top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

CINEMAVLOG 1.0 Bantu Dalam Penyuntingan Video Hanya Menggunakan Telefon Pintar

Updated: Nov 10, 2023

Penulis: Nur Farzana binti Uyub

Penyunting: Amir Aiman


Sumber foto: Nadi Bangi



BANGI, 4 Nov - Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Teknologi (PMFST) Media dan Penerbitan telah mengadakan sebuah bengkel penyuntingan video dengan hanya menggunakan telefon pintar di bangunan kedekanan FST UKM pada hari sabtu yang lalu.


Bengkel tersebut yang juga dikenali sebagai Cinemavlog 1.0: Mobile Videography diadakan bagi mencungkil bakat pelajar untuk mengetahui dengan lebih terperinci terutamanya dari aspek teknikal dalam menyunting video di telefon pintar. Bengkel ini juga telah dikendalikan oleh Hafizi Jinahashim yang merupakan seorang pelajar UKM yang mahir dalam juruvideo serta penyuntingan dengan hanya menggunakan telefon pintar.


Ketua Pengarah Program, Qistina Batrisyia Mohammad Ikhram, pelajar Sarjana Muda Sains tahun 2, mengatakan bengkel ini secara dasarnya bertujuan bagi membuka ruang dan kreativiti kepada mahasiswa dan orang luar untuk mahir dalam penyuntingan video khususnya dengan menggunakan telefon pintar.


Menurutnya lagi, videografi tidak hanya memfokuskan kepada penggunaan kamera sahaja, kini telah beralih kepada penggunaan telefon pintar dalam memperkembangkan industri media dan penerbitan.


“Bagi saya ramai orang mengetahui videografi hanya menggunakan kamera sahaja namun ia juga telah berubah dengan wujudnya telefon pintar. Industri penyuntingan video menggunakan telefon pintar ini akan berkembang pesat sekiranya terdapat minat dan semangat untuk menimba ilmu,” ujarnya.


Menurut juruvideo mudah alih, Hafizi Jinahashim, pelajar Sarjana Muda Sains tahun 2, mengatakan bahawa sudah lama memiliki hasrat untuk membantu lebih ramai pelajar dan pengikut dalam mengetahui teknik penyuntingan melalui mobile videography disamping dapat memperkembangkan lagi industri ini.


“Saya sangat berminat untuk membantu ramai orang baru dalam mobile videography kerana ramai pengikut saya pun ingin belajar dan mengetahui teknik penyuntingan video yang betul. Ini merupakan satu peluang terbaik untuk saya mengajar bukan sahaja mahasiswa tetapi pengikut saya sesuatu ilmu baharu," katanya.


Antara aktiviti yang diadakan dalam bengkel ini seperti teknik penggredan warna, penggunaan transition, penggubalan idea dalam penyuntingan video dan pelbagai lagi. Lebih 50 peserta telah menyertai bengkel ini bukan sahaja terdiri daripada pelajar UKM tetapi pelajar dari universiti luar juga turut mengikuti program ini.

87 views9 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page