sebenar di tempat belajar mereka. Tambahan lagi, mereka tiada gambaran yang jelas tentang aktiviti kokurikulum yang akan ditawarkan di dalam kampus. Kebanyakan pelajar juga tidak mempunyai minat dalam kegiatan kokurikulum kerana sudah terbiasa dengan norma menatap skrin telefon pintar atau komputer riba sepanjang kelas diadakan secara atas talian.


Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti amatlah digalakkan kerana peluang tersebut perlulah digarap sebagai inisiatif mahasiswa untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran setelah tamat pengajian. Namun, persoalan yang dikemukakan oleh salah seorang pelajar baharu adalah bagaimana mereka boleh memastikan markah merit mencukupi. Hal ini kerana kebanyakan pelajar senior gagal mendapatkan kolej kediaman walaupun mereka proaktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di UKM.


“Jika saya perlu mencari penginapan saya sendiri di luar, ini akan meningkatkan kos perbelanjaan saya dua kali ganda dan saya tidak tahu sekiranya saya mampu. Jadi, bagaimanakah saya sebagai pelajar baru dapat memastikan markah merit mencukupi untuk tinggal di dalam kolej." tanya seorang pelajar baharu.


“Markah merit akan ditetapkan oleh pihak universiti dan apa yang saya boleh buat adalah saya akan sentiasa berkongsikan aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan oleh UKM di dalam laman sosial rasmi iaitu Facebook supaya pelajar baru dapat mengambil cakna terhadap semua aktiviti tersebut.” kata Ketua Pengarah Perwakilan Mahasiswa Cina UKM, Alfred Ngu lagi.


Selain itu, apabila ditanya mengenai tips dan panduan pelajar dalam menjalani norma baharu pembelajaran secara atas talian, Saudara Lau Jun Yi, Timbalan Pengarah Perwakilan Mahasiswa Cina UKM berpendapat bahawa pelajar perlu sentiasa ambil maklum akan sebarang maklumat perkongsian yang diberikan oleh pensyarah yang kerap menggunakan medium “Whatsapp Group” atau UKM-Folio sebagai platform utama bahan bantu mengajar dan segala info kepada semua pelajar.


Sesi perkenalan dalam talian itu yang bertema “CCC Introday” telah dikendalikan menerusi platform Microsoft Team oleh Ketua Pengarah Perwakilan Mahasiswa Cina UKM, yang telah dihadiri seramai 212 orang pelajar serta staf seramai 258 orang.



292 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page